Jumaat, 18 Jun 2021

Penemuan Terbaru Berlian 1,098 Karat Dipercayai Ketiga Terbesar Dunia

Penemuan Terbaru Berlian 1,098 Karat Dipercayai Ketiga Terbesar Dunia


Berlian
1,098 karat yang dipercayai ketiga terbesar pernah ditemui di dunia kini dipamerkan di Botswana. Ketulan berlian itu diserahkan kepada Presiden Mokgweetsi Masisi, dua minggu selepas syarikat berlian, Debswana menemuinya.


Berlian itu ditemui pada 1 Jun 2021 di lombong Jwaneng di selatan Botswana. Syarikat Debswana Diamond kemudian menyerahkan berlian 1,098 karat itu kepada Presiden Botswana di Gaborone, ibu kota Botswana, pada rabu lalu (16/6/2021), lapor berita Xinhua.


Permata besar itu mencatatkan berat kurang sedikit daripada berlian kedua terbesar di dunia yang juga ditemui di negara itu pada tahun 2019. Botswana yang terletak di Afrika adalah pengeluar utama berlian terbesar di dunia.



"Ini adalah berlian terbesar yang dijumpai Syarikat Debswana dalam sejarahnya selama lebih dari 50 tahun beroperasi.


"Dari analisis awal kami, ia boleh menjadi batu permata ketiga terbesar di dunia," kata Lynette Armstrong, pemangku pengarah urusan Debswana Diamond Company.


Debswana adalah usaha sama antara kerajaan dan gergasi berlian global De Beers, menjana pendapatan negara melalui dividen, royalti dan cukai, sehingga 80 peratus.


Menteri Sumber Asli Botswana, Lefoko Moagi berkata, ia adalah penemuan terbaik negara itu selepas pandemik Covid-19 menyaksikan penjualan berlian merosot tahun lalu.


Permata terbesar pernah ditemui ialah berlian Cullinan 3,106 karat yang dijumpai di Afrika Selatan pada tahun 1905. Kedua terbesar adalah 1,758 karat yang ditemukan di Botswana pada tahun 2019. Ketulan berlian yang baru ditemui di lombong Jwaneng itu, masih belum diberikan nama.


Armstrong berkata, keputusan belum diambil mengenai apakah akan menjual 'batu luar biasa' itu sama ada melalui De Beers atau syarikat milik kerajaan, Okavango Diamond.


Batu berlian berukuran 1,098 karat dipamerkan di Gaborone, Botswana, pada 16 Jun 2021. - Foto Monirul Bhuiyan/AFP.

Batu berlian berukuran 1,098 karat dipamerkan di Gaborone, Botswana, pada 16 Jun 2021. - Foto Monirul Bhuiyan/AFP.

Batu berlian berukuran 1,098 karat dipamerkan di Gaborone, Botswana, pada 16 Jun 2021. - Foto Monirul Bhuiyan/AFP.

Khamis, 17 Jun 2021

Bangkai kapal karam berusia 200 tahun ditemui di perairan Singapura

Bangkai kapal karam berusia 200 tahun ditemui di perairan Singapura


Bangkai kapal berusia sekitar 200 tahun dipenuhi dengan seramik dan artifak lain ditemui di perairan Singapura dalam penemuan yang jarang-jarang berlaku, kata sekumpulan ahli arkeologi, lapor The Straits Times, semalam (16/6/2021).


Ahli arkeologi berpandangan penemuan yang jarang berlaku itu dapat membantu memberi gambaran sebenar mengenai warisan maritim republik itu. Negara pulau itu sudah lama menjadi hab perdagangan utama laluan perkapalan global yang menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan.


Bangkai kapal itu ditemui dekat Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh, sebuah kawasan berbatu di sebelah timur Singapura, demikian menurut Lembaga Warisan Nasional dan Institut Yusof Ishak- ISEAS yang bekerjasama dalam projek tersebut.



