Ahad, 19 Februari 2023

Saintis beri amaran bahaya asteroid Itokawa, batu angkasa 'paling keras' yang boleh menceroboh pertahanan Bumi

Karya seni Sistem Suria, menunjukkan laluan lapan planet utama semasa mereka mengorbit Matahari. - Foto Getty Images.

Pakar-pakar memberi amaran mengenai sebuah asteroid bersaiz besar yang boleh menceroboh pertahanan Bumi sekiranya bergerak terlalu hampir dengan planet ini, lapor akhbar The Sun pada 24 Januari 2023 lalu.


Asteroid dikenali sebagai Itokawa itu memiliki ketinggian lebih daripada 1700 kaki, bersamaan dengan 535 meter.


Pakar-pakar menganggarkan bahawa impak yang menyebabkan terhasilnya Itokawa berlaku lebih 4.2 bilion tahun lalu, iaitu hampir menyamai usia sistem suria Bumi.


Menurut pakar Universiti Curtin di Perth, Profesor Fred Jourdan dan Profesor Madya Nick Timms, asteroid tersebut sukar untuk dimusnahkan berbanding dengan jasad kosmik lain.


"Asteroid merupakan ketulan serpihan berbatu di angkasa lepas yang merupakan sisa masa lalu yang lebih ganas dalam sistem suria kita.


"Terdapat dua jenis asteroid, iaitu jenis monolitik bersaiz kira-kira 1 kilometer (km) dalam diameter serta mempunyai jangka hayat yang diramal hanya beberapa ratus juta tahun," kata dua saintis tersebut.


Tambah mereka, satu lagi jenis asteroid adalah asteroid longgokan runtuhan seperti Itokawa, yang terdiri daripada batuan serpihan mampat dan akan menjadi lebih kuat dengan setiap hentaman.


"Pelanggaran berterusan hanya akan menghancurkan jurang antara batu dan bukannya memusnahkan batuan itu.


"Sekali ia terbentuk, amat sukar untuk memusnahkannya," tulis Jourdan dan Timms dalam satu laporan diterbitkan laman berita The Conversation.


Bagaimanapun, Agensi Angkasa Lepas Eropah berkata, Itokawa berada sekitar 42 juta kilometer dari Bumi, yang merupakan satu berita baik buat umat manusia. - Sumber The Sun.


BACA: NASA dedah imej terbaharu kapal angkasa DART hentam asteroid.


Ilustrasi longgokan runtuhan asteroid Itokawa. - Foto Kevin M.


EmoticonEmoticon