Khamis, 4 Disember 2025

Jangan sambung kontrak Azam Baki - Rafizi


Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan rakyat berkaitan isu rasuah susulan kekalahan gabungan politik itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17.


Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, langkah itu boleh dimulakan dengan tidak menyambung kontrak pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


"Salah satu faktor utama yang mempengaruhi keputusan pengundi ialah rasa kecewa terhadap prestasi reformasi dan pembaharuan kerajaan, khususnya berkaitan usaha membersihkan negara daripada amalan rasuah," katanya menerusi media sosial Facebook semalam.


Rafizi berkata, dalam sidang Dewan Rakyat minggu ini, isu berkaitan kontrak Azam turut dibangkitkan, sama ada ia akan disambung buat kali keempat atau sebaliknya.


"Bagaimanapun, jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu adalah kabur," katanya.


Menurut Rafizi, apa jua keputusan Perdana Menteri akan memberi kesan langsung kepada penilaian rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah.


"Bukan untuk dua kali. Bukan tiga kali. Tetapi empat kali. Jika kontrak itu disambung lagi, keputusan itu akan terus mencemarkan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.


"Dengan pelbagai kontroversi yang membabitkan nama beliau (Azam), sudah sampai masanya kontrak itu tidak disambung lagi," tegasnya.


Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, desakan tersebut tidak akan berkesan sekiranya hanya datang daripadanya seorang diri.


Rafizi mencadangkan agar Nurul Izzah Anwar serta kepimpinan DAP, termasuk Anthony Loke, turut mendesak secara terbuka bagi menunjukkan kesepaduan dalam usaha memperkukuh komitmen menentang rasuah.


"Lebih baik jika Nurul Izzah juga mendesak secara terbuka. Lebih baik lagi jika Anthony Loke dan DAP juga berbuat demikian," katanya.


Beliau berkata, kelebihan utama PH dan PKR sebelum ini ialah harapan rakyat agar sistem negara bebas daripada rasuah.


"Ini kehendak utama pengundi-pengundi PH yang rata-ratanya daripada golongan kelas menengah," katanya.


Rafizi turut berkata bahawa beliau sering mengingatkan Anwar berkenaan data-data kaji selidik sejak tahun lalu yang menunjukkan kebimbangan rakyat terhadap prestasi pencegahan rasuah yang kekal menjadi kritikan utama terhadap kerajaan.


"Persepsi ini disahkan oleh statistik kes-kes rasuah yang berakhir dengan hukuman. Peratusan yang dituduh berbanding kertas siasatan yang dibuka menurun daripada 56 peratus pada tahun 2020 kepada 39 peratus tahun lalu.


"Sabitan bersalah juga menurun, daripada 300 kes bersamaan 36 peratus kertas siasatan yang berakhir dengan sabitan pada 2021, kepada hanya 256 sabitan atau 22 peratus pada tahun 2024," katanya.


Beliau berkata, terdapat kes-kes berprofil tinggi yang berakhir dengan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), kes digugurkan, atau tertuduh dilepaskan selepas membayar kompaun.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon