Sabtu, 20 April 2024

Detik 'mengerikan' langit Dubai bertukar warna hijau selepas dilanda ribut, banjir besar

Detik 'mengerikan' langit Dubai bertukar warna hijau selepas dilanda ribut, banjir besar


Penduduk kota raya Dubai menyaksikan fenomena aneh langit berubah menjadi warna hijau ketika cuaca buruk melanda Emiriyah Arab Bersatu (UAE), lapor portal berita Express UK pada 17 April 2024.


Walaupun sesetengah kawasan menjadi gelap pada waktu siang, sebahagian penduduk terpesona melihat pemandangan langit berwarna hijau.


Ia merupakan kejadian yang jarang berlaku selepas cuaca buruk melanda UAE pada Selasa lalu.


Seorang saksi mata yang terpesona dengan peristiwa tersebut berkongsi pengalamannya di platform X.


"Saya jarang memuat naik video tetapi langit di sini bertukar hijau hari ini (Selasa lalu) dan kelihatan begitu menakutkan seperti dalam filem sains fiksyen," tulisnya.


Pada Selasa lalu, Dubai mengalami hujan paling lebat pernah direkodkan apabila pusat beli-belah dan jalan-jalan raya dilanda banjir kilat, manakala seorang penduduk disahkan terkorban.


Hujan lebat itu turut menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ditenggelami air sehingga menjejaskan operasi penerbangan. - Sumber Express UK.


Langit Dubai bertukar menjadi hijau ketika hujan lebat berlaku di Dubai, Selasa lalu. - Foto X/@Angryman_J.
UFO terbang dalam kawah gunung berapi aktif, penyelidik dakwa ia portal ke dunia makhluk asing

UFO terbang dalam kawah gunung berapi aktif, penyelidik dakwa ia portal ke dunia makhluk asing


Satu imej objek terbang tidak dikenali (UFO) dirakam oleh kamera pengawasan yang dipasang berdekatan sebuah gunung berapi aktif di Mexico, lapor portal berita The Sun pada 19 April 2024.


UFO itu nampak bercahaya dan terbang ke arah Gunung Popocatepetl setinggi 5,426 meter, dekat Bandar Raya Mexico, pada petang Isnin lalu.


Ia kemudian mendekati kawah gunung berapi yang berasap sebelum masuk ke dalamnya. Penampakan UFO di Gunung Popocatepetl yang merupakan antara gunung berapi paling aktif di Mexico itu adalah bukan kali pertama.


Pakar UFO Mexico, Jaime Maussan, 70, sebelum ini berkongsi beberapa klip video kejadian serupa.


Jelasnya, tiada objek buatan manusia boleh memasuki kawah gunung berapi yang mengandungi lahar dan merekodkan suhu sekitar 1,000 darjah Celsius.


Maussan berkata: "Universiti Bergen di Norway mendapati bahawa di bawah gunung berapi terdapat ribut magnet yang diperlukan untuk dapat menjana titik-X atau kawasan resapan elektron dan digunakan untuk mencipta Portal Dimensi."


Titik-X ialah lokasi di mana medan magnet Bumi dan Matahari bertemu, membentuk laluan yang menjangkau 93 juta batu antara keduanya.


Sebab ia dipanggil titik-X kerana bentuk X terbentuk apabila daya magnet Bumi dan Matahari bergabung.


Menurut Encik Maussan, Albert Einstein mula-mula mencadangkan idea 'lubang cacing' pada tahun 1930-an.


Lubang cacing dianggap sebagai terowong antara dua titik jauh di alam semesta yang memendekkan masa perjalanan dari satu titik ke titik lain.


Di bawah keadaan yang betul, seseorang secara teorinya boleh menggunakan lubang cacing untuk memotong masa perjalanan dari satu galaksi ke galaksi lain, yang sebaliknya boleh mengambil masa berjuta-juta tahun, kepada beberapa jam atau minit sahaja. - Sumber The Sun.


