Sabtu, 16 Oktober 2021

Seorang Wanita Tidak Memotong Rambutnya Selama 18 Tahun, Penampilannya Sangat Mengejutkan

Seorang Wanita Tidak Memotong Rambutnya Selama 18 Tahun, Penampilannya Sangat Mengejutkan


Seorang wanita baru-baru ini menjadi tular di media sosial selepas menunjukkan rambut panjangnya yang tidak dipotong selama 18 tahun, lapor laman berita Suara.com pada 15 Oktober 2021.


Menerusi aplikasi sosial TikTok, pemilik akaun dengan nama @zo_fi12 itu memuat naik video menunjukkan bahawa dia memiliki rambut kerinting yang panjang dan lebat.


Bahkan, dia menunjukkan bahawa rambutnya dapat digunakan untuk menyapu lantai. "Apabila anda melihat orang yang rambutnya bagus dan panjang cuma dipinggang," tambah wanita ini dalam kapsyen video.



Selain itu, dia juga mendedahkan bahawa tidak mempunyai sebarang petua atau pun kaedah khusus bagi menjaga rambutnya itu yang mirip dengan karakter fiksyen popular, Rapunzel.


Dia sebaliknya hanya mencuci rambutnya dengan menggunakan syampu dan menggunakan minyak urang aring ketika menyikat rambut. Video tersebut sehingga kini telah ditonton sehingga 2.1 juta kali.


Netizen yang melihat rambut panjang wanita itu kemudiannya meninggalkan pelbagai reaksi di ruangan komen.


"Sekiranya keluar pada waktu malam, ya ampun," tulis seorang netizen yang terkejut melihat penampilan wanita itu. "Rapunzel telah tiba di Indonesia," tulis seorang lagi netizen.


Wanita ini menunjukkan rambut panjangnya yang tidak dipotong selama 18 tahun. - Foto TikTok.

Jumaat, 15 Oktober 2021

Angkara Tuan Lembu Buat Tak Peduli, Penguat Kuasa Menangkap Lembu Yang Merayau

Angkara Tuan Lembu Buat Tak Peduli, Penguat Kuasa Menangkap Lembu Yang Merayau


KOTA BHARU - Operasi menangkap 12 lembu yang berkeliaran di sekitar Taman Hijrah, Padang Kala di sini selama dua hari berturut-turut bukan tugas mudah seperti disangka. Kaki terseliuh dan hampir ditanduk antara insiden yang dialami sekumpulan anggota penguat kuasa.


Dalam tempoh itu, penguat kuasa Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI), menempuh ujian berdepan lembu yang naik minyak dan mahu menanduk mereka, terpaksa mengharungi paya dan hampir jatuh ke dalam perigi buta dalam operasi menangkap dua lembu yang berkeliaran.


Setiausaha MDKPI, Ahmad Fadzli Abdullah berkata, sepanjang dua hari operasi, ada dalam kalangan penguat kuasa cedera dengan rata-rata mereka mengalami lebam-lebam seluruh badan dalam usaha menangkap lembu yang pada asalnya disasarkan sebanyak 12 ekor.


Operasi Bersepadu Haiwan Merayau yang dijalankan selama dua hari bermula kelmarin itu dilakukan di Taman Hijrah Padang Kala, Melor secara bersepadu bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.


Ahmad Fadzli Abdullah berkata, usaha menangkap 12 lembu milik penternak berusia 68 tahun yang dibiarkan berkeliaran itu dibuat selepas penduduk mengadu haiwan itu menceroboh kebun, memakan anak pokok durian Musang King serta mengotorkan kawasan rumah mereka.


"Kita menerima aduan di kawasan ini sejak beberapa bulan lalu namun tidak dapat mengambil tindakan lanjut disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


"Penduduk di kawasan ini membuat aduan berkaitan lembu yang berkeliaran di taman, makan pokok hiasan termasuk pokok durian Musang King dan terdapat najis di merata-rata tempat.


"Ini adalah kali kedua operasi dilakukan tahun ini berkaitan tangkapan haiwan yang mana pada bulan lalu, sebanyak tiga lembu di kawasan sama manakala dua kambing di Kok Lanas berjaya ditangkap," katanya.


Ahmad Fadzli berkata, sebelum lembu itu ditangkap, pihaknya memberi notis amaran terlebih dulu kepada pemilik untuk menjaga ternakan dengan baik namun jika masih menerima aduan selepas dua minggu, baru tindakan lanjut diambil.


