Isnin, 6 Mac 2023

Duda tunjuk kemaluan kepada dua wanita dipenjara lima bulan

Duda tunjuk kemaluan kepada dua wanita dipenjara lima bulan


Mahkamah Majistret Yan memerintahkan hukuman penjara selama lima bulan ke atas seorang duda setelah didapati bersalah menunjukkan kemaluan kepada dua wanita pada bulan lalu.


Majistret, Anis Suraya Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Zuhairi Ahmad Fadlah, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.


Anis Suraya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 5 Februari lalu.


Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menunjukkan kemaluannya kepada dua wanita berusia 20 dan 27 tahun di Batu 22 Jalan Teroi menghala Sungai Yan kira-kira pukul 11.45 pagi, 5 Februari lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Masnini Mat Daud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Media tempatan pada 5 Februari lalu melaporkan seorang duda dikesan berkelakuan tidak senonoh terhadap dua wanita ketika menunggang motosikal dari arah yang sama.


Dalam kejadian itu, mangsa ketakutan apabila diekori seorang lelaki berkelakuan lucah dengan menunjukkan kemaluannya ketika menunggang motosikal di Batu 22 Jalan Teroi-Sungai Yan, dan suspek kemudian ditahan di rumahnya di Teroi, kira-kira pukul 5.45 petang hari sama.


Ahmad Zuhairi (tengah) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana menunjukkan kemaluannya kepada dua wanita pada bulan lalu. - Foto Kosmo Online.
Korea Utara tuntut PBB halang latihan ketenteraan Amerika Syarikat dan Korea Selatan

Korea Utara tuntut PBB halang latihan ketenteraan Amerika Syarikat dan Korea Selatan


Kementerian Luar Korea Utara semalam menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menghentikan segera latihan ketenteraan yang keterlaluan.


Timbalan menterinya, Kim Son-gyong, berkata latihan bersama AS-Korea Selatan sejak kebelakangan ini dilihat sengaja mahu meningkatkan ketegangan yang mengancam sehingga tidak terkawal.


Korea Utara semalam mendakwa AS bertanggungjawab dalam keruntuhan sistem kawalan senjata antarabangsa dan berkata, senjata nuklear Pyongyang adalah tindak balas yang adil untuk memastikan keseimbangan kuasa di rantau itu.


Pihak sekutu dua negara juga dijangka akan melakukan latihan gabungan udara dengan pengebom jarak jauh AS dan pesawat pejuang Korea Selatan pada Jumaat ini, dan sudah mengadakan latihan selama berminggu-minggu untuk pasukan khas.


"PBB serta masyarakat antarabangsa perlu mendesak AS dan Korea Selatan untuk segera menghentikan kenyataan bersifat provokasi dan latihan ketenteraan bersama mereka," kata Son-gyong.


Tambah beliau, amat dikesali bahawa PBB secara konsisten berdiam diri mengenai latihan itu, yang mempunyai 'sifat agresif yang jelas'.


Bulan lalu Son-gyong mengeluarkan kenyataan mengatakan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres 'sangat tidak adil dan tidak seimbang' terhadap ujian peluru berpandu Korea Utara. - Sumber Reuters.


Ujian peluru berpandu strategik 'Hwasal-2' oleh Korea Utara di bandar Kim Chaek, wilayah Hamgyong Utara. - Foto EPA.

Sabtu, 4 Mac 2023

Rompak RM101, lelaki nekad 'berkurung' 14 tahun dalam gua takut ditahan Polis

Rompak RM101, lelaki nekad 'berkurung' 14 tahun dalam gua takut ditahan Polis


Seorang lelaki di China sanggup berkurung di dalam sebuah gua selama lebih 14 tahun hanya kerana mahu mengelak daripada ditahan polis. Ini berikutan lelaki itu pernah melakukan jenayah rompakan di sebuah stesen minyak pada tahun 2009.


Lapor laman berita Oddity Central pada 1 Mac 2023, Liu Moufu dari sebuah kampung di Enshi City, wilayah Hubei, berusia pertengahan 30-an ketika melakukan rompakan stesen minyak bersama abang iparnya dan seorang rakan.


Kumpulan lelaki itu hanya sempat melarikan wang sebanyak 156 yuan (RM101.25) dengan 60 yuan (RM38.90) dibelanjakan untuk membeli makanan dan bunga api, manakala selebihnya 32 yuan (RM20.70) dibahagikan setiap seorang.



