Isnin, 3 April 2023

Pemuda perkosa kanak-kanak berusia 12 tahun ditahan

Pemuda perkosa kanak-kanak berusia 12 tahun ditahan


Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun di sebuah kebun di Kampung Iban Merotai, Tawau, Sabah.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.50 malam, Sabtu di sebuah kebun kelapa sawit persendirian susulan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa.


Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sewaktu mangsa tinggal di kediaman suspek bermula awal bulan ini.


"Mangsa kemudiannya menghubungi saudara lain untuk membongkar perbuatan suspek dan tindakan segara sudah diambil.


"Berdasarkan maklumat diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai terus bergegas ke lokasi untuk mengesan dan menahan suspek. Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Menurut beliau, siasatan awal mendapati, mangsa telah dirogol sebanyak sekali. Turut tinggal bersama mereka adalah ibu serta lima adik-beradik yang lain termasuk dua adik-beradik tiri.


Jasmin bekata, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.


Polis Tawau menahan seorang lelaki warga asing ekoran disyaki merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun. - Foto oleh Ihsan Polis Tawau.

Ahad, 2 April 2023

Kakitangan pembinaan temukan cincin yang hilang lebih 25 tahun lalu

Kakitangan pembinaan temukan cincin yang hilang lebih 25 tahun lalu


Graduan Virginia Tech teruja apabila menemui semula cincinnya yang hilang ketika bermain bola tampar di kawasan gelanggang universiti itu lebih 25 tahun yang lalu, lapor laman berita UPI pada 23 Mac 2023.


John Leschinskey, yang merupakan graduan sekolah Blacksburg pada 1997 berkata, dia menyedari tentang kehilangan cincinnya itu selepas bermain bola tampar di Eggleston Quad.


"Saya kerap bermain bola tampar di gelanggang pasir Owens. Saya meletakkan sandal, baju, jam tangan dan cincin saya di tepi tiang supaya saya boleh bermain. Apabila selesai, saya mengumpulkan barang-barang saya dan melihat cincin itu hilang," kata Leschinskey dalam catatan di laman web Virginia Tech.


Leschinskey berkata, dia dan rakan-rakannya sudah mencari di sekeliling kawasan gelanggang ketika itu namun gagal menjumpainya.


"Barang-barang saya ketika itu tidak kelihatan seperti dialihkan, jadi saya menganggap cincin saya sudah dicuri. Saya agak terkilan kerana baru sahaja mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli cincin dengan lambang kolej itu namun kehilangannya beberapa hari kemudian," katanya.


Jurucakap universiti itu berkata, kakitangan pembinaan sedang melakukan penambahbaikan saliran gelanggang bola tampar apabila salah seorang pekerja ternampak objek berkilat tertanam di kawasan berpasir itu.


"Ketika saya sedang menggali kawasan itu, saya terlihat objek seperti cincin. Kami menghentikan operasi untuk melihatnya dengan lebih dekat, dan ternyata benar apa yang kami jangkakan.


"Saya ingin memastikan cincin itu dikembalikan kepada pemiliknya. Terdapat nama John Leschinskey terukir di bahagian dalam, jadi saya mencari nama itu di media sosial," kata pekerja pembinaan, Pat Saylors.


Cincin itu akhirnya dikembalikan kepada Leschinskey yang kini tinggal di North Carolina dan dia mengakui berita penemuan semula cincinnya selepas bertahun lama hilang benar-benar mengejutkan.


"Saya hairan pada mulanya. Saya juga terkejut mendengar daripada mereka. Jarang sekali ada individu yang sanggup bersusah payah mencari pemilik kepada barang berharga yang dijumpai mereka.


"Apabila cincin itu tiba di depan rumah, saya melihatnya dan sukar untuk mempercayai ia akhirnya dikembalikan kepada saya dalam keadaan yang sangat baik. Sangat bersyukur melihat masih ada orang yang jujur dan baik di dunia ini," luah Leschinskey. - Sumber UPI.