Ia adalah bangkai kapal pertama yang ditemui penyelam secara tidak sengaja apabila terlebih dulu menemui piring seramik pada 2015, berkemungkinan seramik Cina pada abad ke-14, ketika Singapura masih dikenali sebagai Temasek.


Sesetengah barang yang dijumpai adalah sama dengan artifak ditemui di tapak penggalian arkeologi, sekaligus menunjukkan Singapura pernah menjadi hab perdagangan sebelum kedatangan penjajah British pada 1819.


Penerokaan dasar laut di lokasi bangkai kapal pertama membawa kepada penemuan bangkai kedua yang berkemungkinan besar kapal Shah Munchah. Kapal dagang yang dibina di India itu tenggelam pada 1796 semasa belayar dari China ke India.


Barang yang ditemui dari bangkai kapal kedua merangkumi seramik Cina sehinggalah objek kaca atau batu akek selain meriam serta sauh. Meriam terbabit biasanya boleh didapati di kapal dagang digunakan Syarikat Hindia Timur, yang suatu ketika dulu gergasi perdagangan di mana empayar Inggeris berkembang di Asia pada abad ke-18 dan ke-19.


Penemuan kapal pada 2015 itu adalah kapal karam purba pertama yang dijumpai di perairan Singapura. Ia membawa banyak tembikar berwarna biru dan putih dari Dinasti Yuan berbanding kapal karam lain yang pernah direkodkan di dunia. Banyak kepingan yang jarang dan dipercayai unik ditemui.


Antara artifak yang ditemui oleh penyelam dalam kapal karam berhampiran perairan Pedra Branca, Singapura. - Foto AFP

Antara artifak yang ditemui oleh penyelam dalam kapal karam berhampiran perairan Pedra Branca, Singapura. - Foto AFP

Antara artifak yang ditemui oleh penyelam dalam kapal karam berhampiran perairan Pedra Branca, Singapura. - Foto AFP
Tular Krim Pemutih Hasilnya Membuat Netizen Menjadi Gementar

Tular Krim Pemutih Hasilnya Membuat Netizen Menjadi Gementar


Memiliki kulit putih dan cerah pastinya menjadi impian ramai individu terutama wanita. Tidak hairanlah ada pelbagai cara untuk mendapatkan kulit putih, paling mudah adalah membeli produk kecantikan pemutihan kulit.


Namun, ada yang sanggup menghabiskan banyak wang dengan datang ke klinik kecantikan untuk melakukan beberapa siri rawatan, malah ada juga yang melakukan suntikan pemutihan kulit.


Kerana permintaan tinggi, maka tidak hairan banyak perniaga menjual krim pemutih ini. Kebanyakan peniaga akan mempromosikan produk mereka di media sosial untuk menarik minat orang ramai yang obsesi dengan kulit yang lebih cerah.


Baru-baru ini tular beberapa gambar yang menunjukkan perbandingan sebelum dan selepas menggunakan produk krim pemutih. Gambar itu dikongsi di media sosial Thailand Jun tahun lalu, namun ia kembali tular apabila ada netizen yang berkongsi semula gambar tersebut.



Gambar-gambar itu menunjukkan beberapa perubahan yang cukup drastik, dengan kulit pengguna berubah dari coklat muda hingga putih pucat. Ramai netizen mendakwa bahawa kulit kelihatan seperti mayat setelah menggunakan krim.


Berdasarkan maklum balas umum, gambar-gambar tersebut tidak hanya gagal meyakinkan orang untuk membeli krim tersebut, tetapi berjaya menakutkan kebanyakan dari mereka.


"Warna putih ini lebih sesuai untuk kesan filem zombie," tulis seorang netizen. "Lengan itu kelihatan seperti orang mati," kata netizen lain.


Krim pemutih kulit adalah antara perniagaan terbesar di Asia Tenggara. Tidak hairanlah banyak jenama bersaing untuk menarik berjuta-juta orang yang taksub dengan kulit yang lebih putih.