UFO dirakam berada di atas Gunung Popocatepetl baru-baru ini. - Foto Video Jam Press.
Lelaki warga emas dibunuh, dibakar ahli keluarganya sendiri dalam hutan

Lelaki warga emas dibunuh, dibakar ahli keluarganya sendiri dalam hutan


Seorang lelaki warga emas dipercayai dibunuh dan dibakar oleh saudaranya sendiri sebelum serpihan tulang ditemui di kawasan hutan belakang sebuah rumah di Kampung Kipaliu, Ranau, pada Khamis lalu.


Serpihan tulang mangsa berusia 68 tahun itu ditemui oleh keluarganya berdasarkan penemuan kawasan yang dibakar terletak di belakang rumah mangsa kira-kira pukul 3 petang.


Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan, Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang juga anak saudara kepada mangsa dan suspek pada pukul 9.43 malam.


"Pengadu memaklumkan menemui serpihan tulang disyaki tulang manusia yang telah dibakar di kawasan hutan belakang rumah mangsa. Serpihan tulang itu dipercayai milik bapa saudaranya yang hilang pada 16 April lalu.


"Bagaimanapun, semua serpihan tulang yang ditemui akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk tujuan analisa perbandingan DNA," katanya ketika dihubungi, semalam.


Mengulas lanjut, Simiun menyatakan hasil siasatan menahan seorang lelaki yang juga anak saudara kepada mangsa.


Menurut beliau, suspek berusia 50 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau tidak jauh dari lokasi kejadian untuk membantu siasatan.


"Polis masih dalam proses siasatan termasuk mengenalpasti motif sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


Sementara itu, Simiun berkata, polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini yang boleh mengganggu siasatan serta menggugat ketenteraman awam.


Lokasi serpihan tulang mangsa ditemui di kawasan hutan belakang rumah mangsa di Kampung Kipaliu, Ranau, Sabah. - Foto PDRM.

Jumaat, 19 April 2024

Tular lelaki mabuk tunjuk kemaluan, rupanya ada masalah mental

Tular lelaki mabuk tunjuk kemaluan, rupanya ada masalah mental


Video tular seorang lelaki dipercayai menunjukkan kemaluannya adalah pesakit mental dan berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian berlaku, kata polis.


Kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa video memaparkan aksi suspek cuba melarikan diri menggunakan kereta, sebelum ditahan orang awam dalam kejadian pada Selesa lalu.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya mengesan video tular di platform X yang memaparkan kejadian pertengkaran sekumpulan individu di kawasan perumahan.


Beliau berkata, video itu memaparkan suspek menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita di Bukit Belimbing, Seksyen 26, Shah Alam.


"Pihak polis telah menerima laporan berkaitan kejadian pada Selasa, lebih kurang jam 11 malam daripada seorang perempuan yang memaklumkan kejadian tersebut.


"Suspek yang berusia 46 tahun telah ditangkap oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis.


"Hasil siasatan pihak polis mendapati suspek dalam keadaan mabuk dan mempunyai masalah mental," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Tambahnya, suspek juga sedang menjalani rawatan psikiatri di sebuah hospital swasta di Klang.


Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun.


Orang ramai berkumpul menahan suspek selepas menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita dalam satu kejadian di Bukit Belimbing, Seksyen 26, Shah Alam, Selangor. - Foto Media Sosial.

Khamis, 18 April 2024

Remaja pandu kereta langgar 10 penunggang motosikal di sepanjang jalan

Remaja pandu kereta langgar 10 penunggang motosikal di sepanjang jalan


Polis Indonesia menyaman seorang remaja bawah umur kerana memandu kenderaan tanpa lesen dan merempuh 10 motosikal serta sebuah kereta lain dalam berbilang kejadian pada satu malam, lapor portal berita Okezone pada 18 April 2024.


Remaja dikenali sebagai MH dan berumur 16 tahun itu melakukan kesalahan tersebut di Tarumajaya, Kabupaten Bekasi, wilayah Jawa Barat pada Selasa, 16 April.


Menurut Ketua Unit Kemalangan Trafik Polis Metro Bekasi, Inspektor Wandi Suwandhi, MH ketika itu keluar mencari makan dengan memandu kereta Toyota Yaris.


Ketika berada di kawasan Tarumajaya, dia melanggar sebuah motosikal.


Namun, ketika mahu keluar dari kereta untuk membantu penunggang motosikal tersebut, MH dikejar tiga remaja lain yang turut cuba merosakkan kenderaannya.


"Remaja itu ketakutan lalu masuk semula ke dalam kereta dan memandu pergi sambil dikejar oleh tiga remaja lain," kata Wandi.


Tambahnya, ketika memandu dengan tergesa-gesa, MH merempuh dua motosikal lain sebelum memandu ke arah sebuah hospital terdekat.


"Ketika berada di persimpangan lampu isyarat, MH merempuh dua lagi motosikal.


"Kemudian, dia mahu memasuki plaza Tol Becakayu sambil dikejar lima buah motosikal. Namun, disebabkan ketakutan, dia mengundur kereta lalu melanggar kelima-lima kenderaan itu," kata Wandi.


Akhir sekali, MH melanggar sebuah kereta Honda Brio di plaza tol yang sama ketika mahu melarikan diri sebelum kenderaan polis tiba.


MH kemudian ditahan sebelum ibu bapanya dipanggil ke balai polis. Wandi mengesahkan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu.


Remaja itu dikenakan saman, manakala ibu dan bapanya berjanji akan membayar ganti rugi kepada semua kenderaan lain yang terlibat. - Sumber Okezone.


MH memandu kenderaan Toyota Yaris tanpa lesen. - Foto tangkap layar video/Okezone.

Rabu, 17 April 2024

Lohong hitam terbesar dikesan berhampiran bumi, 33 kali lebih besar daripada matahari

Lohong hitam terbesar dikesan berhampiran bumi, 33 kali lebih besar daripada matahari


Ahli astronomi daripada Agensi Angkasa Eropah (ESA) mengumumkan penemuan lohong hitam terbesar di dalam Bima Sakti kita, lapor laman berita Wion News pada 17 April 2024.


Lohong hitam yang digelar BH3 itu bersaiz 33 kali ganda lebih besar berbanding matahari. Ia terletak berhampiran buruj Aquila, 2000 tahun cahaya dari bumi, bukan jarak yang sangat jauh, kata saintis.


Penemuan dilakukan oleh teleskop angkasa lepas Gaia yang dilancarkan ESA pada tahun 2013 untuk mengambil gambar berbilion bintang.


Saintis mengesan pergerakan pada bintang di dalam buruj Aquila yang memberikan petanda terdapat sebuah lohong hitam berhampiran.


Kemudian menerusi bantuan Very Large Telescope (VLT) yang terletak di Chile, kewujudan BH3 disahkan bersama dengan saiznya. Selain BH3, teleskop Gaia juga mengesan dua lagi lohong hitam di dalam Bima Sakti.


Lohong hitam BH1 ditemukan di buruj Ophiuchus yang terletak 1560 tahun cahaya daripada bumi. Sementara itu lohong hitam BH2 pula di buruj Centaurus yang terletak 3800 tahun cahaya daripada bumi.


Pada mulanya para saintis tidak menjangkakan apa-apa penemuan, minat mereka didorong oleh pergerakan luar biasa, yang mereka kaitkan dengan kesan graviti BH3 pada jasad angkasa berhampiran.


"Ini adalah jenis penemuan yang anda buat sekali dalam kehidupan penyelidikan anda," kata Pasquale Panuzzo, seorang ahli astronomi dari Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan di Observatoire de Paris.


Lohong hitam terbentuk apabila bintang mencapai penghujung hayatnya. Kebanyakan bintang ini mengembang, kehilangan jisim dan sejuk menjadi 'kerdil putih', tetapi bintang lain kehilangan jisim yang kurang dan tidak mengandungi unsur berat.


"Bintang-bintang ini dipanggil 'bintang bebas logam' dan bukannya menjadi 'kerdil putih', mereka runtuh pada diri mereka sendiri dan membentuk lohong hitam," kata saintis.


Lohong hitam atau lubang gelap ialah tumpuan jisim dengan medan graviti yang sungguh kuat hinggakan halaju lepasan berhampiran dengan lohong hitam melebihi kelajuan cahaya.


Ini membayangkan bahawa tiada sesuatu bendapun, termasuk cahaya, mampu melepasi gravitinya. Istilah 'lubang gelap' digunakan secara meluas, walaupun teori itu tidak merujuk kepada sebarang lubang dalam bentuk biasa.


Para saintis NASA percaya bahawa terdapat lebih daripada 50 lohong hitam di galaksi Bima Sakti. Terdahulu pada bulan Januari, ahli astronomi berkata mereka telah menemui lohong hitam tertua yang pernah ditemui, sejak awal alam semesta lebih 13 bilion tahun lalu.


Lohong hitam itu terletak di galaksi purba yang dipanggil GN-z11, terletak 13.4 bilion tahun cahaya jauhnya, dan telah diperhatikan menggunakan Teleskop Angkasa James Webb. - Sumber Wion News.


Ahli astronomi daripada Agensi Angkasa Eropah (ESA) mengumumkan penemuan lohong hitam terbesar di dalam Bima Sakti. - Foto Agensi.
Gara-gara bercinta dengan isteri orang, lelaki cedera dibelasah

Gara-gara bercinta dengan isteri orang, lelaki cedera dibelasah

 

Seorang lelaki di Sibu, Sarawak cedera akibat dibelasah tiga lelaki kerana didakwa keluar dengan isteri salah seorang suspek.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada mangsa berusia 24 tahun pada jam 10.29 malam, 14 April lalu.


"Satu laporan diterima daripada lelaki warga tempatan mengatakan pada tarikh sama sekitar jam 5 petang ketika menunggu bas di Jalan Pahlawan, di Sibu, dia didatangi tiga lelaki tidak dikenali lalu terus menyerangnya.


"Mangsa dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda menuju ke sebuah rumah di Jalan Sentosa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, bertindak atas maklumat awam, pada tarikh sama sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berjaya menangkap seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 26 tahun bagi membantu siasatan.


"Suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga 18 April ini. Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa keluar dengan isteri suspek.


"Disebabkan rasa marah, suspek bersama tiga lagi rakan yang masih bebas bertindak memukul mangsa dan mengugut supaya tidak mengganggu isterinya lagi," katanya.


Difahamkan, isteri suspek mengenali mangsa sejak Disember tahun lalu melalui TikTok.


Kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan.


Tular video di Facebook sekumpulan lelaki dilihat menyerang mangsa di hadapan sebuah kedai kopi berhampiran Terminal Bas di Jalan Pahlawan, Ahad lalu.
Polis kesan lelaki kes rakam video, gambar dalam tandas wanita

Polis kesan lelaki kes rakam video, gambar dalam tandas wanita


Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan membabitkan kes merakam gambar atau mengambil video seorang wanita di tandas sebuah pusat beli-belah bebas cukai di Jalan Haji Saman di Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa, 6 April lalu.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes mengaibkan kehormatan daripada seorang pengadu pada Rabu.


"Kami menerima laporan daripada mangsa wanita yang berusia dalam lingkungan 20 tahun, jam 3.34 petang, pada 7 April lalu.


"Kejadian berlaku pada 8.40 malam di mana pengadu menyedari ada individu tidak dikenali sedang memegang telefon bimbit di bawah pintu tandas dan disyaki sedang merakam gambar atau video.


"Susulan kejadian itu, semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an, berbaju hitam, berseluar coklat, bermisai serta berjanggut nipis selain memakai selipar," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan lelaki dalam rakaman CCTV tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Wan Azman Mat Salleh di talian 012-8260050 bagi membantu siasatan.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya.


