Selasa, 19 Oktober 2021

Pemancing Selamatkan Anak Kucing Dicampak Dari Jambatan Pulau Pinang

Pemancing Selamatkan Anak Kucing Dicampak Dari Jambatan Pulau Pinang


GEORGETOWN - Sebuah video berdurasi 18 saat yang tular di media sosial petang tadi memaparkan seorang lelaki menyelamatkan seekor anak kucing, yang dipercayai dicampak individu tidak dikenali dari atas Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang, hari ini.


Pemandu bot pelancong, Sobri Karim, 36, berkata, dia menerima panggilan daripada seorang nelayan untuk membantu membawa anak kucing itu ke jeti nelayan Batu Uban dekat sini untuk diselamatkan kira-kira pukul 3.30 petang.


Kata Sobri, dia dimaklumkan nelayan tersebut mengatakan bahawa anak kucing berbulu hitam itu dijumpai semasa dia sedang memancing ikan di tiang 67 di bawah Jambatan Pulau Pinang.


Jelasnya, nelayan berkenaan mendakwa anak kucing itu ditemukan sedang berenang menghampiri tembok tiang itu selepas dicampak kira-kira 20 meter dari atas jambatan.


"Nelayan yang sedang memancing tersebut kemudiannya terus membawa naik haiwan tersebut dengan menggunakan penyauk ikan. Saya terus ke lokasi penemuan anak kucing itu sejurus menerima panggilan untuk membantu membawa anak kucing itu pulang ke jeti," katanya.


Dalam pada itu, video anak kucing yang diselamatkan tersebut yang berdurasi kira-kira 18 saat dan dirakam Sobri tular di media sosial hari ini, dengan rata-rata netizen memuji dan melahirkan penghargaan atas usaha murni kaki pancing berkenaan menyelamatkan haiwan terbabit.


Sementara itu Sobri menambah, dia tidak menyangka ada individu sanggup bertindak kejam terhadap haiwan perliharaan tersebut tanpa perikemanusiaan.


Tangkap layar seorang kaki pancing menyelamatkan seekor anak kucing yang dipercayai dicampak individu tidak dikenali dari atas Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tadi.
Pemancing Terkejut Dapat Ikan Berkepala Buaya Di Sungai Texas

Pemancing Terkejut Dapat Ikan Berkepala Buaya Di Sungai Texas


Seorang pemancing, Danny Lee Smith berjaya menangkap seekor ikan berkepala buaya di sebatang sungai di Texas. Dia memangkap ikan itu di Sungai Neosho di negeri Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu, lapor New York Post pada 14 Oktober 2021.


"Ketika pertama kali ikan itu keluar dari air, saya terkejut dan terpaku seketika. Walaupun sebelum ini saya telah berjaya memancing pelbagai spesies ikan, tetapi tidak seperti ini. Ia adalah pengalaman pertama seumur hidup," kata Smith.


Namun, kejayaannya menangkap hidupan air itu hanya didedahkan menerusi satu dokumentari yang disiarkan baru- baru ini di AS.


Berat ikan berkepala buaya yang berjaya ditangkap oleh Smith dengan pancingnya itu ialah 17.92 kilogram (kg) manakala panjang haiwan tersebut ialah 1.37 meter.



Menurut satu kenyataan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Kansas (KDWP), lelaki itu berjaya memangkap haiwan itu setelah dia mengikuti tip memancing ikan di sungai berkenaan.


Menurut Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan AS, haiwan itu boleh ditemui di kawasan dari barat daya Ohio dan selatan IIIinois sehingga ke Sungai Mississippi serta di Teluk Mexico.


Bagaimana haiwan itu boleh berada di Sungai Neosho masih menjadi misteri. Ini adalah kerana ikan itu bukannya haiwan yang hidup secara semula jadi di sungai itu.


Justeru, Penyelia Ikan di Jabatan Hidupan Liar dan Taman Kansas, Sean Lynott percaya ikan tersebut kemungkinan dilepaskan ke sungai itu dari sebuah akuarium.


"Terdapat juga kemungkinan bahawa seseorang individu telah melepaskan haiwan itu ke sungai tersebut," kata Sean Lynott.


Danny Lee Smith berjaya menangkap ikan berkepala buaya di Sungai Neosho, Kansas baru -baru ini. - Foto KDWP.

