Rabu, 27 Oktober 2021

Pakar Dakwa UFO Pernah Matikan Fungsi Keupayaan Nuklear Di Bumi

Pakar Dakwa UFO Pernah Matikan Fungsi Keupayaan Nuklear Di Bumi

Credit: IgorZh/Shutterstock.

Banyak cerita mengenai objek terbang tidak dikenali (UFO) keluar dari seluruh dunia. Pelbagai cerita boleh kita dengar dari mereka yang berpengalaman melihatnya, tak kurang juga yang mengaku pernah diculik 'alien'.


Misteri UFO tidak pernah terungkai hingga sekarang oleh pengkaji Barat. Sejak tahun 1950-an manusia telah melihat objek misteri ini. Sejak itu ramai yang mengkajinya.


Menerusi laporan akhbar Daily Star pada Jun lalu, mengatakan bahawa UFO mempunyai kemampuan melebihi teknologi ketenteraan atau awam masa kini, serta dikatakan pernah mengganggu fasiliti nuklear.


Dakwaan itu disuarakan bekas ketua sebuah agensi penyelidikan UFO Amerika Syarikat (AS), Luis Elizondo. Katanya, objek asing tersebut pernah menyebabkan kemudahan nuklear tidak berfungsi sebelum ini.


"Pernah terjadi beberapa insiden di mana fenomena udara tidak dikenali (UAP) ini mengganggu dan mematikan fungsi keupayaan nuklear kita. UAP juga dilihat seperti 'berminat' dengan air, terutamanya senjata nuklear.


"Saya rasa sehingga kini, kita mempunyai data yang mencukupi bagi menggambarkan ia berminat dengan teknologi nuklear serta berpotensi untuk mengganggu teknologi tersebut," katanya kepada akhbar Washington Post.


Tambah Elizondo, walau apa jua di sebalik fenomena UAP tersebut, teknologi yang dimiliki UFO ternyata di luar jangkaan manusia. Katanya, pertama sekali adalah teknologi halaju hipersonik, iaitu kelebihan untuk mengubah arah secara pantas.


"Kemampuan bergerak berkelajuan tinggi objek tersebut tidak menyamai mana-mana keupayaan pesawat ketenteraan kerana ia pernah dilihat melakukan pusingan 90 darjah pada kelajuan hipersonik," ujarnya.


Menurut Elizondo, terdapat tiga kebarangkalian yang boleh menjelaskan fenomena UAP. Sama ada ia merupakan projek ketenteraan AS, teknologi canggih dari musuh asing atau sesuatu yang benar-benar berbeza.


UFO didakwa berminat dengan teknologi nuklear dan mempunyai keupayaan teknologi yang melebihi pesawat ketenteraan. - Foto Getty Images/Daily Star.
Rugi RM4,240 Angkara Beli Pokok Keladi Hiasan Dalam Talian

Rugi RM4,240 Angkara Beli Pokok Keladi Hiasan Dalam Talian

Gambar Hiasan.

KUANTAN - Seorang suri rumah berusia 36 tahun terpaksa menanggung kerugian sehingga RM4,240 selepas ditipu dalam urusan pembelian sepokok keladi hiasan yang berharga RM140 menerusi dalam talian.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang tinggal di Semambu di sini, tertarik dengan iklan penjualan pokok hiasan terbabit di aplikasi TikTok.


"Mangsa telah menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp pada 24 Oktober lalu dan bersetuju untuk membeli sepokok keladi hiasan pada harga RM140.


"Selepas itu, mangsa menggunakan aplikasi perbankan internet telah membuat pembayaran sejumlah RM140 kepada suspek pada hari yang sama," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Tambah beliau, keesokan hari mangsa telah menerima mesej WhatsApp daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat kurier, dan meminta mangsa membuat bayaran tambahan sebagai kos menjaga pokok berkenaan sepanjang proses penghantaran.


"Mangsa telah membuat empat transaksi pembayaran berjumlah RM4,240 sebagai kos penjagaan pokok itu, termasuk kos penyemburan agar ia berada dalam keadaan baik semasa proses penghantaran," katanya 


Menurutnya, selepas membuat semua bayaran berkenaan, suspek masih meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM2,000 namun mangsa tidak berbuat demikian kerana menyedari sudah ditipu.


Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Selasa, 26 Oktober 2021

AS Bersiap Sedia Bina 'Lebuh Raya' Di Angkasa Lepas Perjalanan Ke Bulan

AS Bersiap Sedia Bina 'Lebuh Raya' Di Angkasa Lepas Perjalanan Ke Bulan

Gambar hiasan.
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk membina sebuah 'lebuh raya angkasa lepas', yang lengkap dengan beberapa perhentian dalam menjadikan sesi lawatan ke ruang angkasa sebagai suatu kebiasaan, lapor akhbar Daily Star pada 24 Oktober 2021.

