Ahad, 14 November 2021

Seorang Lelaki Sindiket Pelaburan Tidak Wujud Cuba Sogok Polis RM200,000 Ditahan


SEREMBAN - Cubaan seorang lelaki menyogok anggota polis dengan wang tunai berjumlah RM200,000, sebagai dorongan untuk melepaskan lima orang rakan sindiket pelaburan tidak wujud gagal selepas dia turut ditahan.


Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, lelaki warga tempatan berusia 30an itu ditahan di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai dekat sini awal pagi tadi.


Katanya, tujuan lelaki itu menyogok anggota polis supaya tidak mengambil tindakan kepada anggota sindiket yang ditangkap dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Nilai sebelum ini.


"Pihak polis telah merampas wang tunai itu bersama dua buah telefon bimbit bersama lelaki itu," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini, hari ini.


Tambahnya, lima anggota sindiket yang terdiri daripada tiga orang lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 21 dan 24 tahun ditahan oleh anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Nilai, malam tadi.


Jelas Mohamad, modus operandi sindiket tersebut adalah menyasarkan warganegara Malaysia sebagai mangsa dengan menawarkan skim pelaburan tidak wujud di Facebook.


"Sindiket akan berhubung dengan mangsa hanya melalui aplikasi WhatsApp serta menggunakan pelbagai akaun bank dalam menjalankan aktiviti penipuan itu," katanya.


Jelasnya, turut dirampas dalam serbuan itu ialah 15 buah telefon bimbit, dua buah computer riba dan wang tunai berjumlah RM2,473. Kesemua yang ditahan direman selama dua hari bermula hari ini.


"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang satu tahun atau tidak melebihi 10 tahun atau denda atau kedua-duanya," jelasnya.


Mohamad Mat Yusop (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan pihak polis susulan penahanan enam orang berkaitan pelaburan tidak wujud dalam sidang akhbar di IPD Nilai, Seremban hari ini. - Foto Afifi Hafiz Mohd.


EmoticonEmoticon