Tetapi secara tidak disangka-sangka, hasil beberapa produk krim pemutih sebenarnya membuatkan orang ramai takut dan ragu-ragu untuk menggunakan krim pemutihan berkenaan. Sumber: Oddity Central.


Lelaki sembunyi di bawah gaun pengantin perempuan

Lelaki sembunyi di bawah gaun pengantin perempuan


Satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki di Filipina 'bersembunyi' dalam gaun pengantin perempuan tular di media sosial sejak 8 Jun lalu. Lelaki itu dilihat tiba-tiba keluar daripada bawah gaun tersebut apabila tiba di altar perkahwinan, dan berjalan seperti tiada apa-apa berlaku.


Lelaki yang bersembunyi di bawah gaun itu rupanya seorang perancang perkahwinan. Ketika majlis berlangsung pada 6 Jun lepas di Resort Louie Beach di Pinamungajan, angin kencang menyebabkan pengantin perempuan sukar untuk berjalan.


Rakaman insiden itu dimuat naik di laman sosial Facebook dan memaparkan pengantin perempuan itu sedang berjalan di karpet merah ketika angin kuat cuba menerbangkan gaun yang dipakainya. 


Apabila tiba di altar perkahwinan, perakam video sempat merakam seorang lelaki tiba-tiba keluar daripada bawah gaun itu dan berjalan seperti tiada apa-apa berlaku.



Lelaki itu, Lunesa Roel yang juga perancang perkahwinan majlis itu rupa-rupanya bertindak bersembunyi di bawah gaun pengantin bagi memastikan kain itu tidak terselak dan merosakkan hari bahagia wanita tersebut.


Roel berkata, dia bertindak demikian bagi membantu wanita tersebut berjalan ketika upacara perkahwinan berlangsung. Dia gembira dapat membantu pengantin perempuan itu tetap tampil cantik ketika majlis persandingannya.


"Saya gembira dapat duduk di dalam gaun pengantin perempuan itu dan membantunya ketika dia bersanding di atas pelamin. Ketika angin bertiup kencang, saya terus pergi ke bawah gaun itu dan memegangnya supaya ia tidak terselak," jelas Roel.


Video tersebut sudah ditonton lebih 1.7 juta kali sejak dimuat naik pada 8 Jun lalu dan netizen yang menontonnya rata-rata memuji kerja keras Roel.


"Tidak mengapa jika angin terus meniup gaun itu kerana kamu (pengantin perempuan) tetap kelihatan cantik ketika hari perkahwinan," tulis seorang netizen. Sumber: Daily Star (15/6/2021).

Penduduk Gempar Bandar Gippsland Diselimuti Sarang Labah-Labah Selepas Banjir

Penduduk Gempar Bandar Gippsland Diselimuti Sarang Labah-Labah Selepas Banjir


Penduduk dikejutkan dengan penemuan jaringan sarang labah-labar besar menyelimuti pokok-pokok dan padang rumput di bandar wilayah Gippsland, wilayah Vistoria, Australia selepas berlaku banjir besar.


Jaringan sarang raksasa yang lebar itu terbentuk setelah kota-kota di negara itu dilanda banjir beberapa waktu lalu. Sebaik sahaja banjir tamat, jutaan labah-labah turut memindahkan sarang mereka dari kawasan yang tergenang air ke pokok-pokok di kawasan kering.


Maka terhasillah satu jaringan hamparan sarang labah-labah ibarat selimut sutera yang menyelimuti pokok-pokok termasuk tanaman penduduk. Fenomena tersebut menciptakan hamparan besar yang halus yang menutupi kawasan antara kota Sale dan Longford.



Pakar serangga di Muzium Victoria, Dr Walker berkata, labah-labah itu menggunakan jalinan tali temali sutera itu untuk menyelamatkan diri dari kawasan yang berair.


