Rabu, 27 Oktober 2021

Rugi RM4,240 Angkara Beli Pokok Keladi Hiasan Dalam Talian

Gambar Hiasan.

KUANTAN - Seorang suri rumah berusia 36 tahun terpaksa menanggung kerugian sehingga RM4,240 selepas ditipu dalam urusan pembelian sepokok keladi hiasan yang berharga RM140 menerusi dalam talian.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang tinggal di Semambu di sini, tertarik dengan iklan penjualan pokok hiasan terbabit di aplikasi TikTok.


"Mangsa telah menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp pada 24 Oktober lalu dan bersetuju untuk membeli sepokok keladi hiasan pada harga RM140.


"Selepas itu, mangsa menggunakan aplikasi perbankan internet telah membuat pembayaran sejumlah RM140 kepada suspek pada hari yang sama," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Tambah beliau, keesokan hari mangsa telah menerima mesej WhatsApp daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat kurier, dan meminta mangsa membuat bayaran tambahan sebagai kos menjaga pokok berkenaan sepanjang proses penghantaran.


"Mangsa telah membuat empat transaksi pembayaran berjumlah RM4,240 sebagai kos penjagaan pokok itu, termasuk kos penyemburan agar ia berada dalam keadaan baik semasa proses penghantaran," katanya 


Menurutnya, selepas membuat semua bayaran berkenaan, suspek masih meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM2,000 namun mangsa tidak berbuat demikian kerana menyedari sudah ditipu.


Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.


EmoticonEmoticon