Ketiga-tiga individu itu kemudian membawa haluan masing-masing, namun polis berjaya menahan rakan Liu yang terbabit dalam rompakan itu.


"Liu menyedari dirinya diburu polis, jadi dia memutuskan untuk melarikan diri daripada ditangkap dan dipenjarakan. 


"Lelaki itu bersembunyi di dalam hutan ketika polis menggeledah rumah dan menyoal siasat ahli keluarganya.


"Akhirnya, Liu menjadikan sebuah gua sebagai tempat berteduh. Dia juga memburu binatang dan adakala mencuri makanan seperti kentang dan daging dari kampung asalnya," jelas laporan itu.


Menurut laporan itu, Liu sekali-sekala pergi berjumpa dengan ibu bapanya selama beberapa minit.


Meskipun, isteri dan ibu bapanya beberapa kali memintanya untuk menyerah diri, Liu sering menolak untuk melakukan demikian.



Bulan lalu, Liu akhirnya memutuskan untuk menyerah diri kepada polis.


"Saya sudah berusia lebih 50 tahun, isteri saya juga tidak sihat dan saya mempunyai cucu yang sangat cantik. Saya mahu hidup seperti biasa," katanya.


Lelaki itu kemudian membawa polis ke satu kawasan gua kecil yang dianggapnya sebagai rumah selama 14 tahun. Ia terletak jauh di kawasan pergunungan berhutan, kira-kira 10 kilometer dari penempatan manusia.


Walaupun rompakan itu sudah berlaku 14 tahun lalu, Moufu masih berdepan hukuman penjara tiga tahun untuk jenayah yang dilakukan. - Sumber Oddity Central.


Liu Moufu bersembunyi dalam gua selama lebih 14 tahun. - Foto Oddity Central.

Khamis, 2 Mac 2023

Saintis temui dua isyarat 'degupan' misteri dikesan dari Matahari

Saintis temui dua isyarat 'degupan' misteri dikesan dari Matahari


Saintis-saintis kebingungan setelah menemui dua isyarat misteri seperti bunyi 'degupan' yang dikesan berasal dari Matahari, lapor akhbar Daily Mail pada 27 Februari 2023.


Isyarat itu berulang-ulang dalam beberapa saat. Pasukan itu, yang diketuai oleh Institut Teknologi New Jersey (NJIT) berpendapat ia boleh membantu manusia untuk memahami dengan lebih baik mengenai letupan paling kuat sistem suria.


Isyarat yang direkodkan di atmosfera Matahari itu dilaporkan berulang setiap 10 dan 20 saat. Saintis percaya ia datang dari suar suria kelas C yang meletus lebih 5,000 kilometer di atas permukaan Matahari.


Suar suria merupakan letupan tenaga yang paling kuat. Letupan besar suar suria didakwa cukup untuk mengecilkan saiz Bumi.


Sijie Yu, ahli astronomi yang bergabung dengan NJIT, berkata dalam satu kenyataan menyifatkan penemuan itu sebagai 'tidak dijangka'.


"Corak degupan ini penting untuk memahami bagaimana tenaga dibebaskan dan dihamburkan dalam atmosfera Matahari semasa letupan yang sangat kuat.


"Bagaimanapun, asal usul isyarat berulang yang juga dipanggil denyutan kuasi-berkala ini telah lama menjadi misteri dan menjadi sumber perdebatan dalam kalangan ahli fizik," jelasnya.


Dengan menggunakan Expanded Owens Valley Solar Array (EOVSA) iaitu kemudahan Amerika Syarikat yang menjejaki frekuensi radio gelombang mikro, saintis dapat mengesan lokasi sebenar isyarat pertama.


Kajian mengenai dua isyarat itu masih diteruskan. - Sumber Daily Mail.


Saintis menemui dua denyutan berbeza yang terpancar dari Matahari. - Foto Daily Mail.

Rabu, 1 Mac 2023

Lelaki terlibat kemalangan tak sampai sebulan selepas menang Lamborghini

Lelaki terlibat kemalangan tak sampai sebulan selepas menang Lamborghini


Seorang pemuda berusia 24 tahun yang memenangi supercar Lamborghini berharga £160,000 (RM864,760) menerima nasib malang apabila kenderaannya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya, lapor akhbar The Sun pada 26 Februari 2023.