"Bagi sesetengah orang, ini adalah mimpi buruk. Bagi saya, itu benar-benar indah. Selimut sutera yang bergelombang di seluruh kawasan tanaman," katanya.


Menurut Walker, untuk menyelamatkan diri, labah-labah yang duduk di tanah perlu segera keluar dengan cara membawa jaringan sarang dan menjaringkan sarang mereka pada tumbuh-tumbuhan.


"Ini juga menunjukkan secara harfiah bahawa puluhan ribu, kalau tidak pun jutaan labah-labah ada di permukaan tanah," ujar Dr Walker.


Seorang penduduk Marco Brunel, wanita berusia 45 tahun yang sudah tinggal selama 10 tahun di kawasan itu, mengatakan bahawa dia tidak pernah melihat perkara seperti itu.


"Saya tidak tahu apa yang harus saya fikirkan ketika pertama kali melihatnya. Ia seperti alam semula jadi yang aneh," katanya. Sumber: The Age (15/6/2021).


Labah-labah yang tak terhitung jumlahnya di Longford telah membuat sarang jaringan sutera menyelimuti tumbuh-tumbuhan.

Labah-labah yang tak terhitung jumlahnya di Longford telah membuat sarang jaringan sutera menyelimuti tumbuh-tumbuhan.

Labah-labah yang tak terhitung jumlahnya di Longford telah membuat sarang jaringan sutera menyelimuti tumbuh-tumbuhan.

Rabu, 16 Jun 2021

Tular Lelaki Jumpa Batu 'Berlian' Menyebabkan Beratus Orang Derduyun-duyun Ke Lokasi Itu Membawa Cangkul Dan Penyodok

Tular Lelaki Jumpa Batu 'Berlian' Menyebabkan Beratus Orang Derduyun-duyun Ke Lokasi Itu Membawa Cangkul Dan Penyodok


"Saya tidak pernah menyentuh berlian dalam hidup saya. Ini adalah kali pertama saya menyentuhnya," kata Skhumbuzo Mbhele, salah satu daripada beratus-ratus orang yang berduyun-duyun ke perkampungan kecil di Afrika Selatan.


Pemburu harta karun dilaporkan membanjiri kampung KwaHlathi di wilayah KwaZulu-Natal, Afrika Selatan untuk mencari batu permata, dengan harapan kawasan tersebut mungkin mengandungi berlian sekali gus akan mengubah nasib mereka.


Insiden itu berlaku selepas seorang lelaki menemui batu berwarna putih berkilauan yang dipercayai berlian ketika menggali tanah di sebuah kawasan lapang di kampung tersebut. Berita penemuan batu itu kemudian menjadi tular dalam kalangan penduduk dan di media sosial.


Setakat ini, pakar geologi masih belum menganalisis batu misteri yang ditemukan itu. Pihak berkuasa telah mengarahkan penduduk yang berada di lokasi itu untuk meninggalkan kawasan tersebut bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan.


Pihak berkuasa turut mengingatkan bahawa aktiviti penggalian tersebut tidak sah. Namun, rata-rata pemburu batu berharga itu tidak menghiraukannya, dan beranggapan itu adalah peluang sekali seumur hidup yang dapat membebaskan mereka dari kemiskinan.




Kerajaan tempatan juga memuat naik sebuah video memaparkan persekitaran kawasan itu di laman Twitter, dengan menyuarakan kebimbangan mengenai kejadian tersebut yang digelar sebagai 'demam berlian'.


"Sejak pagi ketika kami sampai di sini, ada ratusan orang yang melintasi lembah ini, kebanyakan dari mereka membawa cangkul dan penyodok, menggali merata tempat dalam kawasan yang mereka percaya ada berlian.


"Sebahagian besar yang datang adalah wanita yang turut bermalam di sini, ada yang memakai baju tidur kerana mereka mengatakan bahawa ia sangat sejuk pada waktu malam," kata seorang wartawan, lapor BBC (16/6/2021).


