Ahad, 14 November 2021

Masuk Hutan Simpan Tanpa Permit Sah, 50 Pendaki Ditahan


HULU SELANGOR - Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menahan seramai 50 individu kerana melakukan aktiviti pendakian tanpa permit sah di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Semangko di sini, semalam.


Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, kesemua pendaki berusia 21 hingga 50 tahun itu dikesan menerusi operasi khas penguatkuasaan JPNS bermula kira-kira pukul 8 pagi.


Katanya, operasi di laluan pendakian Gunung Gap HSK itu dijalankan hasil maklumat awam mengenai aktiviti pendakian besar-besaran yang dianjurkan individu persendirian tanpa pengetahuan pihaknya.


"Semakan dibuat ke atas semua pendaki berdasarkan data permit sah yang diperoleh daripada PHDHS. Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 50 individu atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit sah," katanya.


Jelas Ahmah Fadzil, operasi itu disertai sepasukan 19 pegawai Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor (PHDHS) dan dua anggota polis dari Balai Polis Kuala Kubu Bharu.


Operasi ini berakhir pada jam 6 petang dan semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut. Semua ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.


"Kesalahan memasuki HSK tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Antara pendaki yang ditahan oleh pegawai PHDHS di HSK Semangko, Hulu Selangor semalam (Sabtu).


EmoticonEmoticon