Jumaat, 19 November 2021

Pencuri Licik Curi Sembilan Lembu Sudah Ditambat, Petani Kerugian RM30,000

Pencuri Licik Curi Sembilan Lembu Sudah Ditambat, Petani Kerugian RM30,000


Seorang petani kerugian RM30,000 selepas sembilan lembu miliknya disyaki dicuri dalam kejadian di Kampung Tendong, Pasir Mas, lapor laman berita Harian Metro, hari ini.


Kejadian itu disedari penduduk kampung yang melihat sebuah lori dan sebuah pikap Toyota Hilux yang mencurigakan keluar dari lokasi berkenaan pada jam 3.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ketika mangsa berusia 62 tahun itu mahu melihat haiwan ternakannya, dia mendapati lembu ditambat telah hilang.


Beliau berkata, padang itu terletak kira-kira 300 meter dari rumah mangsa dan lelaki itu memaklumkan dia menambat lembu pada 7 malam tadi.


"Mangsa mendapati semua tali digunakan untuk menambat lembu dipotong orang yang tidak dikenali. Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis hari ini kerana mengesyaki sembilan lembu termasuk tujuh lembu betina miliknya bernilai RM30,000 dicuri.


"Hasil siasatan awal, mangsa memberitahu orang kampung sekitar itu melihat sebuah lori dan sebuah Toyota Hilux keluar dari kawasan jalan berkenaan pada 3.30 pagi, namun nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, tiada pagar keselamatan dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tempat kejadian. Polis kini sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


Seorang petani kerugian RM30,000 selepas sembilan lembunya disyaki dicuri di Kampung Tendong, awal pagi hari ini. - Foto hiasan.

Khamis, 18 November 2021

Asteroid Bersaiz 190 Meter Hentam Orbit Bumi Hujung Minggu Ini

Asteroid Bersaiz 190 Meter Hentam Orbit Bumi Hujung Minggu Ini


Sebelum ini, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) telah memberi amaran bahawa asteroid besar akan menghentam Bumi pada bila-bila masa. Agensi itu juga menyeru supaya kajian global tentang ancaman asteroid terhadap planet Bumi dilakukan.


Pentadbir NASA Jim Bridenstine percaya, asteroid prospek akan memusnahkan kehidupan manusia dengan menghentam Bumi bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh, atau dilihat sebagai adegan sains fiksyen seperti dalam filem Hollywood.


Memetik laporan akhbar Daily Star pada 16 November 2021 lalu, agensi itu baru-baru ini mendedahkan bahawa sebuah asteroid bersaiz lebih besar daripada London Eye diramal menghentam orbit Bumi pada hujung minggu ini.


Asteroid dinamakan sebagai 2016 JG12 itu pertama kali dikesan pada 3 Mei 2016. Ia kini berada pada jarak hanya 5.98 juta kilometer dari Bumi dan berdiameter kira-kira 190 meter. Bila diukur dengan jarak cahaya, asteroid itu hanya 19 saat dari Bumi.


Meskipun asteroid tersebut akan mengambil masa sedikit lama untuk tiba di orbit Bumi, ahli-ahli astronomi akan memantau rapat pergerakannya kerana jaraknya dianggap tidak begitu jauh.


Sekiranya pergerakannya kekal berada pada trajektori yang sama dan sekadar melintasi Bumi berbanding menghentam planet ini, asteroid tersebut boleh dilihat sekitar pukul 12.23 tengah malam (waktu tempatan), Sabtu ini.


Menurut the-sky.org, asteroid itu akan bergerak pada kelajuan 7 kilometer sesaat pada jarak 5.52 juta kilometer di Bumi. Bagaimanapun, saintis belum dapat mengenal pasti lokasi ia boleh dilihat.


Jika asteroid itu menghentam Bumi, mungkin kesannya sebesar ini. - Foto Getty Images.
Isteri Bakal Dipenjara Selama Setahun Kerana Marah Suami Pulang Dalam Keadaan Mabuk

Isteri Bakal Dipenjara Selama Setahun Kerana Marah Suami Pulang Dalam Keadaan Mabuk


Gara-gara memarahi suaminya kerana sering mabuk, seorang wanita di Indonesia berdepan dengan hukuman penjara selama setahun selepas didakwa melakukan keganasan rumah tangga, lapor Tribun Jabar pada 11 November 2021.