Kakitangan pembinaan yang sedang melakukan penambahbaikan saliran gelanggang bola tampar di kampus Virginia Tech menemui cincin milik bekas pelajar yang telah hilang lebih daripada 25 tahun lalu. - Foto courtesy of Virginia Tech.
Bekas isteri minta digendong 100 kilometer syarat rujuk semula

Bekas isteri minta digendong 100 kilometer syarat rujuk semula


Menjaga perhubungan bukan mudah. Kadang-kadang kerana masalah yang mungkin timbul maka pasangan tersebut memilih untuk berpisah. Tetapi boleh jadi selepas itu seorang pasangan berasa menyesal dan memutuskan untuk berdamai.


Baru-baru ini sebuah klip video tular di media sosial China memaparkan seorang lelaki berjalan sambil menggendong seorang wanita di sebatang jalan.


Lelaki berbaju hitam itu kelihatan bertongkat. Dia menggendong seorang wanita yang memakai baju pengantin bewarna putih dan tiara di kepalanya.


Pasangan itu merupakan bekas suami isteri. Mereka sebelum ini memilih untuk bercerai akibat konflik yang timbul.


Selepas tiga tahun, lelaki itu sedar akan kesalahannya kerana wanita itu sentiasa melayaninya dengan baik. Dia kemudian meminta untuk bersama semula.


Bagaimanapun, wanita itu memberikan syarat kepadanya sebelum mereka boleh berkahwin semula.


Salah satu syarat tersebut adalah pada hari perkahwinan mereka, lelaki itu perlu membawa wanita tersebut pulang rumah ibu bapanya yang terletak sejauh 100 kilometer (km).


Ketika kejadian, lelaki yang dilihat keletihan itu terpaksa mengikat bekas isterinya menggunakan tali merah supaya tidak terjatuh.


Menurut wanita itu, tujuan dia membuat permintaan tersebut adalah supaya bekas suaminya sentiasa mengingati dan menghargai perkahwinan mereka.


Lelaki itu bernasib baik kerana apabila dia baru berjalan kira-kira 10 km, wanita itu meminta dia berhenti dan memaafkannya.


Selepas itu, pasangan tersebut pulang ke rumah wanita itu dan melangsungkan perkahwinan. - Sumber Wolipop.


Lelaki itu menggendong bekas isterinya pada hari perkahwinan mereka. - Foto eva.vn.

Jumaat, 31 Mac 2023

Saintis temui lohong hitam 33 bilion kali lebih besar daripada Matahari

Saintis temui lohong hitam 33 bilion kali lebih besar daripada Matahari


Sekumpulan ahli astronomi di Britain menemui sebuah lohong hitam bersaiz amat besar iaitu kira-kira 33 bilion kali jisim Matahari, lapor akhbar Metro UK pada 29 Mac 2023.


Kumpulan saintis daripada Universiti Durham itu berkata, lohong hitam gergasi tersebut adalah antara yang paling besar pernah ditemui.


"Lohong hitam yang saiznya kira-kira 30 bilion kali jisim Matahari ini adalah satu daripada lohong hitam terbesar yang pernah dikesan.


"Berdasarkan had maksimum mengenai seberapa besar saiz lohong hitam secara teori, penemuan ini adalah sesuatu yang amat menarik," kata pengarang utama kajian tersebut, Dr. James Nightingale.


Dalam kajian tersebut, saintis menggunakan fenomena dikenali sebagai kanta graviti, di mana mereka mendapatkan bantuan daripada galaksi berdekatan dengan menukarnya menjadi kanta pembesar gergasi.


Ia seterusnya mendedahkan kehadiran lohong hitam gergasi itu. Lohong hitam merujuk kepada zon di mana tarikan gravitinya amat kuat sehinggakan tiada cahaya yang dapat terlepas. - Sumber Metro UK.


Lohong hitam yang paling besar pernah ditemui. - Foto PA / Mirror UK.

Selasa, 28 Mac 2023

Saintis berjaya merungkai misteri aneh komet kecil menyerupai kapal angkasa alien

Saintis berjaya merungkai misteri aneh komet kecil menyerupai kapal angkasa alien


Pasukan saintis Amerika Syarikat (AS) berjaya merungkai misteri aneh di sebalik komet kecil menyerupai kapal angkasa alien yang ditemukan oleh ahli astronomi Maui enam tahun lalu.


