Sabtu, 19 September 2026

Tiga etnik Rohingya, majikan direman bantu siasatan kes bunuh

Tiga etnik Rohingya, majikan direman bantu siasatan kes bunuh


Tiga buruh etnik Rohingya serta seorang majikan warga tempatan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh di hadapan Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kujid, Kota Bharu, malam tadi.


Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 25 hingga 40 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Tuan Fakhrul Razzi Abd Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.


Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK). Keempat-empat suspek tiba di Mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi.


Polis berjaya menahan empat individu terbabit susulan kematian seorang lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun di sebuah rumah kongsi di hadapan Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kujid itu.


Siasatan awal polis mendedahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di leher selepas dipercayai dibunuh menggunakan objek tajam pada 10.30 malam.


Dua suspek iaitu majikan dan seorang lelaki etnik Rohingya ditahan di lokasi kejadian, manakala seorang wanita etnik Rohingya dan seorang lagi lelaki etnik Rohingya ditahan di Selising, Pasir Puteh.

Tiga remaja maut, sembilan cedera nahas libatkan 12 motosikal dan 3 kereta di Ipoh

Tiga remaja maut, sembilan cedera nahas libatkan 12 motosikal dan 3 kereta di Ipoh


Tiga remaja lelaki maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, Ipoh awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 pagi itu, dua mangsa masing-masing berusia 19 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam sebelum anggota polis dikejarkan ke lokasi.


"Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah Meru Raya menghala ke Tambun sebelum terlibat dalam kemalangan.


"Seramai sembilan penunggang motosikal lain berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun mengalami kecederaan yang belum dikenal pasti dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.



Muhammad Najib berkata, seorang lagi mangsa lelaki berusia 19 tahun yang menerima rawatan kemudiannya disahkan meninggal dunia di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB.


"Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia seramai tiga orang, manakala sembilan penunggang motosikal yang lain mengalami kecederaan.


"Ketiga-tiga pemandu kereta yang terlibat pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.


"Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengawal kelajuan kenderaan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya," katanya.

Sembilan anggota polis bebas daripada tuduhan rasuah

Sembilan anggota polis bebas daripada tuduhan rasuah


Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, semalam melepas dan membebaskan sembilan anggota polis daripada pertuduhan menerima rasuah.


Mereka ialah Inspektor Joevian Gubal Michael, Sarjan Azizul Ismail, Lans Koperal Hairul Amid, Konstabel Afizul Azwan Anuar, Koperal Abdullah Bakir, Inspektor Bobby Rhyne Warry Nawari, Koperal Haikal Ibrahim Abdullah, Koperal Sebestino Bong dan Koperal Jameswell anak Lakin.


Hakim Jason Juga membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur pertuduhan di akhir kes pendakwaan.


Jason berkata, wujud keraguan dalam keterangan yang dikemukakan dan pendakwaan gagal membuktikan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berdasarkan penilaian maksima.


"Hasil penilaian keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pendakwaan, mahkamah mendapati wujud keraguan pada keterangan yang dianjurkan sekali gus gagal membuktikan tertuduh menerima rasuah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


"Berdasarkan kekuatan keterangan pendakwaan, mahkamah tidak bersedia untuk disabitkan tertuduh sekiranya mereka memilih untuk berdiam diri jika dipanggil membela diri. Justeru, tiada kes prima facie dibuktikan dan kesemua sembilan tertuduh berhak dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri mengikut Seksyen 173(f)(ii) Kanun Tataacara Jenayah (CPC)," katanya.


Kesemua tertuduh memohon dibicarakan sewaktu dihadapkan ke mahkamah pada 2021.


Sembilan anggota polis terbabit berdepan beberapa pertuduhan membabitkan nilai suapan berbeza yang didakwa diterima daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang berhubung kesalahan dadah.


Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pelbagai tarikh antara April 2014 hingga Julai 2018, dengan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank milik kesemua tertuduh.