Keganasan yang dilakukan wanita berusia 45 tahun ini berpunca selepas sering memarahi suaminya yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Berikutan daripada insiden terbabit, ibu kepada dua anak itu telah dihadapkan ke mahkamah.


Dalam sesi perbicaraan di mahkamah di Karawang, Jawa Barat, wanita itu memberitahu hakim, fakta yang dikemukakan oleh peguam bela suaminya tidak tepat dan dia berasa keberatan untuk dipenjara hanya kerana memarahi suaminya pulang dalam keadaan mabuk.


"Barisan juri menuntut saya dihukum penjara selama setahun. Adakah seorang isteri tidak boleh menegur suami yang sering mabuk? Adakah isteri perlu menyambut kepulangan suami yang mabuk dengan penuh mesra dan senyuman?," soal wanita itu.


Peguam yang mewakili tertuduh iaitu Iwan Kurniawan menganggap tuduhan terhadap anak guamnnya terlalu berat. Jelasnya lagi, pihak mereka akan membuat pembelaan di mahkamah pada minggu hadapan.


Barisan juri sebelum ini menuntut wanita itu dipenjara selama setahun selepas mendapati dia melanggar Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2004 mengenai Penghapusan Keganasan Rumah Tangga terhadap suaminya yang berasal dari Taiwan.


Wakil juri, Glendy Rivano berkata, wanita tersebut sering memarahi suaminya menggunakan kata-kata kesat sehingga menyebabkan psikologi lelaki itu terganggu.


Kes itu dibawa ke mahkamah selepas wanita itu membuat laporan polis pada September tahun lalu, mendakwa suaminya mengabaikan dia serta anak-anak kerana sering mabuk.


Bagaimanpun, bekas suami wanita itu turut membuat laporan berhubung keganasan rumah tangga selepas dia didapati mengalami tekanan mental selain dibuang kerja.


Wanita yang dikenali sebagai V bakal dipenjara setahun kerana memarahi suaminya sering mabuk.

Rabu, 17 November 2021

Kerbau Enggan Hasilkan Susu, Lelaki Bawa Ke Balai Polis Meminta Bantuan

Kerbau Enggan Hasilkan Susu, Lelaki Bawa Ke Balai Polis Meminta Bantuan


Seorang lelaki di Madhya Pradesh, India, membawa kerbau peliharaannya ke sebuah balai polis kerana haiwan itu enggan menghasilkan susu, lapor laman berita Free Press Journal pada 14 November 2021 lalu.


Babulal Jatav, membawa haiwan ternakan itu ke balai polis Nayagaon yang terletak di daerah Bhind. Dia merayu bantuan dari pihak polis kerana kerbau tersebut tidak menghasilkan susu sejak dibelinya.


"Babulal mengadu kepada pegawai bertugas bahawa kerbau peliharaannya tidak menghasilkan susu. Justeru, dia meminta bantuan polis untuk menyelesaikan masalah tersebut," jelas laporan itu.


Media tempatan melaporkan, Babulal yang berasal dari kampung Nayagaon pada mulanya mengemukakan aduan bertulis mengenai masalah dialaminya di balai polis tersebut.


Babulal kemudian kembali semula ke balai polis tersebut dengan membawa kerbau peliharaan bersamanya, dan meminta bantuan untuk memerah susu haiwan itu.


Rakaman video mengenai insiden itu menjadi tular dalam laman media sosial. Kisah itu menarik perhatian rata-rata warganet yang terhibur dengan video berkenaan.


Sementara itu, Timbalan Penguasa Polis, Arvind Shah berkata, lelaki itu berasa kecewa dengan kerbau peliharaan yang baharu dibelinya.


"Memandangkan haiwan itu tidak menghasilkan susu, seorang penduduk dari kampung itu menasihatinya untuk meminta bantuan polis. Kami akan membantu lelaki itu dalam apa jua cara kerana dia datang dengan mengharapkan bantuan," katanya.


Babulal Jatav bersama kerbaunya tiba di balai polis. Foto Tushar_kn.
Kala Jengking 'Mengganas' Di Mesir, 3 Maut Dan Ratusan Individu Cedera Diserang

Kala Jengking 'Mengganas' Di Mesir, 3 Maut Dan Ratusan Individu Cedera Diserang


KAHERAH - Tiga orang terbunuh dan ratusan lagi cedera di bandar selatan Aswan, Mesir, apabila kala jengking yang memenuhi jalan dan rumah akibat dibawa ribut kencang menyengat mereka, lapor BBC News, kelmarin.


Menurut seorang pegawai kementerian kesihatan, kira-kira 450 individu cedera akibat disengat kala jengking dalam kejadian itu. Serangan itu terjadi susulan hujan batu dan ribut petir di kawasan berhampiran Sungai Nil agak teruk pada 12 November 2021 lalu.


Ia menyebabkan kala jengking dihanyutkan ke jalanan oleh hujan lebat. Susulan itu, pegawai kesihatan agensi berita Al-Ahram memaklumkan dos tambahan antivenom dibekalkan di pusat perubatan dekat kampung berhampiran pergunungan dan padang pasir.


Sementara itu, doktor tidak lagi dibenarkan memberi vaksin untuk merawat sengatan kala jengking, tambah pegawai itu. Orang ramai digesa tinggal di rumah dan mengelakkan tempat yang mempunyai banyak pokok.


Mesir adalah habitat kepada kala jengking ekor gemuk iaitu antara spesies paling berbahaya di dunia. Racun daripada ekornya boleh membunuh manusia dalam masa kurang daripada satu jam.


Gejala yang berkaitan dengan kesan racun itu adalah kesukaran bernafas, otot berkedut dan pergerakan kepala yang luar biasa.


Antivenom digunakan sebagai langkah pencegahan sebelum gejala timbul, tetapi hanya berfungsi apabila gejala mula bertambah buruk.

Selasa, 16 November 2021

Ahli Arkeologi Jumpa Katil Zaman Purba Yang 'Unik' Boleh Dilaras Di Pompeii

Ahli Arkeologi Jumpa Katil Zaman Purba Yang 'Unik' Boleh Dilaras Di Pompeii


Sekumpulan ahli arkeologi yang menggali sebuah vila di tengah-tengah runtuhan letusan gunung berapi 79 Masihi, yang memusnahkan bandar purba itu telah menemukan sebuah bilik sempit di bandar Pompeii, Itali, lapor The Telegraph pada 6 November 2021.


Proses penggalian vila yang ditimbus lahar letusan gunung berapi bersejarah itu menemukan sebuah asrama dan bilik simpanan sempit berserta katil kayu 'unik' yang boleh dilaras.


The Telegraph menyamakan penemuan purba itu sebagai 'model Ikea untuk dunia purba' kerana papan kayu boleh laras yang boleh diubah bergantung kepada saiz individu yang tidur di atas katil.


Katil itu mempunyai ukuran hampir 1.8 meter dan 1.2 meter sekali gus menunjukkan rumah itu didiami oleh sebuah keluarga dengan seorang kanak-kanak.


Menteri Kebudayaan Itali, Dario Franceschini berkata, penemuan itu adalah penting bagi meningkatkan pengetahuan tentang kehidupan seharian penduduk Pompeii.



Bilik itu ditemukan di sebuah vila di pinggir bandar Pompeii di Civita Giuliana yang hanya beberapa langkah dari tempat ahli arkeologi menemukan kereta mayat yang masih terpelihara.


Ruang itu hanya mempunyai sebuah tingkap tinggi dan tidak mempunyai sebarang perhiasan dinding serta mengandungi tiga katil yang diperbuat daripada kayu.


Pengarah Tapak Arkeologi Pompeii, Gabriel Zuchtriegel berkata, penemuan berkenaan memberi bayangan golongan hamba yang bekerja di kawasan itu tidur di bilik tersebut pada waktu malam.