Dr Michele Francis, seorang penyelidik Afrika Selatan dalam bidang sains tanah di University of Stellenbosch, mengatakan dia percaya penemuan terbaru itu mungkin kuarza, kristal seperti berlian, tetapi tidak begitu berharga.


"Jarang kita menemukan berlian. Syarikat perlombongan besar menghabiskan banyak wang untuk mencari lombong baru. Mencari berlian dengan mudah di tanah adalah mustahil," katanya.


Gambar dari udara memaparkan ratusan orang memburu batu yang dipercayai berlian. - AFP

Mereka menggali merata tempat dalam kawasan itu. - AFP

Penduduk memegang batu yang dipercayai berlian. - AFP

Selasa, 15 Jun 2021

Jual Kasut Online, Bekas Kekasih Ketua Kartel Dadah Mati Ditembak

Jual Kasut Online, Bekas Kekasih Ketua Kartel Dadah Mati Ditembak


Hanya beberap bulan selepas kematian ketua kartel dadah, Alexis 'El Alexis' Martinez yang dibunuh pada Mac lalu, oleh pembunuh yang menyamar sebagai pekerja penghantaran makanan di bandar Zapopan, wilayah Jalisco, kekasihnya pula menjadi mangsa.


Paulina Arreola Perez, 26, antara trio gengster yang dikenali sebagai Las Novias de La Union (Teman wanita The Union), bersama-sama Valeria Diaz dan Nayibi Mustafa. Ketiga-tiganya mati dibunuh dalam tempoh 12 bulan lalu.


Sejak kematian Martinez, Perez menjalankan perniagaan menjual kasut dalam talian dan polis percaya pembunuhan wanita itu mungkin ada kaitan dengan teman lelakinya. Polis percaya dia mungkin dibunuh seseorang yang menyamar sebagai seorang pelanggan.


Lelaki bersenjata yang menunggang motosikal menembaknya. Ketika kejadian, Perez bersama seorang rakan lelaki dikenali sebagai Eduardo Arturo Trejo di kawasan Benito Juarez di Mexico City, 9 Jun lalu.


Perez ditembak sekurang-kurangnya sembilan kali dan Eduardo, dua kali, semasa mereka duduk di dalam kereta wanita itu. Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian membawa mereka ke hospital, namun kedua-duanya kemudian disahkan meninggal dunia.


Perez dipercayai menjadi sasaran kerana hubungannya dengan kumpulan penjenayah La Union Tepito. Kumpulan itu terbabit dalam pembunuhan, penculikan, pemerasan dan pengedaran dadah di dalam dan sekitar ibu negara Mexico.


Perez sebelum ini telah menikmati kehidupan mewah dengan teman lelakinya. Pasangan itu suka menunjukkan gaya hidup mewah mereka melalui Instagram menerusi foto pelancongan ke Madrid, Paris dan Milan.


Martinez juga dilihat memakai pakaian eksklusif yang direka khas selain barang peribadi dikatakan bernilai 200,000 peso (kira-kira RM41,000). Perez pula menunjukkan kehidupan mewah di media sosial termasuk gambarnya yang sedang bercuti di Dubai, Athens dan Toronto, yang sebahagian besarnya dibayar dengan kad kredit klon.


Selepas kematian teman lelakinya, wanita muda itu menulis di media sosial, 'suatu hari kita akan bertemu lagi.' Sebelum ini, Karina Itzel Morales, teman wanita Martinez sebelum Perez, hilang secara misteri pada 2018. Sumber: Olivia Burke/The Sun (11/6/2021).


Dia mula menjual kasut secara dalam talian setelah teman lelakinya, Alexis 'El Alexis' Martinez, dibunuh pada bulan Mac tahun ini.


