Jumaat, 1 Disember 2023

Suami naik gila tanggung hutang isteri 'kaki judi' nekad lari dari rumah


Seorang suami terpaksa menanggung bebanan hutang ceti haram yang diambil isterinya tanpa pengetahuannya semata-mata memuaskan nafsu berjudi atas talian.


Pemandu e-hailing yang ingin dikenali sebagai Chong, 39, berkata, dia memilih tidak lagi tinggal bersama isterinya sejak beberapa bulan lalu selepas tidak tahan menanggung hutang.


Tambah Chong, dia serik selepas dikejar empat orang along berlainan termasuk juga jumlah pinjaman dilakukan isterinya mencecah puluhan ribu.


"Dia (isteri) pinjam duit untuk kegunaan judi atas talian, rasa sangat tertekan kerana saya dipaksa along untuk pulangkan duit yang dipinjam, pinjaman tersebut pula tanpa pengetahuan saya.


"Buat masa ini, saya sudah membayar RM18,000 kepada mereka tapi masih tidak tahu berapa lagi yang perlu dibayar.


"Saya mengambil langkah ekstrim dengan menjual tapak pasar malam di Perak dan meminjam wang daripada sumber lain untuk membayar balik sebahagian hutang," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan DAP, Cheras, hari ini.


Katanya, setiap kali meminta penjelasan, isterinya akan memberi pelbagai alasan yang tidak masuk akal membuatkannya buntu dan meminta bantuan pihak DAP.


Choong berkata, tidak dapat dipastikan berapa nilai sebenar yang dipinjam atau jumlah along yang sudah memberikan pinjaman kepada isterinya itu.


"Saya tidak mampu lagi untuk membayar hutang dan membuat keputusan tidak pulang ke rumah lagi dengan harapan isteri akan sedar," katanya.


Menurutnya, dia kini sudah tidak mampu membayar ansuran bulanan kereta berikutan terpaksa membayar hutang.


"Saya tidak dapat membuat laporan polis disebabkan tiada bukti along ini mengganggu keluarga atau kediaman (secara fizikal).


"Bagaimanapun gambar isteri saya disebar di sosial media oleh along kerana tidak membayar hutang dan ini menyukarkan saya kerana keluarga terdekat sudah tahu," katanya.


Menurut Chong, isterinya yang bekerja sebagai juruwang di kedai serbaneka di Johor mula ketagihan bermain judi selepas mencuba permainan itu di sebuah kasino di Genting, Pahang, awal tahun ini.


Mangsa ketika membuat aduan di bilik gerakan DAP Cheras hari ini. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon