Jumaat, 19 April 2024

Tular lelaki mabuk tunjuk kemaluan, rupanya ada masalah mental


Video tular seorang lelaki dipercayai menunjukkan kemaluannya adalah pesakit mental dan berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian berlaku, kata polis.


Kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa video memaparkan aksi suspek cuba melarikan diri menggunakan kereta, sebelum ditahan orang awam dalam kejadian pada Selesa lalu.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya mengesan video tular di platform X yang memaparkan kejadian pertengkaran sekumpulan individu di kawasan perumahan.


Beliau berkata, video itu memaparkan suspek menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita di Bukit Belimbing, Seksyen 26, Shah Alam.


"Pihak polis telah menerima laporan berkaitan kejadian pada Selasa, lebih kurang jam 11 malam daripada seorang perempuan yang memaklumkan kejadian tersebut.


"Suspek yang berusia 46 tahun telah ditangkap oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis.


"Hasil siasatan pihak polis mendapati suspek dalam keadaan mabuk dan mempunyai masalah mental," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Tambahnya, suspek juga sedang menjalani rawatan psikiatri di sebuah hospital swasta di Klang.


Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun.


Orang ramai berkumpul menahan suspek selepas menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita dalam satu kejadian di Bukit Belimbing, Seksyen 26, Shah Alam, Selangor. - Foto Media Sosial.


EmoticonEmoticon