Rabu, 16 Jun 2021

Tular Lelaki Jumpa Batu 'Berlian' Menyebabkan Beratus Orang Derduyun-duyun Ke Lokasi Itu Membawa Cangkul Dan Penyodok


"Saya tidak pernah menyentuh berlian dalam hidup saya. Ini adalah kali pertama saya menyentuhnya," kata Skhumbuzo Mbhele, salah satu daripada beratus-ratus orang yang berduyun-duyun ke perkampungan kecil di Afrika Selatan.


Pemburu harta karun dilaporkan membanjiri kampung KwaHlathi di wilayah KwaZulu-Natal, Afrika Selatan untuk mencari batu permata, dengan harapan kawasan tersebut mungkin mengandungi berlian sekali gus akan mengubah nasib mereka.


Insiden itu berlaku selepas seorang lelaki menemui batu berwarna putih berkilauan yang dipercayai berlian ketika menggali tanah di sebuah kawasan lapang di kampung tersebut. Berita penemuan batu itu kemudian menjadi tular dalam kalangan penduduk dan di media sosial.


Setakat ini, pakar geologi masih belum menganalisis batu misteri yang ditemukan itu. Pihak berkuasa telah mengarahkan penduduk yang berada di lokasi itu untuk meninggalkan kawasan tersebut bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan.


Pihak berkuasa turut mengingatkan bahawa aktiviti penggalian tersebut tidak sah. Namun, rata-rata pemburu batu berharga itu tidak menghiraukannya, dan beranggapan itu adalah peluang sekali seumur hidup yang dapat membebaskan mereka dari kemiskinan.




Kerajaan tempatan juga memuat naik sebuah video memaparkan persekitaran kawasan itu di laman Twitter, dengan menyuarakan kebimbangan mengenai kejadian tersebut yang digelar sebagai 'demam berlian'.


"Sejak pagi ketika kami sampai di sini, ada ratusan orang yang melintasi lembah ini, kebanyakan dari mereka membawa cangkul dan penyodok, menggali merata tempat dalam kawasan yang mereka percaya ada berlian.


"Sebahagian besar yang datang adalah wanita yang turut bermalam di sini, ada yang memakai baju tidur kerana mereka mengatakan bahawa ia sangat sejuk pada waktu malam," kata seorang wartawan, lapor BBC (16/6/2021).


Dr Michele Francis, seorang penyelidik Afrika Selatan dalam bidang sains tanah di University of Stellenbosch, mengatakan dia percaya penemuan terbaru itu mungkin kuarza, kristal seperti berlian, tetapi tidak begitu berharga.


"Jarang kita menemukan berlian. Syarikat perlombongan besar menghabiskan banyak wang untuk mencari lombong baru. Mencari berlian dengan mudah di tanah adalah mustahil," katanya.


Gambar dari udara memaparkan ratusan orang memburu batu yang dipercayai berlian. - AFP

Mereka menggali merata tempat dalam kawasan itu. - AFP

Penduduk memegang batu yang dipercayai berlian. - AFP


EmoticonEmoticon