Isnin, 18 Oktober 2021

Lelaki Tidak Berbaju Bersenjata Parang Mengamuk Tengah Jalan Sebabkan Kesesakan Lalu Lintas

Lelaki Tidak Berbaju Bersenjata Parang Mengamuk Tengah Jalan Sebabkan Kesesakan Lalu Lintas


Tindakan seorang lelaki bersenjatakan parang yang mengamuk dengan mengacukan senjata itu kepada kenderaan di jalan Temerloh-Maran, mengemparkan pengguna jalan raya berkenaan pada pagi Ahad lalu.


Dalam kejadian jam 11 pagi berhampiran Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) itu, suspek yang tidak berbaju menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas kira-kira 3 kilometer, apabila ramai pengguna jalan raya tidak berani melalui kawasan itu kerana bimbangkan keselamatan masing-masing.


Seorang pengguna jalan raya berkenaan, Khaidir Ahmad, 59, memberitahu, ketika kejadian, dia sedang menghala ke Batu 4 di sini atas urusan kerja. Sebaik tiba di tempat kejadian, dia terkejut apabila melihat deretan kenderaan yang berhenti hingga menyebabkan kesesakan jalan.


"Seorang lelaki yang tidak berpakaian mengacukan parang kepada kenderaan yang lalu-lalang namun saya memberanikan diri, namun ada juga yang berpatah balik, syukur tidak berlaku apa-apa," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.


Ujarnya, kejadian berkenaan tidak menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kejadian itu termasuk sekiranya suspek mempunyai masalah mental.


"Setakat ini tiada individu yang tampil membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan termasuk melakukan ujian urin terhadap suspek," katanya.


Insiden lelaki mengamuk bersenjatakan parang di jalan lama Temerloh-Maran turut menyebabkan kesesakan jalan raya sehingga kira-kira 3 kilometer.

Ahad, 17 Oktober 2021

Arahan Mengosongkan Kebun Durian Musang King Muktamad, Tak Ditarik Balik

Arahan Mengosongkan Kebun Durian Musang King Muktamad, Tak Ditarik Balik


Pada 14 Oktober lalu, sebahagian pengusaha 'Musang King' berkumpul di kebun mereka yang dikatakan termasuk dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Galas, di Kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan, mahu kerajaan negeri memberi ruang rundingan kepada mereka.


Pengarah Perhutanan negeri, Abdul Khalim Abu Samah berkata, arahan mengosongkan kebun durian Musang King dan Getah yang diteroka dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Galas adalah muktamad dan tidak akan ditarik balik.


Tegas beliau, peneroka diharap mematuhi arahan itu kerana tempoh masa 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan pada 30 September lalu sudah tamat.


"Alasan tidak tahu kawasan itu merupakan hutan simpan bukan isunya kerana kalau pun tanah itu bukan hutan simpan, ia sudah semestinya tanah kerajaan dan tidak boleh diterokai sewenang-wenang.



"Mereka telah meneroka selama 25 tahun tanpa sebarang bayaran kepada kerajaan negeri. Sepatutnya tidak ada masalah untuk keluar dari kawasan tersebut," katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.


Terdahulu, lebih 30 pengusaha kebun durian Musang King dan getah seluas 90 hektar di Kampung Pulai terkedu diarah pihak berkuasa supaya mengosongkan kawasan itu setelah 25 tahun mengusahakannya.


Menurut kumpulan pekebun terbabit, perkara itu disifatkan amat mengejutkan kerana ha­nya selepas 25 tahun ini, barulah mereka diberitahu kawasan diusahakan merupakan sebahagian daripada hutan simpan.


Abdul Khalim dalam pada itu berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut berkaitan pencerobohan tanah Hutan Simpan Ulu Galas dan sekadar memberitahu, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat.


"Buat masa ini saya harap arahan pengosongan dipatuhi kerana ia tidak akan ditarik balik," tegas beliau, seperti yang dilaporkan laman berita Utusan Malaysia, hari ini. Artikel Berkaitan: Pekebun 'Musang King' Di Hutan Simpan Ulu Galas, Mahu Kerajaan Negeri Memberi Ruang Rundingan.

Saintis Percaya Marikh Sama Seperti Bumi Mempunyai Lautan Dan Hidupan Ketika Zaman Purba

Saintis Percaya Marikh Sama Seperti Bumi Mempunyai Lautan Dan Hidupan Ketika Zaman Purba


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mengeluarkan sebuah video yang menjelaskan mengenai faktor-faktor yang menyebabkan agensi itu percaya bahawa Marikh ketika zaman purba adalah sama seperti Bumi.


Menerusi lapor akhbar The Sun pada 16 Oktober 2021, Saintis NASA, Dr. Becky McCauley Rench berkata, mereka berpendapat bahawa planet Marikh adalah lebih 'lembap dan hangat' ketika ia mula wujud.


