Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera di kepala dan leher selepas diserang sekumpulan anjing liar ketika bermain pasir di Pantai Kuala Kemasin, Bachok pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Azuar Firdaus Zuraiman mengalami beberapa luka gigitan termasuk kesan taring yang menembusi kulit di bahagian kepala dan leher.
Bapanya, Zuraiman Mahmod, 47, berkata, ketika kejadian dia sedang berniaga di kedai makan keluarga yang terletak berhampiran pantai sebelum terdengar bunyi bising dan orang ramai memanggilnya dalam keadaan cemas.
Menurutnya, dia kemudian melihat seorang pekerja buruh di resort berdekatan membawa anaknya dalam keadaan berlumuran darah.
"Anak saya sebelum itu pergi bermain di kawasan berdekatan pantai bersama lima saudaranya yang sebaya pada jam 9 pagi.
"Ketika sedang bermain pasir, tiba-tiba kira-kira lima ekor anjing datang berlari ke arah mereka dan mereka terkejut lalu melarikan diri," katanya hari ini.
Zuraiman berkata, anaknya bagaimanapun terjatuh sebelum diserang dan digigit beberapa ekor anjing berkenaan manakala saudaranya yang lain terselamat.
"Dalam keadaan bergelut, anak saya sempat bangun dan menendang anjing serta lari ke arah pantai untuk selamatkan diri.
"Bagaimanapun, anjing terus mengejarnya sehingga ke pantai dan air cecah paras leher anak saya barulah anjing berhenti menyerang," katanya.
Dia berkata, seorang pekerja buruh warga asing yang menyedari kejadian berlari membantu menghalau anjing terbabit dan membawa mangsa keluar dari kawasan air sebelum membawa mangsa ke kedai makan Zuraiman.
Zuraiman kemudian bergegas membawa anaknya itu ke Klinik Kesihatan Balai sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, untuk rawatan lanjut.
Anak saya baru selesai menjalani pembedahan untuk mencuci luka dan menjahit bahagian yang berlubang akibat gigitan anjing.
"Dua kesan taring terdapat di bahagian leher, manakala dua lagi di kepala. Keadaannya masih dirawat dan di wad dan memerlukan pemantauan doktor," katanya.
Zuraiman yang mempunyai sembilan orang anak berkata, Azuar merupakan anak kelapan dan kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana kumpulan anjing liar berkenaan sudah lama berkeliaran di kawasan pantai tersebut.
"Anjing-anjing itu memang sudah lama ada di kawasan pantai dan sering dilihat berkeliaran berhampiran tong sampah.
"Saya ada aduan sebelum ini, malah pernah ada usaha memasang perangkap, tetapi masalah itu hanya selesai seketika," katanya.
Dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah berkenaan sebelum kejadian lebih buruk berlaku.
"Saya tidak mahu perkara seperti ini berulang kepada kanak-kanak lain dan ada yang kehilangan nyawa baru tindakan diambil," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
"Kami menerima laporan daripada seorang pekerja resort berhampiran berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut diteruskan pihak polis," katanya.

EmoticonEmoticon