Jumaat, 26 April 2024

Polis tahan guru disyaki liwat tiga pelajar tahfiz


Tiga pelajar tahfiz dipercayai menjadi mangsa seks luar tabii apabila didakwa diliwat seorang guru agama dari pusat tahfiz di Machang sejak dua tahun lalu.


Ketiga-tiga mangsa lelaki yang berusia 12 hingga 13 tahun itu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Machang pada 15 April lalu.


Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada ketiga-tiga pelajar berkenaan pada jam 12.56 tengah malam.


"Kejadian melibatkan tiga pelajar tahfiz dan polis Machang menerima tiga laporan berkaitan kes.


"Kejadian didakwa berlaku sejak dua tahun yang lalu dan kesemua mangsa ini mendakwa diliwat oleh ustaz di pusat tahfiz berkenaan," katanya dalam satu kenyataan akhbar, di Kota Bharu, hari ini.


Beliau berkata, susulan laporan itu, guru berusia 39 tahun terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.


Menurut Ahmad Shafiki, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat.


"Suspek ditahan selama seminggu bermula 16 sehingga 22 April dan disambung reman pada 23 hingga 29 April ini," katanya. - Sumber Sinar Harian.


EmoticonEmoticon