Grant Burnett berkata, dia memenangi kereta Lamborghini Huracan yang boleh memecut sehingga lebih 323 kilometer sejam (km/j) dalam satu pertandingan cabutan bertuah secara online pada Disember tahun lalu.


Bagaimanapun, seorang pengguna media sosial kemudian menyiarkan gambar kereta yang remuk itu, dengan keterangan: "Tiga minggu kemudian."



Satu imej dalam talian menunjukkan bonet dan panel hadapan kereta tersebut hancur sepenuhnya dengan terdapat kesan calar besar di sebelah tayar belakang Lamborghini itu.


Burnett menolak dakwaan yang mengatakan bahawa dia telah berlumba dengan pemandu lain pada kelajuan lebih 241 km/j, sebaliknya mendakwa dia dilanggar dari belakang.


Dia menegaskan tidak bersalah dalam kejadian itu dan menulis: "Kereta itu akan remuk jika saya melanggar penghadang pada kelajuan itu. Mereka semua cemburu kerana tidak seorang pun daripada mereka yang memiliki kereta tersebut." - Sumber The Sun.


Burnett memandu Lamborghini yang dimenanginya kurang sebulan lalu sebelum terlibat dalam nahas jalan raya baru-baru ini. - Kennedy News and Media.

Ahad, 26 Februari 2023

Bola besi misteri terdampar di pantai Jepun didakwa UFO jatuh dari langit

Bola besi misteri terdampar di pantai Jepun didakwa UFO jatuh dari langit


Penduduk dan pihak berkuasa di Jepun bingung dengan kemunculan bebola logam besar misteri yang terdampar di kawasan pantai beberapa hari lalu.


Bola besi yang berukuran kira-kira 1.5 meter lebar itu muncul di pantai di Hamamatsu, sebuah bandar di Pulau Honshu.


Lapor media tempatan, Objek misteri itu menjadi bahan bualan dan mencetus spekulasi hangat sejak dihanyutkan di pantai Pasifik negara itu.


Kebimbangan tentang bom sesat disangkal selepas pakar yang menggunakan teknologi X-ray untuk memeriksa bahagian dalamnya mendapati objek itu berongga dan tidak akan meletup.



Sehingga kini tiada sebarang petanda untuk mengaitkan objek misteri itu dengan misi pengintipan oleh Korea Utara atau China.


Lapor Asahi TV, polis mula memeriksa bola berwarna coklat jingga dengan tompokan karat itu selepas seorang wanita tempatan ternampak objek berkenaan di atas pasir hanya beberapa meter dari pantai semasa dia keluar untuk bersiar-siar awal minggu ini.


"Pegawai mengepung kawasan itu dan memanggil pakar bahan letupan yang memakai pakaian pelindung untuk menyiasat lebih lanjut, tetapi laporan mengatakan pihak berkuasa masih tidak tahu apakah fungsi sfera itu atau dari mana ia datang.


"Gambar telah dihantar kepada pasukan pertahanan Jepun dan pengawal pantai untuk pemeriksaan lanjut," jelas laporan itu.



Ramai berpendapat bola besi itu menyerupai sesuatu daripada siri manga popular Dragon Ball, manakala yang lain percaya objek misteri itu adalah UFO yang jatuh dari langit.


Rakaman tentang objek itu mencetuskan spekulasi di media sosial, sejurus selepas Jepun mengesyaki beberapa belon pengintip China dikesan di wilayahnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Pada Rabu, Jepun menyatakan kebimbangannya mengenai belon pengawasan yang disyaki dikesan di ruang udaranya sekurang-kurangnya tiga kali sejak 2019. Beijing bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.


Penemuan sfera itu juga berlaku selepas Amerika Syarikat menembak jatuh apa yang dikatakan sebagai belon pengintip pada awal Februari. - Sumber The Guardian.


BACA: Penduduk bersorak lihat pesawat pejuang F-22 tembak jatuh 'belon pengintip' China.


Bola besi misteri dengan diameter 1. 5 meter terdampar di pantai Enshu di bandar Hamamatsu, Jepun. - Foto Twitter.

Khamis, 23 Februari 2023

Tandas pam ‘pertama’ berusia 2,400 tahun ditemukan di China

Tandas pam ‘pertama’ berusia 2,400 tahun ditemukan di China


Tandas pam berusia 2,400 tahun ditemukan di wilayah Shaanxi di China pada musim panas lalu dan didedahkan bulan ini, lapor China Daily.