Martinez dibunuh pada bulan Mac 2021 oleh seorang pembunuh yang menyamar sebagai pekerja penghantaran makanan di bandar Zapopan.
Ini Sebab Kenapa Nelayan India Pakai Topeng, Tapi Diletakkan Belakang Kepala

Ini Sebab Kenapa Nelayan India Pakai Topeng, Tapi Diletakkan Belakang Kepala


Taman Negara Sundarban di wilayah Ganges Delta di India, adalah 'rumah' kepada lebih 500 ekor harimau. Ia juga merupakan habitat bagi pelbagai jenis burung, reptilia dan buaya air masin.


Taman Negara tersebut diisytiharkan sebagai kawasan 'Tiger Reserve' pada tahun 1973 dan tempat perlindungan hidupan liar pada tahun 1977. Pada 1987, ia diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia UNESCO.


Ketika taman negara Tiger Reserve dibentuk, sekitar 60 orang dilaporkan diserang harimau setiap tahun. Oleh sebab itu, penyelidik dan pekerja perhutanan berusaha mencari cara terbaik untuk menghalang harimau yang tinggal di hutan itu daripada menganggap manusia sebagai mangsa.


Seorang pelajar yang tidak dinyatakan namanya dari Science Club of Calcutta kemudian mencadangkan idea untuk menggunakan topeng manusia. Peter Jackson, ketua kumpulan pakar pemuliharaan harimau dari World Conservation Union, menjelaskan bahawa banyak spesies haiwan menggunakan teknik yang sama untuk menipu pemangsa.



"Rama-rama, kumbang dan ulat akan mengembangkan corak yang kelihatan seperti mata besar pada sayap atau badan mereka," kata Jackson, seperti yang dilaporkan oleh The New York Times.


Katanya, topeng yang dipakai di belakang kepala memang kelihatan agak pelik kerana kelihatan seperti manusia bermuka dua. Namun, pekerja di hutan bakau mula memakai topeng muka di belakang kepala mereka, alasannya kerana pemangsa hanya menyerang orang dari belakang.


Tambahnya lagi, setakat ini helah pemakaian topeng di belakang kepala nampaknya berjaya. Jambatan perhutanan India telah mengeluarkan lebih dari 2,500 topeng yang diberikan kepada pekerja hutan Tiger Reserve dan penduduk tempatan.


"Selama tiga tahun terakhir, tidak ada laporan mengenai orang yang memakai topeng terbunuh disebabkan serang haiwan itu. Harimau hanya di lihat mengikuti orang yang memakai topeng, tetapi tidak menyerangnya.


"Sebaliknya 29 orang yang tidak memakai topeng telah mati di kawasan hutan itu dalam tempoh 18 bulan terakhir ini, seperti yang dilapor oleh pegawai tempatan," kata Jackson.


Tiada bukti saintifik namun ia berjaya menurunkan kes serangan harimau keatas manusia di India. Bagaimanapun, sebilangan penduduk tempatan seperti pencari madu hutan dan kayu bakar kelihatan ragu-ragu dan berpendapat bahawa harimau terlalu pintar untuk ditipu.


Lelaki Nyaris Maut Ditelan Ikan Paus Selama 30 Saat, Dapat 'Nyawa Kedua' Selepas Ikan Itu Muntahkannya Semula

Lelaki Nyaris Maut Ditelan Ikan Paus Selama 30 Saat, Dapat 'Nyawa Kedua' Selepas Ikan Itu Muntahkannya Semula


Seorang nelayan pencari udang galah mendakwa ditelan seekor ikan paus baru-baru ini. Kisah itu dikongsi nelayan terbabit, menerusi Facebook beberapa jam selepas kejadian malang yang menimpanya.


"Saya dapat rasakan berada di dalam perut dan paus sedang menelan saya." Berikut merupakan luahan detik cemas dialami oleh Michael Packard yang berusia 56 tahun seorang nelayan di Massachusetts, Amerika Syarikat (AS).


Menurutnya, sebelum kejadian beliau sedang mengutip udang galah yang dipancingnya di perairan Provincetown, AS. Secara tiba-tiba pandangannya menjadi gelap, tanpa mengambil masa yang lama beliau menyedari bahawa dirinya telah ditelan seekor ikan besar.


