Polis menahan seorang juruteknik bagi membantu siasatan berhubung insiden keganasan jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di kawasan Taman Bukit Kempas, Johor Bahru pada jam 7.50 petang.
Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai juruteknik di Singapura itu tiada memiliki rekod lampau. Ujian saringan air kencing juga negatif dadah.
"Pihak polis turut merampas sebuah motosikal dan suspek direman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini (Rabu).
Semalam, tular di media sosial, seorang wanita berusia 26 tahun mendakwa menjadi mangsa provokasi dan diserang seorang penunggang motosikal di lebuh raya tersebut.
Klip video berdurasi 24 saat yang dimuat naik menerusi laman Facebook itu menunjukkan penunggang terbabit memecut motosikal di belakang kereta sebelum membaling batu ke arah cermin belakang kenderaan berkenaan.
Sementara itu, Kumarasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat selain Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.


EmoticonEmoticon