Wanita berusia 21 tahun, Aanchal Mamidwar dikatakan mengahwini mayat kekasihnya, Saksham Tate, 21, di daerah Nanded, Maharashtra pada Isnin lalu.
Saksham dilaporkan dibunuh oleh bapa dan abang Aanchal kerana tidak merestui hubungannya dengan lelaki dari kasta rendah.
Memetik laporan The New Indian Express, Aanchal tiba di rumah Saksham sebaik sahaja mendengar berita kematian kekasihnya itu.
Sebagai tanda penentangan, dia menyapu kunyit pada mayat kekasihnya dan serbuk merah pada dahinya secara simbolik 'mengahwini' lelaki itu semasa majlis pengebumian.
Video upacara perkahwinan Aanchal dengan mayat Saksham tular di media sosial.
Wanita itu membuat keputusan untuk tinggal di rumah keluarga kekasihnya seumur hidup sebagai menantu mereka, sambil mengisytiharkan bahawa upacara rasmi itu akan menjadikan cinta mereka "abadi".
Aanchal menyatakan bahawa dia mengahwini Saksham walaupun lelaki itu sudah meninggal dunia kerana cinta mereka kekal "sangat hidup".
"Cinta kami menang walaupun Saksham meninggal dunia dan bapa serta abang saya kalah," kata Aanchal.
Dia menuntut supaya bapa dan abangnya dikenakan hukuman gantung atas "pembunuhan kejam" itu.
Aanchal bertemu Saksham melalui abangnya, tetapi keluarga Mamidwar tidak bersetuju dengan hubungan mereka kerana perbezaan kasta. Pasangan itu menjalinkan hubungan selama tiga tahun.
Polis memaklumkan selepas keluarga Mamidwar mengetahui Aanchal merancang untuk mengahwini Saksham, mereka merancang untuk membunuhnya.
Pembunuhan itu berlaku di kawasan Ganj lama Nanded. Saksham berada bersama rakan-rakannya apabila berlaku pertengkaran antara dia dengan abang Aanchal, Himesh Mamidwar.
Himesh kemudian melepaskan tembakan ke arah Saksham.
Polis segera menahan Himesh, adiknya, Sahil dan bapa mereka, Gajanan Mamidwar. Kesemua tertuduh didakwa di bawah kes pembunuhan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut.
Polis turut memaklumkan bahawa Saksham dan Himesh pernah berkawan rapat dan kedua-duanya mempunyai rekod jenayah.


EmoticonEmoticon