Menurut lapor Mirror UK pada 25 Mac 2023, Komet diberi nama Oumuamua merupakan pelawat pertama yang diketahui dari luar sistem suria Bumi.


Tetapi tidak seperti asteroid atau komet lain, Oumuamua tidak mempunyai awan debu yang terang di belakangnya, memiliki bentuk yang sangat luar biasa menyerupai batang curut selain saiznya yang sangat kecil.


Oumuamua pertama kali ditemukan pada Oktober 2017 selepas dilihat bergerak menjauhi Matahari, menyebabkan saintis hairan hingga ada yang menyangkanya sebagai kapal angkasa makhluk asing.


Pensyarah Universiti Cornell, Darryl Seligman berkata, saintis tidak pernah melihat komet dalam sistem suria yang tidak mempunyai gas debu jadi pecutan bukan gravitinya benar-benar aneh.


"Dalam keadaan biasa, komet atau asteroid akan memancarkan ekor terang yang disebabkan oleh pemanasan air dan molekul lain apabila ia semakin dekat dengan Matahari.


"Gas yang dipaksa keluar dari komet juga mendorongnya ke hadapan, itulah sebabnya mereka kelihatan bergerak mengelilingi sistem suria.


"Tetapi Oumuamua terlalu kecil dan terlalu jauh dari Matahari untuk menangkap tenaga yang cukup untuk mengeluarkan gas," jelasnya.


Penolong Profesor Kimia Universiti California Berkeley, Jennifer Bergner berkata, sebuah komet yang bergerak melalui medium antara bintang pada dasarnya sedang 'dimasak' oleh sinaran kosmik, membentuk hidrogen sebagai hasilnya.


"Untuk komet yang melintasi beberapa kilometer, gas keluar adalah daripada cangkerang yang sangat nipis berbanding sebahagian besar objek, jadi kedua-dua komposisi dan dari segi apa-apa pecutan, kita tidak semestinya menjangkakan debu itu sebagai kesan yang boleh dilihat.


"Tetapi kerana Oumuamua sangat kecil, kami fikir ia sebenarnya menghasilkan daya yang mencukupi untuk menggerakkan pecutan ini," ujarnya. - Sumber Mirror UK.


BACA: Objek disangka komet rupanya teknologi makhluk asing pernah datang Bumi pada 2017.


Komet Oumuamua pertama kali ditemui pada Oktober 2017 oleh ahli astronomi di Maui. - Foto Mirror UK / nagualdesign.

Ahad, 26 Mac 2023

Kuda belang 'serang' jalan raya yang sibuk di Seoul

Kuda belang 'serang' jalan raya yang sibuk di Seoul


Seekor kuda belang mencetus kekecohan di kawasan jalan raya yang sibuk di Seoul, Korea Selatan, setelah haiwan itu terlepas dari kandang sebuah zoo di ibu negara.


Kuda belang jantan, bernama Sero itu dilaporkan meloloskan diri dari Zoo Kanak-Kanak Seoul pada petang Khamis lalu.


Menurut lapor BBC News pada 23 Mac 2023, Polis, pegawai bomba dan kakitangan zoo bertungkus-lumus selama lebih tiga jam untuk menangkap Sero dan menghantar semula kuda belang itu ke kandangnya dengan selamat.


Video tular yang disiarkan dalam talian menunjukkan haiwan itu berlari melepasi lalu lintas di jalan yang sibuk.



Sero juga dilihat berkeliaran dan menyelongkar tong sampah di kawasan perumahan berhampiran timur bandar itu.


Menurut Balai Bomba Gwangjin, kuda belang berusia hampir dua tahun itu dapat melarikan diri selepas memecahkan pagar kayu di sekeliling kandangnya.


Sero akhirnya ditangkap oleh pegawai menggunakan pagar keselamatan (jaring hijau) selepas haiwan itu memasuki lorong sempit.