Untuk operasi dua hari yang membabitkan 16 anggotanya dan tiga kakitangan JPV, beliau berkata, pemilik sudah membayar denda iaitu sebanyak RM1,000 setiap ekor namun untuk 10 lagi baki lembu itu akan tetap ditangkap dalam masa terdekat.


"Tindakan kompaun itu adalah di bawah Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau-Rayau MDKPi dan jika pemilik tidak datang menuntut, jumlah denda akan bertambah setiap hari bergantung kepada kos makanan dan upah penjagaan. Jika dalam tempoh enam hari haiwan itu tidak juga dituntut, kami akan buka untuk dilelong," katanya.

Pekebun 'Musang King' Di Hutan Simpan Ulu Galas, Mahu Kerajaan Negeri Memberi Ruang Rundingan

Pekebun 'Musang King' Di Hutan Simpan Ulu Galas, Mahu Kerajaan Negeri Memberi Ruang Rundingan


GUA MUSANG - Pada 30 September lalu, Jabatan Perhutanan negeri telah memberikan notis kepada lebih 30 pekebun yang mengusahakan tanaman durian musang king dan getah di Hutan Simpan Ulu Galas di Kampung Pulai, yang memerintahkan mereka mengosongkan tapak tanaman.


Semalam, sebahagian pekebun tersebut berkumpul di kebun mereka yang mahu kerajaan negeri memberi ruang rundingan kepada pekebun-pekebun di kawasan itu. Mereka mengatakan sebelum ini tidak mengetahui kawasan yang diteroka termasuk dalam hutan simpan.


Pengerusi Jawatankuasa Tin­dakan Pekebun Kecil Hutan Simpan Ulu Galas, Leow Chin Meng, 53, berkata, mereka telah mengusahakan kebun seluas 90 hektar itu dengan menanam durian dan getah sejak kira-kira 20 tahun lalu.


"Sehubungan itu, kami berharap dapat mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri bagi memastikan pihak pekebun mendapat keputusan yang adil dalam isu penerokaan tanah di kawasan itu.


"Kami difahamkan seba­nyak 90 hektar kawasan kebun durian dan getah yang telah mengeluarkan hasil akan diambil sebelum diberikan kepada pihak syarikat lain," katanya di sini semalam.


Sementara itu, seorang lagi pekebun, Tina Chong berkata, kesemua pekebun berharap satu penyelesaian yang adil dapat diputuskan kerana te­lah banyak melabur wang bagi mengusahakan tanaman di kawasan itu.


"Pekebun mahu berunding dengan kerajaan untuk mendapat kebenaran sama ada tanah yang diusahakan itu dapat diberi secara pajakan atau sewa tanah.


"Banyak duit telah dilaburkan malah tanaman diusahakan antaranya musang king dan duri hitam kini sudah mula mengeluarkan hasil," katanya. - Sumber Kosmo Online.

Anak Pasang Kunci Basikal Pada Leher Ibu, Terpaksa Meminta Bantuan Polis Membuka Kunci Tersebut

Anak Pasang Kunci Basikal Pada Leher Ibu, Terpaksa Meminta Bantuan Polis Membuka Kunci Tersebut


Baru-baru ini, sebuah video menjadi tular dalam media sosial di China memaparkan seorang wanita yang datang ke balai polis, bagi meminta bantuan untuk membuka kunci basikal pada lehernya.


Menerusi laporan Utusan Malaysia, kejadian itu berlaku pada 7 Oktober 2021 lalu, apabila anak lelaki wanita tersebut yang berusia empat tahun dikatakan tiba-tiba memasang kunci itu pada leher ibunya.


Kemudian, kunci basikal tersebut tidak dapat dibuka kerana kanak-kanak itu telah menukar nombor kod asal dan terlupa nombor kod terbaru pada kunci itu.


"Saya sedang membersihkan tandas ketika anak saya tiba-tiba memasukkan kunci basikal ke leher saya. Pada mulanya saya berasa ia lucu dan cuba membukanya, namun gagal.


"Saya tahu nombor kod rantai itu, namun tidak dapat membukanya kerana anak saya sudah menukarnya, selain dia juga tidak mengingati apa nombornya," katanya.


Wanita tersebut mula panik dan terus pergi ke balai polis untuk mendapatkan bantuan. Setibanya di balai polis, anggota bertugas juga tidak dapat membuka kunci tersebut dan mereka menghubungi bomba.