Menurut pakar, tandas manual itu ditemukan di kawasan runtuhan istana di Yueyang yang mungkin digunakan sejak Zaman Negara Berperang (424 sebelum masihi) dan Dinasti Qin (221 hingga 206 sebelum masihi).


"Ia adalah tandas pam pertama dan satu-satunya yang pernah ditemukan di China. Semua orang di tapak itu terkejut, dan kemudian kami semua ketawa," kata Liu Rui, seorang penyelidik dari Institut Arkeologi di Akademi Sains Sosial China.


Menurut Rui, tandas manual dianggap sebagai barang 'mewah', sekurang-kurangnya untuk pemerintah dan bukan pelayan yang terpaksa menyiram sisa tuannya dengan air.


Tandas direka bentuk supaya 'mangkuk' berada di dalam manakala paip akan membawa sisa ke dalam lubang luar.


Tandas itu mungkin digunakan oleh Qin Xiaogong, yang hidup dari 381 hingga 338 atau bapanya, Qin Xian'gong (424 hingga 362), menurut penyelidik.


Kata penyelidik, bahagian rangka atas tidak ditemukan dalam penggalian, jadi tidak jelas sama ada pengguna akan duduk atau mencangkung ketika menggunakannya.


Rui membuat spekulasi pengguna terpaksa mencangkung berdasarkan rekod tandas dari Dinasti Han Barat.


"Tandas siram adalah bukti kukuh mengenai kepentingan orang Cina purba pada keperluan sanitasi," kata Rui. - Sumber New York Post.


Tandas pam pertama berusia 2,400 tahun yang ditemukan di wilayah Shaanxi. - Foto Institute of Archaeology.

Selasa, 21 Februari 2023

Serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di kota purba selatan Itali

Serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di kota purba selatan Itali


Penduduk ‘kota batu’ purba di selatan Itali dikejutkan dengan satu fenomena luar biasa selepas serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di pinggir bandar itu, Matera baru-baru ini, lapor akhbar The Guardian pada 19 Februari 2023.


Objek angkasa yang bergerak pada kelajuan 321 kilometer sejam itu dikesan di langit wilayah Puglia dan Basilicata pada 14 Februari lalu, membuatkan ia digelar ‘bebola api Hari Kekasih’.


Ia dikatakan jatuh di balkoni rumah pasangan adik beradik, Gianfranco dan Pino Losignore bersama ibu bapa mereka.


Mereka menyedari keadaan itu apabila melakukan pemeriksaan pada panel solar kediaman tersebut tiga hari kemudian.


Mereka mendapati panel dan jubin telah rosak, bersama dengan serpihan kelabu bertaburan di seluruh balkoni.


“Saya tidak berada di rumah ketika ia berlaku, namun ibu saya memberitahu dia ada mendengar bunyi dentuman kuat.


“Dia berasa bimbang, namun disebabkan cuaca berangin, saya menyangkakan bunyi dentuman itu adalah ranting pokok. Rupa-rupanya, ia adalah serpihan meteorit,” kata Gianfranco.


Bebola api meteorit itu dipantau pada kamera pengawasan Prisma, sebuah projek yang dikendalikan oleh Institut Astrofizik Itali, sekali gus membolehkan pakar mengesan lokasi ia jatuh.


Lebih 70 gram serpihan telah dikumpulkan setakat ini untuk kajian tersebut, yang kemudiannya akan dipamerkan di muzium.


Seorang wakil Prisma, Carmelo Falco berkata, meskipun banyak meteorit jatuh ke Bumi, apa yang jarang berlaku di Matera adalah ia mendarat pada permukaan bersih, justeru, objek itu tidak tercemar. - Sumber The Guardian.


Gianfranco menemui serpihan kelabu bertaburan di seluruh balkoni rumahnya. - Foto Gianfranco Losignore.

Ahad, 19 Februari 2023

Saintis beri amaran bahaya asteroid Itokawa, batu angkasa 'paling keras' yang boleh menceroboh pertahanan Bumi

Saintis beri amaran bahaya asteroid Itokawa, batu angkasa 'paling keras' yang boleh menceroboh pertahanan Bumi

Karya seni Sistem Suria, menunjukkan laluan lapan planet utama semasa mereka mengorbit Matahari. - Foto Getty Images.

Pakar-pakar memberi amaran mengenai sebuah asteroid bersaiz besar yang boleh menceroboh pertahanan Bumi sekiranya bergerak terlalu hampir dengan planet ini, lapor akhbar The Sun pada 24 Januari 2023 lalu.