Mamalia tersebut ditenangkan sebelum dibawa pulang ke zoo dengan menaiki sebuah trak. - Sumber BBC News.


Seekor kuda belang yang terlepas dari zoo berkeliaran di kawasan jalan raya di Seoul pada Khamis, 23 Mac 2023 akhirnya berjaya ditangkap. - Foto BBC News.

Sabtu, 25 Mac 2023

Rangka manusia tanpa identiti ditemukan berhampiran sungai di Paloh

Rangka manusia tanpa identiti ditemukan berhampiran sungai di Paloh


Satu rangka manusia tanpa pengenalan diri ditemui berhampiran sebatang sungai di Ladang Tereh di Paloh, Kluang oleh seorang lelaki yang sedang memancing, Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, penemuan rangka yang belum dapat dikenali pasti jantina dan usia itu dilaporkan kepada pihaknya kira-kira pukul 8.30 malam hari kejadian.


"Hasil siasatan awal mendapati mayat berada 6.1 meter dari tebing sungai dalam keadaan mengereng yang hanya tinggal tulang sahaja.


"Pemeriksaan telah dibuat oleh pasukan Forensik dan mendapati terdapat baju T berwarna biru dan baju sejuk berlengan panjang berdekatan rangka namun tiada sebarang dokumen peribadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut Bahrin lagi, mayat kemudian dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.


Ujarnya, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga dan mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan penemuan mayat itu boleh tampil untuk membuat pengecaman.


"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga hasil forensik diperolehi daripada pihak hospital," katanya.


Satu mayat yang hampir tinggal rangka ditemui di tepi sebatang sungai di Ladang Tereh di Paloh, Kluang, Khamis lalu.
Rumah urut, kelab malam, disko dilarang beroperasi sepanjang Ramadan

Rumah urut, kelab malam, disko dilarang beroperasi sepanjang Ramadan


Kelab malam dan pusat urut di Jakarta dilarang beroperasi sepanjang bulan Ramadan. Larangan itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan ibu kota berkenaan, lapor laman berita Detik News pada 24 Mac 2023.


Ketua Bahagian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Kerajaan Negeri, Andhika Permata berkata, beberapa jenis perniagaan dilarang beroperasi bermula sehari sebelum Ramadan sehingga hari pertama Aidilfitri.


"Antara perniagaan terbabit seperti kelab malam, disko, spa, rumah urut, pusat sukan, pusat permainan elektronik serta bar.


"Bagaimanapun, larangan dikecualikan bagi bar di hotel bertaraf empat bintang ke atas dan kawasan komersial serta tidak berdekatan dengan kawasan perumahan, rumah ibadat, sekolah atau hospital," katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Arahan itu dikeluarkan menerusi Surat Pekeliling Ketua Bahagian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Kerajaan Negeri pada 21 Mac lalu.


Menurut surat berkenaan, pengusaha diminta menjaga ketenteraman sepanjang Ramadan. Pengusaha perniagaan pelancongan juga diminta mengekalkan suasana tenteram sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri.


Bukan saja mengawal waktu operasi, surat pekeliling itu turut mengandungi peruntukan penganjuran perniagaan pelancongan. - Sumber Detik News.

Jumaat, 24 Mac 2023

Ramai teruja lihat planet Zuhrah dekat bulan boleh dilihat jelas

Ramai teruja lihat planet Zuhrah dekat bulan boleh dilihat jelas


Fenomena gelinciran planet Zuhrah dengan bulan di angkasa dapat disaksikan oleh orang ramai ketika ini.


Menerusi hantaran Persatuan Astronomi Pulau Pinang di Facebook, bulan dan Zuhrah akan menjadi sangat dekat antara satu sama lain selepas matahari terbenam.


Jelasnya, kebanyakan kawasan di Malaysia dapat melihat planet Zuhrah dengan sangat dekat dan terang bersamaan magnitud -4.0.



"Dalam astronomi, ia berlaku apabila dua objek astronomi kelihatan berdekatan antara satu sama lain di langit.


