Ahad, 17 Oktober 2021

Kegiatan Melombong Emas Secara Haram Di Lahad Datu Lebih 30 Tahun Terbongkar


Aktiviti melombong emas secara haram sejak 90-an berjaya dibongkar berikutan penemuan ratusan lubang lombong di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua di Lembah Danum, Lahad Datu, baru-baru ini.


Pasukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan WWF serta agensi lain membongkar kegiatan itu pada 21 Ogos lalu.


Timbalan Komander PGA Briged Sabah Asisten Komisioner Toipi Lamat berkata, kegiatan itu berjaya dikesan dalam Operasi Bersepadu Khazanah yang lancarkan sejak Ogos lalu selepas ia dilancarkan oleh Komander PGA Briged Sabah.


"Dalam operasi ini, ia memfokuskan seluruh Sabah. Ia bukan setakat di dalam hutan sahaja tetapi juga di perairan. Antara penemuan yang sangat penting dalam operasi ini adalah aktiviti melombong emas haram," katanya.



Toipi berkata, lokasi kegiatan mencuri khazanah negara itu berjaya dikesan hasil risikan dan maklumat awam sebelum ini. Katanya, pasukan operasi berjaya menemui lokasi-lokasi pelombongan itu selepas menempuhi perjalanan selama lapan hari.


"Ia disusuli operasi penggeledahan dilancarkan dan maklumat yang diterima mendapati aktiviti melombong emas di kawasan hulu sungai berkenaan sudah berlarutan sekitar 1990-an lagi," katanya.


"Bukan mudah untuk petugas operasi sampai dan menemui lokasi berkenaan. Petugas operasi terpaksa menempuh perjalanan di hutan tebal, melalui jeram, mendaki dan menuruni bukit serta perlu meredah sungai berbatu untuk ke lokasi berkenaan," katanya.


Walaupun sukar, katanya, anggota bertugas akhirnya berjaya tiba di lokasi berkenaan, dan hasil pemeriksaan di lokasi itu pihaknya menemui ratusan lubang atau lombong emas di sepanjang lapan kilometer Sungai Bole.



"Kira-kira 103 lubang lombong ditemui untuk satu kilometer di sepanjang tebing sungai berkenaan. Pelombong berkenaan dipercayai menggunakan kaedah tradisional bagi melombong emas di kawasan tersebut," katanya.


Menurutnya, dalam operasi itu juga pelbagai barangan disyaki untuk kegiatan melombong seperti dulang, alat penimbang digital, baldi dan penyodok tanah ditemui di lokasi berkenaan.


"Makanan seperti beras, gula, mi segera, minuman segera dan peralatan memasak turut ditemui di lokasi terbabit. Selain itu, senjata api jenis bakakuk dan senapang guli turut ditemui di lokasi berkenaan," katanya.


Menurutnya, pihaknya turut menemui enam lokasi penempatan yang mempunyai 14 pondok dibina dengan kanvas termasuk rumah atas pokok yang diwujudkan di kawasan berkenaan. Dengan penemuan itu, pihaknya berharap berjaya menghentikan kegiatan mencuri hasil negara terbabit.


Antara lubang pelombongan emas yang ditemukan di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, di Lembah Danum. Anggota PGA memeriksa lubang lombong yang ditemui. - Foto Hazsyah Abdul Rahman.

Keadaan satu lubang lombong emas haram yang masih aktif turut ditemui. - Foto NSTP/Hazsyah Abdul Rahman.


EmoticonEmoticon