Tidak lama kemudian, kunci itu dapat dibuka dan wanita tersebut menzahirkan rasa lega. Video wanita itu menjadi tular dalam media sosial di China dan kebanyakan pengguna menasihatkan supaya mengawasi perlakuan anak supaya tidak berlaku perkara tidak diingini.



Khamis, 14 Oktober 2021

Lupa Makan Ubat, Pesakit Mental Bersenjatakan Sebilah Pisau Mengamuk Di Pasar Raya

Lupa Makan Ubat, Pesakit Mental Bersenjatakan Sebilah Pisau Mengamuk Di Pasar Raya


Seorang lelaki bersenjatakan sebilah pisau bertindak memecahkan barangan di sebuah pasar raya di Sibu Jaya, Sarawak, dipercayai mengalami masalah mental, lapor Harian Metro, hari ini.


Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Collin Babat berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari semalam, apabila suspek berusia 37 tahun itu masuk ke dalam pasar raya berkenaan dan mengamuk dengan bersenjatakan sebilah pisau.


"Suspek bertindak memecahkan barang-barang di dalam kedai sebelum mengacukan pisau ke arah dua juruwang wanita yang berada di kaunter pembayaran. Dua pekerja itu kemudiannya melarikan diri sebelum suspek menghempaskan mesin wang ke lantai," katanya.



Beliau berkata, tindakan berani orang awam yang berada di tempat kejadian berjaya menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis.


Collin berkata, tindakan suspek itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada orang ramai dan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM2,500.


Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek merupakan memegang kad psikiatri. Suspek juga dipercayai tidak mengambil ubat untuk kesihatan mentalnya seperti yang dijadualkan.


Collin berkata, pisau yang digunakan suspek juga berjaya dirampas dan suspek turut direman untuk siasatan lanjut mengikut Sesyen 393 Kanun Keseksaan.


Barangan pasar raya di Sibu Jaya yang dipecahkan dan suspek berjaya ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis semalam. - Foto Melvin Joni.
Banglo Mewah Dijadikan Pusat Hiburan, 16 Pelacur Warga Asing Ditahan

Banglo Mewah Dijadikan Pusat Hiburan, 16 Pelacur Warga Asing Ditahan


KUALA LUMPUR - Polis menggempur sebuah unit banglo di Taman Yari, Jalan Klang Lama, yang dijadikan pusat hiburan serta pelacuran dan menahan 16 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dalam satu serbuan pada malam 12 Oktober 2021.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya melakukan risikan terhadap aktiviti sindiket berkenaan selama beberapa hari sebelum melakukan serbuan.


Katanya, serbuan pada 8.45 malam itu turut menahan juruwang di premis itu serta enam lelaki tempatan yang bertindak sebagai pengangkut wanita-wanita itu ke banglo berkenaan atau dikenali sebagai 'transporter'.


"Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi noda itu berumur lingkungan 21 hingga 31 tahun dengan sindiket didapati menawarkan khidmat penghantaran GRO untuk berhibur serta menyediakan kediaman mewah untuk menawarkan perkhidmatan seks," katanya.


Seorang lelaki yang juga transporter berusia 20-an memaklumkan dia dibayar RM100 bagi menghantar wanita berkenaan ke banglo terbabit. Katanya, dia dimaklumkan mengenai kerja itu oleh rakannya dan dia diminta membawa enam wanita dari lokasi mereka di Cheras ke rumah banglo itu.


"Bagi setiap trip (perjalanan pergi dan balik), saya membawa tiga wanita dengan bayaran RM100. Kenderaan yang digunakan bagi membawa mereka adalah kereta saya sendiri," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, awal pagi semalam.


Mohamad Noor berkata, hasil siasatan mendapati aktiviti mempromosikan kegiatan pelacuran itu turut dibuat secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Telegram.


Beliau berkata, premis banglo yang diserbu itu dilengkapi dengan peralatan-peralatan hiburan seperti lampu disko, meja pool dan lain-lain kelengkapan, juga terletak di dalam kawasan taman perumahan mewah serta disewa dengan harga RM3,600 sehari.


"GRO yang bertindak menjadi peneman pelanggan minum dan berhibur serta menawarkan perkhidmaan seks dengan bayaran RM1,300 hingga RM2,500 kepada pelanggan.


"Pemeriksaan dilakukan mendapati hanya seorang daripada 16 wanita warga Vietnam yang ditahan tidak mempunyai pasport. Pada masa sama, kami turut menyiasat sekiranya ada berlaku kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan ini," katanya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.