"Secara teknikal, kedua-dua objek akan mempunyai kenaikan kanan yang sama atau longitud ekliptik yang sama, seperti yang diperhatikan dari Bumi.


"Dari beberapa bahagian Malaysia seperti Utara, Zuhrah akan kelihatan pergi di belakang anggota gelap bulan sabit, dan kemudian muncul dari sisi yang terang," katanya.


Rektor Akademi Astronomi Malaysia, Akademi Falak Malaysia Shahrin Ahmad berkata, fenomena kegelinciran ini amat menarik untuk dicerap kerana ia dapat menunjukkan momen-momen cahaya daripada Zuhrah akan hilang, muncul dan pudar sedikit daripada kesan ia bergerak di celah-celah gunung dan lurah di ufuk permukaan bulan.



Katanya, bagi orang awam yang juga peminat gerhana matahari penuh, fenomena ini sama seperti terbentuknya kesan 'Baily's Beads'.


Menurutnya, waktu bermula dan berakhirnya penghijaban ini berbeza daripada satu lokasi ke lokasi lain.


Beliau berkata, kali terakhir fenomena ini berlaku di negara ini pada 27 Mei tahun lalu.


"Namun, ia berlaku pada waktu siang dan tidak ramai dapat menyaksikan sendiri berbanding fenomena kali ini apabila ia boleh dilihat dengan mata kasar ketika ini.


"Sebelum itu, fenomena sama berlaku pada 18 September 2017 dan ia turut boleh dilihat dengan mata kasar seperti fenomena pada malam ini yang kita sedang lihat," katanya.


Fenomena gelinciran bulan dan Planet Zuhrah yang berlaku malam ini (24 Mac 2023). - Foto Kosmo Online.

Fenomena gelinciran bulan dan planet Zuhrah. - Foto Ihsan Media Sosial.
Pemilik kafe dirotan 30 kali kerana sedia tempat pasangan berasmara

Pemilik kafe dirotan 30 kali kerana sedia tempat pasangan berasmara


Seorang pemilik kafe dihukum rotan sebanyak 30 kali kerana menyediakan tempat untuk pasangan belia melakukan perbuatan tidak senonoh, lapor portal berita Tribun Medan pada 16 Mac 2023.


Majlis Hakim Mahkamah Syariah Tapaktuan menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang pemilik kafe berinisial RD, 53, kerana menyediakan tempat untuk pasangan muda-mudi bermesraan hingga melakukan hubungan yang hanya dilakukan oleh suami isteri di kafe miliknya di Ujung Tanah, Samadua, Aceh Selatan.


Ketua Hakim, Ervy Sukmarwati menyatakan tertuduh, RD terbukti menyediakan kemudahan untuk golongan belia melakukan perbuatan tersebut dan hukuman terhadapnya dijatuhkan pada Rabu, 15 Mac 2023.


Dia didapati bersalah melakukan perbuatan itu pada 5 November 2022 pada waktu malam dan pihak berkuasa agama menemui pasangan yang sedang bermesraan di kafe miliknya.


Pihak berkuasa juga menemui kondom di sekitar warung tersebut. RD kemudian mengaku kafe miliknya terdapat beberapa pondok kecil berukuran 1 meter yang ditutupi kain dan tanpa lampu dan dia menyesal di atas perbuatannya.


Kedua pasangan yang dikenali Rio Taupik Saldi, 26, dan teman wanitanya, Beria Putri Ghifari, 24, turut dikenakan hukuman dirotan.


Keputusan itu dibacakan oleh Panel Hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Muhammad Lukman Hakim SAg pada hari Selasa, 14 Mac 2023.


"Gugurkan 'Uqubat Ta'zir kepada Tertuduh dengan Uqubat rotan di khalayak ramai masing-masing sebanyak 25 kali," kata hakim dalam keputusan itu. - Sumber Tribun Medan.


Gambar fail menunjukkan anggota polis melakukan pemeriksaan di sebuah warung di kawasan Desa Gybubg Kerambil, Aceh Selatan. - Foto Tribun Medan.