Ahli arkeologi juga telah menemui sisa rangka milik dua orang lelaki, dipercayai seorang hamba dan tuannya, yang terkorban akibat terkena abu gunung berapi ketika cuba menyelamatkan diri.


Penemuan tiga katil di sebuah vila di bandar Civita Giuliana, Pompeii. - Foto AF.

Penemuan tiga katil di sebuah vila di bandar Civita Giuliana, Pompeii. - Foto AF.

Isnin, 15 November 2021

Orang Ramai Dikejutkan Kehadiran Tetamu 'Syaitan' Datang Majlis Kahwin

Orang Ramai Dikejutkan Kehadiran Tetamu 'Syaitan' Datang Majlis Kahwin


Sebuah video memaparkan tetamu-tetamu berpakaian kostum seperti seekor makhluk yang hodoh dan ganas, di sebuah majlis perkahwinan dipercayai berlaku di Indonesia telah tular di media sosial baru-baru ini.


Menerusi perkongsian oleh @Sanggarriasmehrunisa di laman aplikasi TikTok pada 11 November 2021, kelihatan lebih daripada 10 tetamu mengenakan kostum seperti itu sambil mengiringi pengantin lelaki masuk ke dalam majlis.


Berdasarkan video berdurasi dua minit 20 saat di TikTok itu, dapat dilihat orang ramai yang hadir ke majlis itu turut terkejut dan ada juga mengambil peluang bergambar bersama 'makhluk' tersebut.


Ketika kejadian, kelihatan salah seorang dari mereka memegang replika seperti kepala bintang dan menghidupkan suar berwarna kuning sebelum pengantin berarak memasuki dewan.



Sehingga kini, perkongsian tersebut meraih lebih 23,200 tontonan dan 1,509 tanda suka di akaun TikTok. Orang ramai turut memberikan pelbagai reaksi dan ada juga berasa seram dengan kostum dipamerkan oleh tetamu yang hadir ke majlis tersebut.


"Ini baru dinamakan 'wedding of the year' bukan manusia sahaja yang datang majlis tapi dengan jin-jin sekali hadir bagi memeriahkan majlis buat pengantin," tulis seorang netizen.


"Tema yang sangat kreatif, ini kalau jumpa tengah-tengah malam memang aku 'taekwando' kan sahaja benda ini, dengan lidah terjlir macam itu siapa tak seram kalau jumpa tengah malam, tapi apa-apa pun kostum itu terbaik," kata seorang lagi netizen.


Tangkap layar video memaparkan tetamu-tetamu berpakaian seperti seekor makhluk yang hodoh di sebuah majlis perkahwinan dipercayai berlaku di Indonesia.
Suami Masih Tersenyum Ketika Ditangkap Isterinya Curang Dengan Wanita Lain

Suami Masih Tersenyum Ketika Ditangkap Isterinya Curang Dengan Wanita Lain


JAKARTA - Sebuah video yang memaparkan aksi seorang wanita menangkap suaminya sedang menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain menjadi tular di media sosial, lapor laman berita Suara.com pada 13 November 2021.


Dalam video yang dimuat naik di akaun TikTok bernama @alestiani97 pada 12 November itu, kelihatan seorang isteri menangis histeria selepas menangkap suaminya dengan wanita lain.


Perkara yang lebih menyakitkan hati si isteri ialah sikap suaminya yang bersahaja dan masih boleh tersenyum di hadapannya.


"Tak ada perasaan dan masih boleh tersenyum seperti itu. Anak saya sakit di rumah, adakah awak tahu?" kata wanita itu dalam video yang dimuat naik.


Wanita itu kemudiannya memberitahu perempuan simpanan suaminya bahawa suatu hari nanti, dia akan diberi balasan setimpal kerana menyakiti hatinya dan anak-anaknya.


"Suatu hari nanti, awak mempunyai anak dan awak akan mendapat karma. Anak saya yang berumur tiga tahun belum pun masuk ke sekolah. Bapa jenis apa yang tiada belas kasihan kepada anak-anaknya?" katanya.


