Khamis, 25 April 2024

Orang ramai terkejut langit di Greece bertukar jingga seperti berada di planet Marikh


Jerebu berwarna jingga yang terbentuk akibat pergerakan debu dari Gurun Sahara menyelubungi beberapa kawasan di Greece terutamanya bandar ibu kota, Athens pada Selasa lalu, lapor stesen penyiaran CNN pada 24 April 2024.


Ia mendorong pihak berkuasa negara berkenaan mengeluarkan amaran kesihatan, manakala fenomena itu mewujudkan pemandangan luar biasa.


Perkhidmatan meteorologi Greece berkata, keadaan cuaca itu berpunca daripada pergerakan debu dari Afrika. Ia menyebabkan peningkatan pengumpulan debu di atmosfera terutamanya di selatan Greece.


"Ia adalah salah satu episod kepekatan debu dan pasir yang paling serius dari Gurun Sahara sejak 21 hingga 22 Mac 2018, apabila ia melanda Pulau Crete khususnya," kata Pengarah Penyelidikan Cuaca Balai Cerap Athens, Kostas Lagouvardos kepada agensi berita AFP.


Bagaimanapun, debu itu diramal beransur-ansur berkurangan di kawasan tersebut sebelum bergerak ke bahagian timur negara berkenaan.


Video dan imej yang dikongsikan secara online menunjukkan orang ramai di Athens menyaksikan jerebu berwarna jingga oren dari bukit berhampiran ibu kota Greece itu.


Seorang pengguna media sosial menulis, debu jingga terang telah menjadikan Athens kelihatan seperti planet Marikh.


Dalam pada itu, negara di Mediterranean timur, Cyprus turut terjejas oleh fenomena serupa.


Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), sistem tekanan rendah di utara Afrika membawa debu itu ke Cyprus beberapa kali pada pertengahan bulan ini sekali gus mengurangkan kualiti udara. - Sumber CNN.


Awan debu dari Gurun Sahara di Afrika meliputi Acropolis pada 23 April 2024 di Athens. - Foto Milos Bicanski/Getty Images.

Orang ramai berkumpul di luar ketika debu menutupi Athens, pada 23 April 2024. - Foto George Vitsaras/EPA-EFE/Shutterstock.

Seorang lelaki sedang menuruni bukit di ibu kota Greece. - Foto Louisa Gouliamaki/Reuters.


EmoticonEmoticon