Jumaat, 19 November 2021

Pencuri Licik Curi Sembilan Lembu Sudah Ditambat, Petani Kerugian RM30,000


Seorang petani kerugian RM30,000 selepas sembilan lembu miliknya disyaki dicuri dalam kejadian di Kampung Tendong, Pasir Mas, lapor laman berita Harian Metro, hari ini.


Kejadian itu disedari penduduk kampung yang melihat sebuah lori dan sebuah pikap Toyota Hilux yang mencurigakan keluar dari lokasi berkenaan pada jam 3.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ketika mangsa berusia 62 tahun itu mahu melihat haiwan ternakannya, dia mendapati lembu ditambat telah hilang.


Beliau berkata, padang itu terletak kira-kira 300 meter dari rumah mangsa dan lelaki itu memaklumkan dia menambat lembu pada 7 malam tadi.


"Mangsa mendapati semua tali digunakan untuk menambat lembu dipotong orang yang tidak dikenali. Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis hari ini kerana mengesyaki sembilan lembu termasuk tujuh lembu betina miliknya bernilai RM30,000 dicuri.


"Hasil siasatan awal, mangsa memberitahu orang kampung sekitar itu melihat sebuah lori dan sebuah Toyota Hilux keluar dari kawasan jalan berkenaan pada 3.30 pagi, namun nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, tiada pagar keselamatan dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tempat kejadian. Polis kini sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


Seorang petani kerugian RM30,000 selepas sembilan lembunya disyaki dicuri di Kampung Tendong, awal pagi hari ini. - Foto hiasan.


EmoticonEmoticon