Melihat video tersebut, netizen kemudiannya menulis pelbagai komen. Rata-rata mereka meluahkan rasa marah dengan suami wanita itu yang masih mampu tersenyum di hadapan isterinya.


"Masih boleh tersenyum melihat penderitaan isteri," komen seorang netizen. "Air mata awak terlalu mahal untuk menangis buat lelaki seperti itu," kata seorang lagi.


Lelaki itu masih boleh tersenyum ketika ditangkap oleh isterinya dengan wanita lain. - Foto Merdeka.com.

Ahad, 14 November 2021

Masuk Hutan Simpan Tanpa Permit Sah, 50 Pendaki Ditahan

Masuk Hutan Simpan Tanpa Permit Sah, 50 Pendaki Ditahan


HULU SELANGOR - Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menahan seramai 50 individu kerana melakukan aktiviti pendakian tanpa permit sah di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Semangko di sini, semalam.


Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, kesemua pendaki berusia 21 hingga 50 tahun itu dikesan menerusi operasi khas penguatkuasaan JPNS bermula kira-kira pukul 8 pagi.


Katanya, operasi di laluan pendakian Gunung Gap HSK itu dijalankan hasil maklumat awam mengenai aktiviti pendakian besar-besaran yang dianjurkan individu persendirian tanpa pengetahuan pihaknya.


"Semakan dibuat ke atas semua pendaki berdasarkan data permit sah yang diperoleh daripada PHDHS. Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 50 individu atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit sah," katanya.


Jelas Ahmah Fadzil, operasi itu disertai sepasukan 19 pegawai Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor (PHDHS) dan dua anggota polis dari Balai Polis Kuala Kubu Bharu.


Operasi ini berakhir pada jam 6 petang dan semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut. Semua ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.


"Kesalahan memasuki HSK tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Antara pendaki yang ditahan oleh pegawai PHDHS di HSK Semangko, Hulu Selangor semalam (Sabtu).
Seorang Lelaki Sindiket Pelaburan Tidak Wujud Cuba Sogok Polis RM200,000 Ditahan

Seorang Lelaki Sindiket Pelaburan Tidak Wujud Cuba Sogok Polis RM200,000 Ditahan


SEREMBAN - Cubaan seorang lelaki menyogok anggota polis dengan wang tunai berjumlah RM200,000, sebagai dorongan untuk melepaskan lima orang rakan sindiket pelaburan tidak wujud gagal selepas dia turut ditahan.


Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, lelaki warga tempatan berusia 30an itu ditahan di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai dekat sini awal pagi tadi.


Katanya, tujuan lelaki itu menyogok anggota polis supaya tidak mengambil tindakan kepada anggota sindiket yang ditangkap dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Nilai sebelum ini.


"Pihak polis telah merampas wang tunai itu bersama dua buah telefon bimbit bersama lelaki itu," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini, hari ini.


Tambahnya, lima anggota sindiket yang terdiri daripada tiga orang lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 21 dan 24 tahun ditahan oleh anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Nilai, malam tadi.


Jelas Mohamad, modus operandi sindiket tersebut adalah menyasarkan warganegara Malaysia sebagai mangsa dengan menawarkan skim pelaburan tidak wujud di Facebook.


"Sindiket akan berhubung dengan mangsa hanya melalui aplikasi WhatsApp serta menggunakan pelbagai akaun bank dalam menjalankan aktiviti penipuan itu," katanya.


Jelasnya, turut dirampas dalam serbuan itu ialah 15 buah telefon bimbit, dua buah computer riba dan wang tunai berjumlah RM2,473. Kesemua yang ditahan direman selama dua hari bermula hari ini.


"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang satu tahun atau tidak melebihi 10 tahun atau denda atau kedua-duanya," jelasnya.


Mohamad Mat Yusop (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan pihak polis susulan penahanan enam orang berkaitan pelaburan tidak wujud dalam sidang akhbar di IPD Nilai, Seremban hari ini. - Foto Afifi Hafiz Mohd.