"Ketika sistem solar wujud sekitar lebih empat bilion tahun dahulu, Marikh dan Bumi terhasil daripada bahan yang sama, sekali gus menyebabkan kedua-dua planet ini kelihatan sama.


"Bagaimanapun, pada hari ini jika kita melihat ke arah Marikh, ia kelihatan seperti sebuah planet yang sangat kering berbanding dengan Bumi yang mempunyai warna biru," katanya.


Rench dalam video tersebut turut mengatakan bahawa, mereka percaya Marikh mempunyai lautan utara yang cetek dahulu, namun ia telah hilang, sekali gus menjadikan planet ini berbeza dengan Bumi.


Persamaan yang boleh dikaitkan antara kedua-dua planet itu adalah penting buat para saintis kerana ia dapat membantu mereka mencari petanda bagi kehidupan zaman purba di Marikh.


"Aktiviti geologi di Marikh ketika tempoh masa itu semakin berkurang, di mana ia kehilangan air dan akhirnya menjadi sebuah planet yang semakin kering. Ini berbeza dengan Bumi di mana planet ini terus melalui proses 'kemajuan' dengan tektonik plat dan perkembangan kehidupan," jelasnya.


Selain itu, para saintis turut percaya bahawa unsur air masih wujud di permukaan Marikh pada hari ini namun dalam bentuk ais. Mereka juga yakin bahawa bahagian bawah tanah bagi permukaan planet itu mempunyai banyak air, namun lebih banyak kajian diperlukan bagi memastikannya.


Imej gambaran NASA memaparkan keadaan planet Marikh yang dipercayai mempunyai lautan cetek ketika ia mula wujud. - Foto NASA.
Dikatakan Mengalami Gangguan Mistik, Bomoh 'Meratah' Bakal Pengantin

Dikatakan Mengalami Gangguan Mistik, Bomoh 'Meratah' Bakal Pengantin

Bomoh yang juga pesara kerajaan ditahan polis pada 12 tengah malam hari yang sama di rumahnya.

Bakal pengantin perempuan yang dikatakan mengalami gangguan makhluk halus dan mendapatkan rawatan bertukar tragedi apabila dia dirogol bomoh semasa upacara tersebut berlangsung di Kampung Tendong, Pasir Mas.


Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Nasaruddin Md Nasir berkata, gadis itu mendakwa terjumpa suspek berusia 67 tahun terbabit di sebuah kedai pada Khamis lalu dan menceritakan masalahnya.


Katanya, suspek kemudian memberitahu boleh merawat dan meminta mangsa ke rumahnya sebelum gadis berusia 23 tahun itu hadir pada jam 3 petang bersama bakal suaminya. 


"Lelaki terbabit meminta wanita berkenaan masuk ke bilik rawatan melalui pintu belakang rumah dengan diiringi isterinya yang dikenali dengan panggilan Mak Su," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.


Nasaruddin berkata, semasa ditinggalkan dalam bilik bersendirian bersama suspek, lelaki itu meminta mangsa menanggalkan seluar dipakainya kononnya sebahagian daripada rawatan. Dia kemudian bertindak menggosok paha serta kemaluan mangsa.


"Selepas memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa, suspek kemudian bertindak lebih berani dengan memasukkan alat sulitnya pula. Sesi 'rawatan' selama setengah jam itu berakhir dengan kejadian rogol," katanya.


Menurutnya, suspek memberi amaran supaya mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa selain meminta gadis berkenaan datang sekali lagi bagi membuat rawatan susulan.


Kata beliau, suspek juga memberi amaran kepada wanita itu agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu tetapi mangsa menceritakan kepada bakal suaminya serta keluarga sebelum tampil membuat laporan polis.


"Susulan laporan itu, suspek yang juga pesara kerajaan ditahan polis pada 12 tengah malam hari yang sama di rumahnya. Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Oktober depan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


"Hasil siasatan mendapati suspek aktif menjalankan perubatan tradisional sejak 1985. Selain itu kita juga dapati suspek menggunakan modus operandi gangguan makhluk halus sebelum 'meratah' mangsa," katanya.


Mohd. Nasaruddin tidak menolak kemungkinan itu bukan kejadian pertama berlaku dan menyeru mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa perbuatan suspek turut tampil membuat laporan polis.