Antara wanita yang ditahan dalam serbuan berkenaan. - Foto Nurul Hidayah Bahaudin.
Dompet Hilang Lebih 50 Tahun Ditemui Semula Dan Dipulangkan Kepada Pemilik

Dompet Hilang Lebih 50 Tahun Ditemui Semula Dan Dipulangkan Kepada Pemilik


Polis di Kansas, Amerika Syarikat (AS) memulangkan semula sebuah dompet yang hilang lebih 50 tahun kepada pemilik asalnya, lapor portal News18 pada 11 Oktober 2021.


Jabatan Polis Great Bend menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan dompet itu ditemui baru-baru ini oleh seorang penduduk, dan diserahkan kepada pegawai polis di Great Bend, sebuah bandar di Kansas.


Jelas polis, pihaknya menemukan beberapa dokumen penting dalam dompet itu termasuk Kad Keselamatan Sosial dan lesen memandu yang sudah tamat tempoh pada tahun 1974.


Dalam catatan Facebook pada 8 Oktober, Jabatan Polis Great Bend memaklumkan bahawa pemilik dompet buatan tangan itu berjaya dihubungi, kini tinggal di Lawrence, Kansas.


"Pemilik berkenaan memberitahu kami bahawa dia kehilangan dompet itu pada awal 1970an. Dia juga sangat gembira dapat semula dompet yang hilang," jelas hantaran itu.


Kejadian serupa berlaku pada Februari tahun ini di San Diego, sebuah bandar California, AS. Seorang lelaki berusia 91 tahun, Paul Grisham mendapatkan dompetnya semula yang hilang lebih 53 tahun lalu, pada tahun 1960-an.


Dompet itu dijumpai di belakang sebuah loker pada tahun 2014 di Stesen McMurdo di Pulau James Ross di Antartika. Dompet itu mengandungi kad pengenalan Tentera Lautnya dan lesen memandu serta dokumen lain yang membuktikan identitinya sebagai pemilik dompet tersebut.

Rabu, 13 Oktober 2021

Wanita Sedang Tidur Nyaris Maut Dihempap Meteorit Yang Jatuh Dari Langit Menembusi Bumbung Rumahnya

Wanita Sedang Tidur Nyaris Maut Dihempap Meteorit Yang Jatuh Dari Langit Menembusi Bumbung Rumahnya


Seorang wanita di Kanada nyaris dihempap batu meteorit yang jatuh menembusi bumbung rumahnya, yang mendarat di bantal bersebelahan ketika dia sedang tidur.


Lapor Daily Mail pada 12 Oktober 2021, ketika kejadian, Ruth Hamilton terbangun selepas mendengar bunyi dentuman kuat pada siling rumah dan debu di wajahnya pada 4 Oktober lalu.


"Saya bangun dari katil dan memasang lampu, ketika itu saya tidak pasti apa yang sudah berlaku," katanya kepada Victoria News.


Dilaporkan, sebelum kejadian itu, para penduduk menikmati pemandangan meteor di Tasik Louise yang terletak kira-kira 84 kilometer jauhnya dari rumah Hamilton.


Jelas Hamilton, dia melihat sebuah bongkah batu di bantal bersebelahan tempat tidurnya sebelum menghubungi talian kecemasan 911 untuk mendapatkan bantuan.


Selepas itu, Hamilton dan seorang pegawai membuat panggilan untuk mengesahkan sama ada serpihan itu dari tapak pembinaan di Kicking Horse Canyon.


"Kami menghubungi pihak pengurusan projek untuk mengetahui sekiranya mereka meletupkan sesuatu ketika kerja pembinaan.


"Namun, mereka mendakwa melihat satu cahaya terang di langit meletup dan menyebabkan dentuman itu," kata Hamilton.


Seorang anggota polis yang tiba di tempat kejadian pula memeriksa batu itu. Beliau kemudian mendapati batu itu bukan datang dari kawasan sebuah pembinaan. Ia membuat kesimpulan bahawa batu tersebut kemungkinan berasal dari meteorit.


Akhirnya, mereka berpuas hati dan percaya batu yang jatuh menembusi bumbung rumahnya adalah meteorit. Hamilton tidak mengalami sebarang kecederaan dan merancang untuk menyimpan batu itu sebagai kenangan bagi cucunya.


Sementara itu, sebuah syarikat insurans Hamilton menyatakan ia akan melihat sama ada meteor itu terkandung dalam perjanjian insurans diri wanita tersebut.