Asteroid dikenali sebagai Itokawa itu memiliki ketinggian lebih daripada 1700 kaki, bersamaan dengan 535 meter.


Pakar-pakar menganggarkan bahawa impak yang menyebabkan terhasilnya Itokawa berlaku lebih 4.2 bilion tahun lalu, iaitu hampir menyamai usia sistem suria Bumi.


Menurut pakar Universiti Curtin di Perth, Profesor Fred Jourdan dan Profesor Madya Nick Timms, asteroid tersebut sukar untuk dimusnahkan berbanding dengan jasad kosmik lain.


"Asteroid merupakan ketulan serpihan berbatu di angkasa lepas yang merupakan sisa masa lalu yang lebih ganas dalam sistem suria kita.


"Terdapat dua jenis asteroid, iaitu jenis monolitik bersaiz kira-kira 1 kilometer (km) dalam diameter serta mempunyai jangka hayat yang diramal hanya beberapa ratus juta tahun," kata dua saintis tersebut.


Tambah mereka, satu lagi jenis asteroid adalah asteroid longgokan runtuhan seperti Itokawa, yang terdiri daripada batuan serpihan mampat dan akan menjadi lebih kuat dengan setiap hentaman.


"Pelanggaran berterusan hanya akan menghancurkan jurang antara batu dan bukannya memusnahkan batuan itu.


"Sekali ia terbentuk, amat sukar untuk memusnahkannya," tulis Jourdan dan Timms dalam satu laporan diterbitkan laman berita The Conversation.


Bagaimanapun, Agensi Angkasa Lepas Eropah berkata, Itokawa berada sekitar 42 juta kilometer dari Bumi, yang merupakan satu berita baik buat umat manusia. - Sumber The Sun.


BACA: NASA dedah imej terbaharu kapal angkasa DART hentam asteroid.


Ilustrasi longgokan runtuhan asteroid Itokawa. - Foto Kevin M.
Asteroid halimunan 'boleh menyerang Bumi bila-bila masa'

Asteroid halimunan 'boleh menyerang Bumi bila-bila masa'


Bumi boleh dihentam oleh bilangan asteroid yang tidak dapat dikesan lebih awal pada bila-bila masa sahaja, kata seorang pakar dalam satu amaran seperti yang dilaporkan oleh portal berita Daily Star pada 16 Februari 2023.


Insiden itu pernah berlaku apabila meteor Chelyabinsk selebar 19 meter meletup di ruang udara Russia pada 2013 dan tiada siapa tahu bagaimana batu angkasa tersebut memasuki ruang udara di selatan negara itu.


Dalam kejadian itu, seramai 1,600 orang cedera akibat gelombang kejut besar-besaran dan letupannya adalah sama dengan 35 bom di Hiroshima di Jepun pada tahun 1940-an.


Saintis-saintis menganggap bahaya yang akan timbul daripada asteroid yang tidak dapat dikesan atau asteroid halimunan pada masa hadapan berpunca daripada silauan matahari.


Berikutan begitu ramai yang cedera disebabkan letupan meteor Chelyabinsk, sistem baharu dinamakan Near Earth Object Mission (NEOMIR) sedang diusahakan untuk memberi amaran awal kepada orang ramai supaya mereka selamat sekiranya kejadian serupa berulang.


NEOMIR akan dilaksanakan lewat dekad ini bagi mengawasi objek yang menuju ke Bumi dari arah Matahari.


Ketua Pertahanan Planet Agensi Angkasa Eropah, Richard Moissl berkata: "Asteroid sebesar meteor Chelyabinsk 'menyerang' sekitar selang 50 hingga 100 tahun."


"Kecederaan yang disebabkan oleh letupan di udara atau kejadian serupa boleh dicegah jika orang ramai dimaklumkan tentang kesan yang akan berlaku dan ia boleh diramal. Dengan amaran awal, pihak berkuasa tempatan akan dapat menasihati orang ramai supaya menjauhkan diri dari tingkap dan kaca," tambahnya.


NEOMIR akan berada di antara Bumi dan Matahari jauh dari atmosfera Bumi. - Sumber Daily Star.


Bumi boleh dihentam asteroid yang tidak dapat dikesan terlebih dahulu pada bila-bila seperti yang pernah berlaku di Russia pada 2013. - Foto GettyImages/SciencePhotoLibrary RF.