Nasaruddin Md Nasir beramah mesra dengan pengamal media selepas sidang akhbar di IPD Pasir Mas, Kelantan, hari ini.
Bangga Bergelar Nenek Termuda, Wanita Berusia 33 Tahun Dah Timang Cucu

Bangga Bergelar Nenek Termuda, Wanita Berusia 33 Tahun Dah Timang Cucu


Di zaman moden ini, ramai wanita berusia 30-an masih sibuk membina kerjaya dan belum berkahwin, namun baru-baru ini tular seorang wanita telah selamat menimang cucu pada usia 33 tahun, sekali gus menjadi seorang nenek termuda di Britain, United Kingdom.


Menerusi laporan akhbar The Sun pada 9 Oktober 2021 lalu, Gemma Skinner, mendedahkan dia berasa bangga digelar 'nenek paling muda di Britain' selepas mempunyai cucu pada usia 33 tahun.


Katanya, dia menerima seorang cucu perempuan minggu lalu selepas anaknya, Maizie, melahirkan bayi tersebut pada usia 17 tahun.


"Pada mulanya, saya enggan dipanggil 'nenek', namun kini berasa suka mendengar nama panggilan itu," ujarnya.



Menurut Skinner, ketika Maizie dimasukkan ke hospital sebelum melahirkan cucunya, jururawat di situ menyangka bahawa dia ialah kakak kepada anaknya.


"Jururawat yang datang untuk memberikan suntikan epidural kepada Maizie bertanya sama ada kami ialah saudara perempuan. Kami ketawa mendengarnya kerana sering mendengar pertanyaan seperti itu," katanya.


Skinner memiliki tiga orang anak perempuan dengan anak bongsunya, Bella, kini baru berusia empat tahun selain Gracie yang berusia 10 tahun. Dia melahirkan Maizie pada tahun 2004 ketika berusia 16 tahun.


Gemma Skinner melahirkan Maizie pada tahun 2004 ketika berusia 16 tahun. - Foto The Sun.
Kegiatan Melombong Emas Secara Haram Di Lahad Datu Lebih 30 Tahun Terbongkar

Kegiatan Melombong Emas Secara Haram Di Lahad Datu Lebih 30 Tahun Terbongkar


Aktiviti melombong emas secara haram sejak 90-an berjaya dibongkar berikutan penemuan ratusan lubang lombong di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua di Lembah Danum, Lahad Datu, baru-baru ini.


Pasukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan WWF serta agensi lain membongkar kegiatan itu pada 21 Ogos lalu.


Timbalan Komander PGA Briged Sabah Asisten Komisioner Toipi Lamat berkata, kegiatan itu berjaya dikesan dalam Operasi Bersepadu Khazanah yang lancarkan sejak Ogos lalu selepas ia dilancarkan oleh Komander PGA Briged Sabah.


"Dalam operasi ini, ia memfokuskan seluruh Sabah. Ia bukan setakat di dalam hutan sahaja tetapi juga di perairan. Antara penemuan yang sangat penting dalam operasi ini adalah aktiviti melombong emas haram," katanya.



Toipi berkata, lokasi kegiatan mencuri khazanah negara itu berjaya dikesan hasil risikan dan maklumat awam sebelum ini. Katanya, pasukan operasi berjaya menemui lokasi-lokasi pelombongan itu selepas menempuhi perjalanan selama lapan hari.


"Ia disusuli operasi penggeledahan dilancarkan dan maklumat yang diterima mendapati aktiviti melombong emas di kawasan hulu sungai berkenaan sudah berlarutan sekitar 1990-an lagi," katanya.


"Bukan mudah untuk petugas operasi sampai dan menemui lokasi berkenaan. Petugas operasi terpaksa menempuh perjalanan di hutan tebal, melalui jeram, mendaki dan menuruni bukit serta perlu meredah sungai berbatu untuk ke lokasi berkenaan," katanya.


Walaupun sukar, katanya, anggota bertugas akhirnya berjaya tiba di lokasi berkenaan, dan hasil pemeriksaan di lokasi itu pihaknya menemui ratusan lubang atau lombong emas di sepanjang lapan kilometer Sungai Bole.



"Kira-kira 103 lubang lombong ditemui untuk satu kilometer di sepanjang tebing sungai berkenaan. Pelombong berkenaan dipercayai menggunakan kaedah tradisional bagi melombong emas di kawasan tersebut," katanya.


Menurutnya, dalam operasi itu juga pelbagai barangan disyaki untuk kegiatan melombong seperti dulang, alat penimbang digital, baldi dan penyodok tanah ditemui di lokasi berkenaan.


"Makanan seperti beras, gula, mi segera, minuman segera dan peralatan memasak turut ditemui di lokasi terbabit. Selain itu, senjata api jenis bakakuk dan senapang guli turut ditemui di lokasi berkenaan," katanya.