Menurut Pusat Kajian Meteorit Universiti Negeri Arizona, meteor ialah batu dari asteroid yang mengorbit matahari di angkasa lepas.


Meteorit yang jatuh menembusi bumbung rumah Ruth Hamilton, yang mendarat di bantal bersebelahan tempat tidurnya. - Foto Ruth Hamilton.

Seketul batu dipercayai meteorit jatuh dari bumbung sebuah rumah milik seorang wanita di Kanada baru-baru ini. - Foto Ruth Hamilton.
Pelancong Terkejut Menyaksikan Kejadian 'Rare' Jerung Gigit Kaki Aligator

Pelancong Terkejut Menyaksikan Kejadian 'Rare' Jerung Gigit Kaki Aligator


Sekumpulan pelancong di Carolina Selatan, Amerika Syarikat terkejut apabila menyaksikan seekor jerung menggigit seekor aligator di kawasan perairan berhampiran sebuah dermaga di Pulau Hilton Head.


Menurut laporan akhbar The Sun pada 8 Oktober 2021 , detik-detik mencemaskan antara dua haiwan berbahaya itu berjaya dirakam oleh salah seorang daripada kumpulan pelancong tersebut yang sedang memberi makan kepada aligator itu.


Dalam sekelip mata, seekor jerung secara tiba-tiba muncul dari bawah air dan mengelilingi aligator tersebut sebelum menggigit kaki kiri haiwan itu dan menyebabkannya melompat.


Aligator yang mungkin berada dalam 'mood' baik itu tidak melawan dan kelihatan tidak cedera, sebaliknya terus terapung di permukaan air, sementara jerung tersebut mendekati aligator itu beberapa kali sebelum berlalu dari situ.


"Saya terkejut melihat kejadian itu, jadi saya merakamnya dengan telefon untuk ditunjukkan kepada keluarga dan rakan-rakan," kata perakam video tersebut, Cory Conlon.



Selasa, 12 Oktober 2021

Sebuah Keluarga Dikejutkan Kemunculan Seekor Beruang Dalam Rumah Mereka

Sebuah Keluarga Dikejutkan Kemunculan Seekor Beruang Dalam Rumah Mereka


Sebuah keluarga di Kanada terkejut apabila mendapati seekor beruang hitam berdiri di hadapan meja di dalam sebuah bilik kediaman mereka, lapor akhbar Daily Star pada 10 Oktober 2021.


Menurut Sean Reddy, ketika kejadian, mereka sekeluarga terdengar bunyi bising sebelum menyedari ada seekor beruang berkeliaran di sekitar bilik dalam rumah mereka.


"Anak bongsu saya keluar dari pintu hadapan dan bertanya apa yang kami sedang lakukan kerana dia terdengar seperti bunyi cakaran di dalam rumah.


"Anak lelaki sulung saya kemudiannya berlari masuk ke dalam rumah dan dia keluar semula memberitahu bahawa terdapat seekor beruang di dalam rumah," kata Reddy.


Dia kemudiannya dapat mendengar bunyi seperti beruang tersebut sedang mendengus di bahagian meja komputer di dalam bilik anaknya, di mana terdapat hidangan bijirin yang dibiarkan di dalam mangkuk.



"Kami terdengar bunyi mangkuk itu pecah kerana terjatuh di atas lantai. Saya mula berfikir bahawa beruang tersebut sedang memusnahkan bilik," katanya.


Ujar Reddy, dia kemudiannya berjaya menutup pintu bilik tersebut dengan harapan beruang itu dapat keluar menerusi tingkap.


Bagaimanapun, harapannya meleset sama sekali kerana tingkap bilik sedang tertutup, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menyekat bahagian laluan tengah di dalam rumah dan membiarkan beruang itu keluar melalui pintu depan.


Selepas beruang itu keluar dan menghilangkan diri, Reddy mendapati bahawa beruang tersebut masuk ke dalam rumah dengan cara memecahkan tingkap dan merangkak ke dalam.


Kawasan tempat tinggal Reddy merupakan lokasi yang sering menjadi tumpuan beruang. Pakar haiwan Alberta Fish and Wildlife telah memasang perangkap di jalan sekiranya beruang itu datang semula.


Beruang tersebut berdiri agak lama di hadapan meja di dalam bilik sebelum memecahkan sebuah mangkuk yang mengandungi bijirin. - Foto Sean Reddy.