Sabtu, 2 Disember 2023

Dijaga sejak berusia 10 hari, lelaki cederakan ibu angkat mahu hak milik rumah


Seorang lelaki tergamak mencederakan ibu angkatnya sendiri yang membelanya sejak berusia 10 hari hanya kerana urusan hak milik rumah dalam kejadian pada 11 November lalu.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, wanita berusia 67 tahun yang merupakan pesara itu membuat laporan polis pada Selasa lepas, berhubung kejadian itu.


Beliau berkata, lelaki berusia 25 tahun itu adalah anak angkat wanita berkenaan yang dibelanya sejak berumur 10 hari.


"Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari di rumah pengadu di Taman Seremban Jaya Idaman.


"Perselisihan faham dikatakan berlaku apabila suspek mendesak hak milik rumah pengadu dipindahkan kepada anak suspek.


"Suspek didakwa tiba-tiba membaling sesuatu ke arah pengadu sehingga menyebabkan mata kirinya cedera dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban selama 14 hari," katanya.


Ujarnya, suspek juga telah mengambil kenderaan jenis Honda Civic milik pengadu untuk kegunaannya.


Menurutnya, lelaki itu kini direman selama empat hari selepas ditahan di Taman BBS, Gombak, Selangor, pukul 1.50 tengah hari Rabu lalu.


"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod membabitkan dua kes dadah dan satu jenayah.


"Kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.


EmoticonEmoticon