Ahad, 17 Oktober 2021

Saintis Percaya Marikh Sama Seperti Bumi Mempunyai Lautan Dan Hidupan Ketika Zaman Purba


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mengeluarkan sebuah video yang menjelaskan mengenai faktor-faktor yang menyebabkan agensi itu percaya bahawa Marikh ketika zaman purba adalah sama seperti Bumi.


Menerusi lapor akhbar The Sun pada 16 Oktober 2021, Saintis NASA, Dr. Becky McCauley Rench berkata, mereka berpendapat bahawa planet Marikh adalah lebih 'lembap dan hangat' ketika ia mula wujud.


"Ketika sistem solar wujud sekitar lebih empat bilion tahun dahulu, Marikh dan Bumi terhasil daripada bahan yang sama, sekali gus menyebabkan kedua-dua planet ini kelihatan sama.


"Bagaimanapun, pada hari ini jika kita melihat ke arah Marikh, ia kelihatan seperti sebuah planet yang sangat kering berbanding dengan Bumi yang mempunyai warna biru," katanya.


Rench dalam video tersebut turut mengatakan bahawa, mereka percaya Marikh mempunyai lautan utara yang cetek dahulu, namun ia telah hilang, sekali gus menjadikan planet ini berbeza dengan Bumi.


Persamaan yang boleh dikaitkan antara kedua-dua planet itu adalah penting buat para saintis kerana ia dapat membantu mereka mencari petanda bagi kehidupan zaman purba di Marikh.


"Aktiviti geologi di Marikh ketika tempoh masa itu semakin berkurang, di mana ia kehilangan air dan akhirnya menjadi sebuah planet yang semakin kering. Ini berbeza dengan Bumi di mana planet ini terus melalui proses 'kemajuan' dengan tektonik plat dan perkembangan kehidupan," jelasnya.


Selain itu, para saintis turut percaya bahawa unsur air masih wujud di permukaan Marikh pada hari ini namun dalam bentuk ais. Mereka juga yakin bahawa bahagian bawah tanah bagi permukaan planet itu mempunyai banyak air, namun lebih banyak kajian diperlukan bagi memastikannya.


Imej gambaran NASA memaparkan keadaan planet Marikh yang dipercayai mempunyai lautan cetek ketika ia mula wujud. - Foto NASA.


EmoticonEmoticon