Komando Pengangkutan AS dan Angkatan Angkasa Lepas AS yakin bahawa orang ramai akan menggunakan lebuh raya angkasa lepas pada masa akan datang. Bagi tujuan itu, beberapa hab untuk mengisi bahan api yang lengkap dengan perkhidmatan baik pulih turut akan dibina.

Sistem yang akan dibangunkan negara itu turut dilihat dapat membawa rakan kerjasama komersial serta sekutu AS untuk membuat lawatan kerap dan berulang-alik ke Bulan serta seluruh alam semesta.

Selain itu, AS juga sedang meninjau lokasi orbit yang sesuai untuk dijadikan perhentian dengan jangkaan untuk beroperasi dalam jangka masa lebih cepat bagi menandingi China.

Ketua Angkatan Angkasa Lepas, Bridget Jeneral John Olson berkata, mereka telah menetapkan standard, doktrin serta tadbir urus dalam kalangan prinsip-prinsip yang mereka percaya.

"Sebagai mana bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi untuk Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa untuk angkasa lepas, saya percaya bahawa pengangkutan angkasa lepas juga akan menggunakan bahasa ini, dan bukannya Mandarin," katanya.

AS dan China ketika ini sedang bersaing untuk mendarat di Bulan. Pihak pertama yang berjaya sampai berpeluang memilih hartanah pertama di situ, di mana pangkalan bulan berkemungkinan dapat dibina.

Beberapa perhentian juga akan dibina bagi menjadikan sesi lawatan ke ruang angkasa sebagai suatu kebiasaan. - Foto Chianim8r.

Isnin, 25 Oktober 2021

Sorok Duit Dari Isteri, Lelaki Berputih Mata Duit Puluhan Ribu Rosak Digigit Tikus

Sorok Duit Dari Isteri, Lelaki Berputih Mata Duit Puluhan Ribu Rosak Digigit Tikus


Gara-gara ingin menyembunyikan wang daripada isteri, seorang lelaki berputih mata apabila wang simpanan bernilai puluhan ribu rosak setelah digigit tikus, lapor Liputan6 pada 17 Oktober 2021 lalu.


Lelaki berkenaan bertindak menyembunyikan wang berjumlah 45,000 Baht (RM5,617) di dalam bonet hadapan keretanya kerana merasakan bahawa ia tidak akan ditemui oleh isterinya.


Menerusi perkongsian itu di TikTok, dapat dilihat bahawa wang tersebut diletakkan di bahagian bonet hadapan kenderaan berkenaan yang bersambung dengan bahagian papan pemuka (dashboard).



Mungkin dia menganggap bonet kereta adalah tempat yang selamat, lelaki berkenaan terkejut apabila mendapati wang kertas miliknya itu berlubang dan mempunyai kesan gigitan tikus.


Lebih malang apabila keretanya juga mengalami kerosakan kerana tikus-tikus tersebut. Warganet yang menonton video berkenaan menzahirkan simpati atas nasib yang menimpa lelaki tersebut.


Ada sesetengah netizen yang memberikan nasihat kepada lelaki itu agar segera menukarkan wang yang telah rosak di Bank of Thailand. Difahamkan bank berkenaan menerima pertukaran wang yang rosak sekiranya syarat dipenuhi.


Menunggang Secara Berbahaya, Dua 'Superman' Dicekup

Menunggang Secara Berbahaya, Dua 'Superman' Dicekup


Dua remaja ditahan selepas aksi mereka menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi Superman, di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berhampiran susur persimpangan Ampangan, Seremban, tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kedua-dua lelaki berusia 16 dan 20 tahun itu ditahan polis masing-masing di Taman Matahari Indah dan Taman Bandar Senawang, malam tadi.


Katanya, mereka ditahan susulan video berdurasi 12 saat memaparkan aksi mereka tular sejak semalam. Video itu memaparkan suspek menunggang sambil meniarap di atas tempat duduk ala Superman dan menunggang secara zig-zag.


"Aksi itu bukan saja berbahaya kepada diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, berdasarkan rakaman video berkenaan, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 5.30 petang yang mana suspek dipercayai dari arah Bukit Berembun, Jalan Pantai menghala ke arah Senawang.


Katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Rakaman N video menunjukkan aksi penunggang motosikal menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi Superman di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Ahad, 24 Oktober 2021

'Jiran Dari Neraka' Lempar Najis Setiap Hari Ke Halaman Rumah Jirannya

'Jiran Dari Neraka' Lempar Najis Setiap Hari Ke Halaman Rumah Jirannya


Seorang wanita di London mendedahkan bahawa dia mempunyai jiran bersikap biadab yang gemar membuang najis kanak-kanak dan anjing ke arah pintu hadapan rumahnya, lapor akhbar The Sun pada 22 Oktober 2021.


Menerusi perkongsian di TikTok, wanita tersebut menyatakan bahawa sikap biadab jirannya itu berlaku setiap hari.


Dalam klip video pertama yang dikongsi, wanita itu menulis keterangan "Jiran dari neraka" apabila jirannya itu dilihat sedang mengaut najis anjing di halaman rumahnya dan membuang semula ke arah rumah wanita berkenaan.



Video itu menjadi tular dengan menerima tontonan melebihi 122,000 kali di samping pelbagai komen ditinggalkan.


Selain itu, dalam satu video berlainan, jiran yang sama dilihat melempar najis anaknya ke arah halaman rumah wanita berkenaan.


"Letak sahaja (najis) betul-betul di hadapan pintu rumahnya supaya dia terpijak najis itu apabila keluar dari rumah," komen seorang pengguna yang turut tidak senang melihat sikap biadab jiran itu.


"Anda perlu bersemuka dengannya. Itu adalah hak anda. Jika saya di tempat anda, saya pasti akan muncul di pintu rumahnya dalam masa beberapa saat," kata seorang lagi netizen.


Gambar kiri memaparkan seorang wanita mengaut najis anjing dan gambar kanan dia membuang semula najis itu ke rumah jiran yang berhadapan dengan rumahnya.
Anjing Terbiar Membawa Mangkuk Kosong Dan Berjalan Dari Rumah Ke Rumah Cari Makanan

Anjing Terbiar Membawa Mangkuk Kosong Dan Berjalan Dari Rumah Ke Rumah Cari Makanan


Sebuah rakaman yang memperlihatkan seekor anjing terbuang mengalami nasib yang menyedihkan selepas dilihat berjalan sambil membawa mangkuk kosong dan berkunjung dari satu rumah ke rumah lain.


Video berdurasi 1 minit 34 saat itu dirakam oleh pasukan sukarelawan World Animal Awareness Society, yang melancarkan Projek Haiwan Jalanan Amerika Syarikat (AS).


Dalam video yang dirakam di sebuah kawasan kejiranan di Detroit, AS itu menunjukkan kesungguhan seekor anjing berjalan di dalam kawasan yang dipenuhi semak samun untuk mencari individu yang sudi berkongsi makanan dengannya.


Anjing yang kelaparan itu mengunjungi lima buah rumah dengan meletakkan mangkuk di hadapan rumah terbabit, kemudian menyalak meminta makanan. Namun ia tidak sedar kesemua rumah terbabit telah ditinggalkan penghuninya.



Anjing itu bersama seekor lagi berteduh di salah sebuah rumah kosong di kawasan itu. Pasukan sukarelawan menemui kedua-dua anjing itu, kemudian mengisi mangkuk makanan anjing tersebut dengan makanan dan minuman.


Memetik laman berita Lolitopia, dilaporkan bahawa anjing liar di kawasan itu kini telah diselamatkan. Haiwan itu dibawa ke kemudahan penjagaan yang dikendalikan oleh sukarelawan berkenaan.


Video terbabit dirakam bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai nasib haiwan yang ditinggalkan serta memperbetulkan pandangan bahawa haiwan ini berupaya untuk menjaga diri serta mencari makanan sendiri.


Seekor anjing mengunjungi lima buat rumah dengan mangkuk makanannya namun hampa kerana tiada siapa yang tinggal di kawasan terbabit.
Cahaya Misteri Muncul Di Langit Australia Dikaitkan Kehadiran 'Alien'

Cahaya Misteri Muncul Di Langit Australia Dikaitkan Kehadiran 'Alien'


Seorang pengguna jalan raya telah merakam satu cahaya misteri muncul di langit sebuah kawasan pedalaman di negeri Queensland, Australia, baru-baru ini.


Berikutan itu, para pengguna media sosial yang melihat gambar cahaya misteri itu yang dikongsi oleh seorang wanita di Facebook, turut bingung bagi memberikan jawapan tepat tentang kewujudan cahaya tersebut.


Cahaya itu pada mulanya dikesan oleh seorang wanita yang namanya tidak didedahkan selepas ia dirakamkan menerusi kamera pada papan pemuka sebuah kenderaan di bandar Mount Isa, Queensland, pada 19 Oktober 2021 lalu.


