Penganggur dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit di tandas sebuah pusat beli-belah, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Syahmi Mat Ros, 24, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan merakam mangsa menggunakan telefon bimbit ketika mangsa berada di dalam tandas di tingkat satu Mayang Mall, 20 November lalu, jam 6.12 petang.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan.
Kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Husna Zukepeli @ Zulkifli.


EmoticonEmoticon