Ahad, 5 Mei 2024

Lelaki kecewa, Isterinya ternyata lelaki terbongkar selepas 12 hari menikah


Seorang pemuda yang berasal dari Kampung Wangunjaya, Daerah Naringgul, Cianjur, berasa malu dan kecewa apabila mengetahui isteri yang dikahwini rupa-rupanya adalah seorang lelaki.


Portal DetikJabar pada 5 Mei 2024 melaporkan pembongkaran berlaku setelah 12 hari pasangan itu melangsungkan perkahwinan.


Lelaki yang dikenali sebagai Adinda Kanza, 26, berjaya mengaburi mata AK, 26, sejak mula perkenalan mereka di media sosial sebelum memutuskan untuk bertemu secara bersemuka.


AK pada awalnya sama sekali tidak menyangka bahawa Adinda sebenarnya seorang lelaki meskipun mereka telah menjadi pasangan kekasih selama setahun.


Sehinggalah, selepas mereka berkahwin apabila Adinda menunjukkan sikap yang mencurigakan termasuk menolak untuk melakukan hubungan badan, selain tidak suka bergaul dengan keluarga AK dan masyarakat setempat.


Menurut polis setempat yang melakukan siasatan menjelaskan, mereka berkahwin pada 12 April 2024 di rumah AK dan tidak didaftarkan pada kerajaan negeri dengan alasan ibu dan bapa pengantin 'perempuan' tidak dapat hadir.


Adinda meminta agar perkahwinan itu menggunakan wali hakim daripada pejabat agama tempatan.


"Dia mengaku tinggal seorang diri, ibunya meninggal dunia dan bapanya tidak tahu ke mana perginya, jadi penjaganya bukan bapa atau keluarganya.


"Penipuan itu dilakukan untuk menutup identiti sebenar dirinya iaitu seorang lelaki. Pernikahan itu juga dilangsungkan di rumah AK, secara sederhana dengan lima gram emas sebagai mas kahwin," kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polres Naringgul, Bripka Ridwan Taupik, Sabtu (4/5/2024).


Menurut Bripka, jika diperhatikan Adinda tidak ubah seperti perempuan, apatah lagi apabila setiap kali keluar rumah dia mengenakan pakaian wanita yang lengkap.


"Apatah lagi apabila dia mengenakan solek memang mirip wanita, jika diperhatikan daripada foto pernikahan mereka juga terlihat seperti wanita, suaranya juga lembut, jadi langsung tidak menimbulkan keraguan bahawa dia adalah lelaki," katanya.


Adinda kini telah ditahan pihak polis selepas laporan dibuat oleh keluarga AK.


Terdahulu, disebabkan rasa ingin tahu keluarga AK melakukan siasatan dengan menggeledah barang peribadi Adinda dan menemui satu alamat, mereka kemudian pergi sendiri ke rumah keluarga Adinda di Ciadun.


Kenyataan sebenar terbongkar setelah ayah Adinda mengatakan bahawa anaknya itu adalah seorang lelaki.


"Keluarga AK sangat terkejut dengan fakta itu, sebab semasa mereka dinikahkan Adinda mengatakan bahawa ayahnya hilang, hingga mereka dinikahkan oleh wali hakim.


"Setelah itu keluarga AK, mendapatkan Adinda hinggalah dia mengakui bahawa dia sebenarnya adalah seorang lelaki," kata Bripka lagi. - Sumber DetikJabar.


Gambar perkahwinan pasangan berkenaan. - Foto Detik.Com.


EmoticonEmoticon