Menurutnya, pihaknya turut menemui enam lokasi penempatan yang mempunyai 14 pondok dibina dengan kanvas termasuk rumah atas pokok yang diwujudkan di kawasan berkenaan. Dengan penemuan itu, pihaknya berharap berjaya menghentikan kegiatan mencuri hasil negara terbabit.


Antara lubang pelombongan emas yang ditemukan di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, di Lembah Danum. Anggota PGA memeriksa lubang lombong yang ditemui. - Foto Hazsyah Abdul Rahman.

Keadaan satu lubang lombong emas haram yang masih aktif turut ditemui. - Foto NSTP/Hazsyah Abdul Rahman.

Sabtu, 16 Oktober 2021

Penduduk Gempar Lihat 'Van Misteri' Tiba-Tiba Muncul Atas Perhentian Bas

Penduduk Gempar Lihat 'Van Misteri' Tiba-Tiba Muncul Atas Perhentian Bas


Penduduk di sebuah bandar di wilayah Brittany, Perancis, gempar apabila melihat sebuah van secara tiba-tiba berada di atas bumbung perhentian bas, lapor laman berita Oddity Central pada 15 Oktober 2021.


Dalam kejadian pada Isnin lepas, penduduk yang menggunakan perhentian bas Place de l’Eglise ketika awal pagi terkejut melihatkan van tersebut berada di atas bumbung tanpa diketahui puncanya.


Walaupun kenderaan itu sudah diturunkan untuk mengelak kemalangan yang tidak diingini. Beberapa keping imej van itu yang sempat di rakam telah dikongsikan di media sosial, dan menjadi tular dengan ramai netizen cuba meneka punca kejadian itu.


"Ia adalah suatu kejadian misteri. Kami tahu siapa pemilik kenderaan itu, namun tidak tahu bagaimana dan mengapa ia berada di situ,” kata seorang penduduk.



Selama hampir seminggu, misteri van di atas bumbung itu terus menjadi teka-teki. Namun semalam, media Perancis mengumumkan bahawa kes itu telah diselesaikan.


Menurut media tempatan, kejadian itu tidak berkaitan dengan pengaruh alkohol seperti yang menjadi spekulasi ramai. Bagaimanapun, ia disebabkan oleh 'persengketaan perniagaan' antara pemilik van dengan suspek.


Akibat berang, suspek dikatakan dengan sengaja meletakkan van tersebut di atas bumbung perhentian bas itu menggunakan sebuah trak palet.


Kedua-dua mereka, suspek dan pemilik van itu telah dipanggil untuk disoal siasat, dan berkemungkinan berdepan dengan dakwaan membahayakan orang ramai.


Fenomena Unik, Gurun Tandus Di Chile Berubah Menjadi Taman Bunga

Fenomena Unik, Gurun Tandus Di Chile Berubah Menjadi Taman Bunga


Gurun Atacama di Chile kelihatan berwarna-warni minggu ini, selepas bunga liar tumbuh mekar di padang tandus, lapor laman berita CNN Indonesia pada 15 Oktober 2021.


Pemandangan unik itu membuatkan pemerintah setempat merancang untuk membangunkan sistem pengairan yang akan membuatkan panorama khas musim bunga di sana menjadi lebih kerap.


Mekarnya bunga di gurun itu adalah fenomena alam yang terjadi setiap lima hingga tujuh tahun sekali dengan hamparan pasir kering berganti menjadi hamparan kebun bunga berwarna ungu muda.


Projek sistem pengairan buatan yang dicadangkan oleh Kementerian Pertanian Atacama bertujuan menghasilkan bunga lebih kerap, iaitu sepanjang Ogos hingga September setiap tahun.



"Kami akan memasang projek pengairan di beberapa daerah di wilayah Gurun Atacama," kata perwakilan presiden untuk Wilayah Atacama Patricio Urquieta, dipetik laporan laman berita Reuters pada Rabu lalu.


Namun begitu, penduduk, pemerhati setempat dan pihak berkuasa seperti Gabenor Atacama, Miguel Vargas bimbang bunga liar yang mekar di kawasan gurun mungkin memiliki kesan negatif.


"Kami tidak setuju dengan idea ini. Kami akan melihat apakah alasan saintifik pengumuman itu yang akan mengganggu fenomena semula jadi seperti bunga mekar secara tiruan," katanya.


Atacama dikenali dengan daya tarikan kepada pelancong seperti taman negara, pantai dan pemandangan pergunungan.