Cahaya itu dilihat bergerak jatuh dari langit selama beberapa saat, kemudian ia seakan kelihatan 'meletup' seperti kena sambaran kilat sebelum ia menghilang.


Wanita itu kemudian meminta pandangan daripada netizen kelab peminat Radar Biro Meteorologi di Facebook untuk mendapatkan jawapan. Seorang netizen di laman Facebook itu menyatakan cahaya tersebut kemungkinan objek terbang tidak dikenali atau UFO.


Salah seorang lagi netizen memberikan pandangan berbeza dengan menyatakan ia kemungkinan sebuah komet yang kecil. Namun ada juga yang percaya bahaya objek bercahaya putih itu merupakan meteor atau tahi bintang.


Cahaya misteri (kanan) dirakamkan di bandar Mount Isa, Queensland pada 19 Oktober 2021 lalu.
NASA Dedah Rakaman Suara 'Menakutkan' Dari Planet Marikh

NASA Dedah Rakaman Suara 'Menakutkan' Dari Planet Marikh


Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) menyiarkan rakaman suara dari Marikh, yang diperoleh dari dua mikrofon yang dipasang pada kapal angkasa lepas yang tiba di planet itu, sejak Februari lalu.


Menerusi laporan NASA pada 18 Oktober 2021, mikrofon tersebut dipasangkan pada kenderaan penjelajah NASA. Perseverance adalah pesawat pertama yang merakam suara di Marikh seperti mendengar bunyi angin dan memberikan maklumat lain tentang atmosfera.


Penyelidik Baptiste Chide, dari L'Institut de Recherche en Astrophysique et Planétologie di Toulouse, Perancis memaklumkan hasil analisis rakaman suara Marikh terdapat 'getaran bass yang kuat'.


"Ia seperti kamu betul-betul berdiri disana," kata Baptiste Chide, dan mengatakan rakaman suara itu membolehkan ahli sains dan jurutera melihat Planet Merah itu dengan cara baharu.


Rakaman suara itu membantu jurutera NASA memantau mesin, roda dan pengoperasian umum helikopter Perseverance dan Ingenuity. Selain itu, ia juga membantu ilmuan mengkaji perubahan atmosfera planet.


Bunyi tiupan angin berkenaan agak 'menakutkan' memandangkan planet Marikh adalah sebuah planet yang tidak berpenghuni dan sunyi. NASA turut mengajak orang ramai mendengar bersama bunyi tersebut.


NASA memaklumkan dua mikrofon itu berjaya merakam suara di planet Marikh selama lima jam.

Sabtu, 23 Oktober 2021

Wanita Mati Ditembak Selepas Menyamar Sebagai Hantu Untuk Menakutkan Jirannya

Wanita Mati Ditembak Selepas Menyamar Sebagai Hantu Untuk Menakutkan Jirannya


Tindakan seorang wanita yang menyamar sebagai hantu dengan niat untuk menakut-nakutkan jirannya berakhir tragedi, apabila dia mati ditembak oleh seorang penduduk di bandar Mexico, lapor New York Post pada 22 Oktober 2021.


Ketika kejadian, mangsa yang tidak didedahkan identitinya itu dikatakan sedang merayau-rayau di jalan-jalan di bandar Naucalpan de Juárez, Mexico dengan memakai sehelai gaun putih dan kerudung.


Wanita itu turut melaungkan kata-kata "Oh, anak-anakku", dalam nada menyeramkan dengan meniru aksi hantu dikenali sebagai 'La Llorona' di Amerika Latin.


Menurut kepercayaan penduduk tempatan, hantu 'La Llorona' sering berkeliaran di jalan-jalan sambil meratapi kematian anak-anaknya. Wanita tersebut dilaporkan berbuat begitu kerana mahu menakut-nakutkan penduduk di kawasan kejiranan San Miguel Doram pada 15 Oktober lalu.


Seorang penduduk berjaya merakam kelibat wanita itu tidak lama sebelum dia ditembak sebanyak beberapa das tembakan oleh seorang jiran yang takut melihatnya.


Menurut laporan tempatan, penembak yang ketakutan itu melarikan diri selepas melepaskan tembakan ke arah wanita itu. Polis Perbandaran belum mendedahkan identiti mangsa dan hanya mengatakan mangsa berusia lingkungan 20-an.


Pihak berkuasa negeri telah melancarkan siasatan terhadap kejadian yang mengejutkan itu. Bagaimanpun, belum ada tangkapan dibuat berkaitan dengan insiden tembakan tersebut.


Wanita tersebut memakai gaun putih dan kerudung di kawasan gelap untuk menakut-nakutkan jirannya. - Foto Getty Images/iStockphoto.