Pada mulanya, Packard menyangka ditelan ikan jerung putih, tetapi berasa pelik kerana tidak merasai kesakitan digigit gigi tajam. Rupa-rupanya beliau ditelan humpback whale atau paus kelasa.


"Saya dapat merasakan paus terbabit sedang menelan dan saya bergerak ke dalam perut secara perlahan-lahan. Sepanjang tempoh itu, saya hanya memikirkan isteri dan anak-anak serta beranggapan sudah tiba masanya saya mati," katanya.


Pun begitu, bak peribahasa lama 'berpantang maut sebelum ajal' umur Packard masih panjang walaupun berdepan detik yang hampir meragut nyawanya. Dia ditelan kira-kira 30 hingga 40 saat sebelum paus tersebut memuntahkannya semula.


"Paus berkenaan memuntahkan saya ke udara, lalu saya jatuh ke dalam laut dan terapung. Tak sangka insiden ini benar-benar berlaku," ceritanya.


Pengalaman pahit menimpa lelaki tersebut disaksikan oleh rakannya, Josiah Mayo yang berada di atas bot. Beliau segera menarik Packard yang terapung di atas air sementara menunggu bantuan daripada pasukan penyelamat Provincetown dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.


Hasil pemeriksaan mendapati Packard mengalami kerosakan tisu lembut pada bahagian kaki. Namun begitu, beliau tidak mengalami patah tulang atau kecederaan serius yang lain.


Pengarah kajian ikan paus humpback di Pusat Kajian Pesisir di Provincetown, Massachusetts, Jooke Robbins berkata, apa yang diceritakan nelayan itu adalah benar. Dia tidak pernah mendengar insiden sedemikian namun beranggapan Packard berada di tempat dan waktu yang tidak tepat. Sumber: CBS Boston (11/6/2021).


Packard menunjukkan antara udang galah yang ditangkapnya.
Penduduk Yang Sudah Divaksin Dapat Hadiah Lembu

Penduduk Yang Sudah Divaksin Dapat Hadiah Lembu


Pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan tempatan di negeri masing-masing dalam usaha mencapai tahap imuniti kelompok yang tinggi, bagi menggalakkan orang ramai menerima suntikan vaksin bagi membendung penularan Covid-19.


Bulan lalu, penduduk di Amerika Syarikat ditawarkan sepaket ganja secara percuma kepada orang ramai yang mengambil suntikan vaskin di bandar Washington, dalam usaha membendung penularan wabak itu, lapor CNN.


Di Filipina pula, hadiah lumayan diberikan kepada penduduk yang sudah divaksin di bandar San Luis di Pampanga berdekatan Manila, kerajaan perbandaran akan menghadiahkan seekor lembu bernilai AS$628 (RM2,600).


Pegawai Pengurusan Bencana, Ardee Taruc berkata, haiwan itu disumbangkan oleh penderma tempatan dan sangat bermakna kerana San Luis merupakan kawasan pertanian.


"Hadiah lembu mungkin tidak bermakna di tempat lain, tetapi tidak di sini. Seekor lembu mampu mengeluarkan seseorang daripada belenggu kemiskinan. Sekiranya lembu betina, petani dapat menjual susunya," katanya.


Filipina merekodkan bilangan penduduk yang sudah menerima satu dos vaksin sebanyak empat peratus iaitu bersamaan 110 juta penduduk dan 1.4 peratus sudah menerima dos kedua.


Ramai penduduk yang enggan menerima suntikan vaksin selepas mendengar berita mengenai penduduk negara lain yang pengsan, terkena serangan jantung serta mati selepas dicucuk.


Dalam perkembangan sama, bermula Julai depan di Las Pinas, seramai 10 penduduk yang sudah menerima suntikan vaksin akan berpeluang memenangi pakej barangan keperluan bernilai lebih AS$100 (RM411).