Rabu, 3 Disember 2025

Muhyiddin didakwa punca kekalahan teruk Bersatu dalam PRN17, didesak lepas jawatan


Kepimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menjadi punca utama kekalahan besar parti itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), Sabtu lalu.


Susulan kekalahan tersebut mendesak Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) supaya berundur dan meletakkan jawatan beliau sebagai Presiden Bersatu.


Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Yunus Nurdin berkata, jentera Bersatu Sabah sebenarnya membuat persiapan rapi menghadapi PRN, namun usaha mereka terganggu oleh pergolakan dalaman yang tercetus sebelum dan semasa kempen berlangsung.


Menurutnya, beberapa pimpinan bahagian dan ahli telah dikenakan tindakan termasuk pemecatan, hanya kerana mengkritik kepimpinan Pengerusi PN itu.


Beliau juga mendakwa bahawa tiada peruntukan kewangan disalurkan oleh kepimpinan Pusat untuk membantu gerak kerja jentera di lapangan, meskipun parti bertanding di 33 kerusi.


"Ketiadaan sumber kewangan menyukarkan kami, malah ada calon terpaksa gadaikan kereta, rumah, harta mereka sebagainya untuk kita berjuang pada PRN ini.


"Kita semua menanggung hutang sekarang ini untuk parti kami. Bersatu Sabah ini mengalami kegagalan (pada PRN) saya kira memalukan.


"Kami mahu presiden parti bertanggungjawab atas kelemahan sebagai pemimpin dan mendesak presiden untuk berundur meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan juga Pengerusi PN," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Badan Pimpinan Bersatu Sabah hari ini.


Yunus yang juga Ahli Majlis Pimpinan Bersatu Pusat mendakwa, desakan itu mendapat sokongan daripada 20 daripada 24 bahagian Bersatu di Sabah.


Beliau menegaskan, mereka bersedia meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya dikenakan tindakan tidak adil oleh parti.


"Tidak terfikir keluar (Bersatu) kerana parti ini di Sabah kami semua yang bina kembali dengan usaha serta sumber kewangan kami sendiri.


"Jadi kenapa mesti kami keluar, sepatutnya pemimpin yang lemah itu meletak jawatan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih bagus.


"Kami telah suarakan kepada pimpinan pusat sepatutnya benda ini tidak berlaku kepada kami terutamanya yang sedang berhadapan dengan kempen pilihan raya. Ini memberi kesan yang mendalam terutamanya keyakinan akar umbi ahli parti di peringkat negeri Sabah," katanya.


Yunus turut memaklumkan bahawa mereka masih gagal menghubungi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, untuk mengadakan perbincangan serta menyelesaikan kemelut berkenaan.


Bagaimanapun, beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang disifatkan mengambil berat terhadap Bersatu Sabah dan sanggup mengeluarkan sumber kewangan sendiri untuk membantu jentera parti.


EmoticonEmoticon