Lelaki yang disyaki melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan di tandas wanita di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu pada Selasa, 6 April lalu.

Selasa, 16 April 2024

Nenek pengumpul daun kering berpakaian lusuh rupanya hartawan

Nenek pengumpul daun kering berpakaian lusuh rupanya hartawan


Seorang warga emas di sebuah kampung di Jawa Barat yang disangka pengumpul daun kering, rupanya hartawan yang memiliki sebuah rumah mewah bagaikan istana, lapor akhbar TribunJabar pada 15 April 2024.


Rakaman video yang dikongsikan oleh akaun TikTok @misterkonde3 itu tular di media sosial dan mengejutkan ramai netizen.


Menerusi rakaman itu, warga emas berkenaan dilihat mengenakan pakaian lusuh sambil membawa daun kelapa kering dan daun pisang dari sawah berdekatan.


Namun, siapa sangka disebalik penampilannya yang serba sederhana, wanita itu merupakan pemilik rumah mewah di kampung tersebut.


Rumahnya yang terdiri daripada dua tingkat dibina di kawasan seluas 1 hektar itu dihiasi dengan patung berbentuk kuda serta ukiran bercorak emas di dinding.


Lebih mengejutkan apabila pelbagai jenis kereta berada di dalam garajnya seperti Toyota Fortuner dan Honda Civic.


Warga emas itu sebenarnya seorang usahawan dan mempunyai berhektar-hektar sawah.


Biarpun dia antara orang terkaya di kampungnya, wanita itu memilih untuk hidup sederhana.


Dalam satu video, warga emas itu dapat dilihat menghulurkan sumbangan kepada sekitar 1,000 penduduk menjelang Aidilfitri.


Berkat kemurahan hatinya, ketika cuti Aidilfitri, penduduk berpusu-pusu ke kediaman mewah wanita itu untuk berhari raya. - Sumber Tribun Jabar.


Seorang warga emas yang disangka pengumpul daun kering mengejutkan ramai netizen, rupanya hartawan yang memiliki sebuah rumah mewah bagaikan istana. - Foto TikTok@misterkonde3.
Polis saman pemandu ambulans bunyikan siren, pandu tergesa-gesa, langgar lampu isyarat merah

Polis saman pemandu ambulans bunyikan siren, pandu tergesa-gesa, langgar lampu isyarat merah


Polis Indonesia menyaman seorang pemandu ambulans kerana memandu secara melulu serta membunyikan siren walaupun tidak membawa pesakit, lapor laman berita Tribun News pada 13 April 2024.


Kejadian berlaku di Jalan Jeneral Sudirman, Kota Solo, wilayah Jawa Tengah pada Selasa minggu lalu.


Dalam video yang tular di media sosial, polis mengarahkan pemandu ambulans itu supaya berhenti selepas dia melanggar lampu isyarat merah.


Hasil pemeriksaan mendapati pemandu tersebut tidak membawa pesakit meskipun membunyikan siren dan memandu secara tergesa-gesa.


Forum Ambulans Sukoharjo Bersatu (FAST) yang merupakan pengendali ambulans itu mengesahkan kejadian tersebut.


Menurutnya, pemandu terbabit mengaku dia ketika itu tidak berada dalam situasi kecemasan, namun tetap membunyikan siren dan melanggar peraturan lalu lintas.


Ujar FAST lagi, pihaknya telah menjalankan siasatan ke atas pemandu berkenaan dan mengingatkannya supaya mematuhi peraturan penggunaan ambulans di jalan raya. - Sumber Tribun News.


Pemandu berkenaan disaman polis kerana memandu secara melulu ketika tidak membawa pesakit di Jalan Jenderal Sudirman, Kecamatan Pasar Kliwon, Kota Solo, Jawa Tengah, Selasa lalu (9/4/2024). - Foto Tribunnews.