Abdullah berdepan pertuduhan tertinggi iaitu 18 pertuduhan membabitkan RM2,200, diikuti Haikal dengan sembilan pertuduhan membabitkan RM1,570 dan Bobby berdepan delapan pertuduhan membabitkan RM3,600.


Hairul berdepan lima pertuduhan membabitkan RM2,000, manakala Joevian, Afizul dan Azizul masing-masing berdepan empat pertuduhan membabitkan nilai RM2,400, RM470 dan RM900.


Dalam pada itu, James berdepan tiga pertuduhan membabitkan RM600, manakala Sabestino berdepan dua pertuduhan membabitkan RM300. Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bersama itu. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi.


Joevian dan Azizul diwakili peguam Sylyester Kuan; Hairul, Afizul, Abdullah, Haikal dan Jameswell diwakili Mohd Azhier Farhan Arisin; Bobby diwakili Batholomew Jingulam serta Edward Paul, manakala Sebestino diwakili Luke Ressa Balang.

Urus gantian MyKad, wanita kantoi miliki kad pengenalan palsu dipenjara empat bulan

Urus gantian MyKad, wanita kantoi miliki kad pengenalan palsu dipenjara empat bulan


Hasrat seorang wanita berusia 55 tahun menguruskan gantian kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah membawa kepada penahanannya selepas dia didapati memiliki kad pengenalan palsu.


Jamilah Akrim kemudian dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.


Mahkamah turut memerintahkan Jamilah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.


Mengikut pertuduhan, Jamilah tanpa kuasa yang sah memiliki sekeping Kad Pengenalan Plastik (KPP) palsu atas namanya kira-kira jam 11.30 pagi pada 10 September lalu di Bahagian Kad Pengenalan, JPN Sabah.


Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, Jamilah hadir ke Bahagian Kad Pengenalan, JPN Sabah Sabah dengan mengemukakan KPP beliau untuk merujuk dan membuat gantian kad pengenalan tersebut.


Bagaimanapun, semakan awal oleh pegawai JPN mendapati kad pengenalan berkenaan tidak wujud dalam rekod sistem jabatan itu, menyebabkan Jamilah ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu.


Semakan lanjut terhadap kedua-dua cap ibu jarinya turut mendapati ia tidak merujuk kepada mana-mana rekod dalam sistem JPN.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohamad Faizal Tahir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Sementara itu, JPN Sabah dalam kenyataan menegaskan komitmennya untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dokumen pengenalan diri bagi memastikan integriti sistem pendaftaran negara terus terpelihara serta mencegah penyalahgunaan dokumen berkenaan.

Jumaat, 18 September 2026

Kelindan lori intai anak tiri mandi dipenjara setahun

Kelindan lori intai anak tiri mandi dipenjara setahun


Tindakan kelindan lori mengintai anak tiri perempuan sedang mandi mengundang padah apabila Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan.


Majistret Mustakim Sukarno membuat keputusan itu terhadap tertuduh berusia 26 tahun selepas dia mengaku bersalah, dengan mengambil kira rayuan serta hujahan kedua-dua belah pihak.


"Mahkamah juga perlu mengambil kira hubungan tertuduh dengan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman penjara setahun berkuat kuasa dari tarikh ditangkap (10 September lalu)," katanya.


Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa mengaibkan kehormatan dengan mengintai anak tirinya berusia 12 tahun yang sedang mandi dalam bilik air.


Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di daerah ini pada 6.40 pagi, 9 September lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga ibu mangsa ketika itu di rumah, terpandang tertuduh mengintai anaknya sedang mandi di dalam bilik air, melalui celah lubang paip.


Sebaik menyedari perbuatan tertuduh, wanita itu kemudiannya menyergah dan bertanya kepada berbuat demikian.


Pengadu juga menyatakan kejadian sama pernah berlaku pada penghujung Julai tahun lalu terhadap mangsa.


Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan menahan tertuduh pada jam 5.47 petang keesokan hari.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Heng Eng Gee daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Penangkap anjing liar digantung tugas selepas video tunjuk isyarat lucah tular

Penangkap anjing liar digantung tugas selepas video tunjuk isyarat lucah tular


Seorang penangkap anjing liar yang dilantik Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) digantung tugas selepas klip video memaparkan dia menunjukkan isyarat lucah kepada orang awam tular di media sosial, semalam.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon menegaskan, tindakan biadab pekerja berkenaan tidak boleh diterima sama sekali.


Beliau berkata, individu terbabit kini digantung kerja sementara menunggu siasatan lanjut, manakala pihak kontraktor serta wakil persatuan hak asasi haiwan dipanggil bagi membantu siasatan.


"Siri operasi penangkapan haiwan liar selepas ini akan dipantau secara ketat bagi memastikan ia dijalankan secara profesional serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.


Menerusi rakaman video yang tular itu, beberapa pekerja penangkap anjing memakai ves MPBP dilihat sedang menangkap seekor anjing liar sebelum ditegur seorang individu dari dalam kereta yang merakam tindakan mereka.


Bagaimanapun, salah seorang pekerja terbabit bertindak di luar kawalan apabila memberikan isyarat tangan menghina dan tidak sopan ke arah perakam video berkenaan.


Video itu mencetuskan kemarahan netizen yang mendakwa haiwan berkenaan ditangkap secara kasar dan tidak berperikemanusiaan, selain mengecam sikap agresif pekerja terbabit.


Sementara itu, MPBP dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan insiden berkenaan melibatkan pekerja kepada kontraktor pengurusan haiwan liar yang dilantik pihak PBT.


"Pihak majlis akan memanggil kontraktor terbabit dan wakil pencinta haiwan untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Pihak kontraktor juga diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap pekerja berkenaan sekiranya terbukti berlaku salah guna kuasa atau pelanggaran tatatertib," menurut kenyataan itu.


Dalam pada itu, MPBP turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengganggu atau memprovokasi anggota yang sedang menjalankan tugas rasmi.


MPBP menegaskan komitmen mereka untuk kekal telus dan menjaga kebajikan komuniti, selain mempertingkatkan pemantauan agar insiden seumpama itu tidak berulang lagi demi keselamatan awam.


Remaja bawah pengaruh dadah tikam adik ipar tiga kali ketika tidur, direman tujuh hari

Remaja bawah pengaruh dadah tikam adik ipar tiga kali ketika tidur, direman tujuh hari


Seorang remaja lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini kerana disyaki menikam adik iparnya sebanyak tiga kali sehingga cedera di belakang dan paru-paru semalam.


Perintah reman ke atas suspek berusia 17 tahun yang juga pembantu kedai menjual barangan terpakai dibenarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.


Berdasarkan laporan, kejadian berlaku jam 5 pagi semalam di sebuah rumah di Taman Desa Sri Banang, Minyak Beku apabila suspek menikam dada dan belakang mangsa berusia 18 tahun dipercayai menggunakan pisau sepanjang 14.5 sentimeter.


Sehari sebelum kejadian, mangsa dan isterinya yang juga adik suspek berusia 14 tahun bertengkar jam 5 petang yang turut disaksikan suspek, namun lelaki itu hanya berdiam diri.


Suspek dikatakan pulang ke Rengit pada malam sebelum kejadian dan kembali ke rumah didiami mangsa tanpa disedari ahli keluarga lain.


Sebaik tiba di rumah, suspek menendang mangsa yang ketika itu sedang tidur dan sebaik terjaga, suspek terus menikamnya. Kejadian tidak disedari ahli keluarga kerana mereka semua sedang tidur.


Selepas menikam mangsa, suspek melarikan diri, manakala mangsa yang cedera parah kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) oleh ibu mentuanya.


Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan dan menahan suspek di sebuah kedai menjual barangan terpakai jam 12.30 tengah hari bagi membantu siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, mangsa masih dirawat dan keadaannya dilaporkan stabil.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau benda berbahaya," katanya.

Agong perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib, jalani baki hukuman tahanan di rumah

Agong perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib, jalani baki hukuman tahanan di rumah


Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.


Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.


Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan hari ini.


Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Najib turut diwajibkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang menjalani tahanan di rumah.


"Sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara," menurut kenyataan itu.


Keputusan itu menyusul selepas permohonan pengampunan Najib ditangguhkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 pada 11 September lalu.


Dalam mesyuarat berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan seterusnya.


Sebelum ini, Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Khamis, 17 September 2026

Jabatan Perikanan sahkan ikan pirana ditemukan di Empangan Klau

Jabatan Perikanan sahkan ikan pirana ditemukan di Empangan Klau


Penemuan seekor ikan dipercayai jenis pemangsa di Empangan Klau, Raub Pahang baru-baru disahkan mempunyai ciri-ciri morfologi konsisten dengan kumpulan ikan pirana Pygocentrus. 


Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, bagaimanapun pengesahan muktamad sehingga ke peringkat spesies belum dapat dibuat disebabkan spesimen fizikal ikan berkenaan tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut.


Menurut beliau, ini kerana ikan terbabit dilaporkan telah mati dan dibuang individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan.


"Setakat ini hanya seekor ikan berkenaan dilaporkan ditangkap di kawasan tersebut. Siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September 2026 juga tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sebelum ini, tular di media sosial mengenai penemuan seekor ikan yang didakwa menyerupai jenis piranha di Empangan Klau, Raub sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.


Siasatan Jabatan Perikanan Pahang mendapati ikan itu ditangkap menggunakan jala oleh seorang penduduk pada 26 Ogos lepas sebelum rakaman video mengenainya dikongsikan menerusi kumpulan WhatsApp.


Berdasarkan keterangan individu terbabit, hanya seekor ikan didakwa sebagai pirana ditangkap pada hari kejadian manakala tangkapan lain terdiri daripada lampam sungai, lampam Jawa, zebra tilapia dan peacock bass.


Dalam pada itu Adnan berkata, berdasarkan data dan bukti yang diperoleh setakat ini, belum terdapat bukti menunjukkan kewujudan populasi pirana yang telah bertapak dan membiak di Empangan Klau.


"Orang awam tidak perlu panik dan pihak kami akan terus melaksanakan pemantauan bersasar bagi memastikan sebarang perkembangan baharu dapat dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya," katanya.


Dalam pada itu, Jabatan Perikanan menegaskan bahawa tindakan melepaskan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum adalah tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan ekosistem perairan darat, populasi ikan tempatan serta kepelbagaian biologi akuatik.


Beliau berkata, Pejabat Perikanan Negeri Pahang telah diarahkan meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya.


Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak melepaskan semula ke dalam air mana-mana ikan yang disyaki sebagai spesies asing sekiranya ditangkap.


"Sekiranya terdapat tangkapan ikan yang disyaki sebagai ikan asing seperti ini, jangan lepaskan semula ke dalam air.


"Simpan spesimen tersebut jika masih dalam keadaan sesuai dan segera hubungi pejabat perikanan berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan serta analisis lanjut, termasuk ujian DNA jika diperlukan," katanya.

Suami orang dicekup khalwat dengan wanita warga asing di rumah urut di Masai

Suami orang dicekup khalwat dengan wanita warga asing di rumah urut di Masai


Dua pasangan ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan di sebuah premis urut di Masai, Johor pada malam Selasa.


Operasi kira-kira jam 9.45 malam itu dijalankan sempena cuti Hari Malaysia dan turut disertai 30 penguat kuasa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).


Dalam operasi berkenaan, penguat kuasa JAINJ dan MBPG membuat pemeriksaan di setiap tingkat premis tiga tingkat berkenaan sebelum menemui dua pasangan berlainan dalam bilik yang berkunci dari dalam.


Di tingkat dua, penguat kuasa mengetuk sebuah bilik yang dikunci dari dalam sebelum dibuka kira-kira dua minit kemudian oleh seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang urut di premis terbabit.


Pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki bersamanya dalam keadaan hanya memakai seluar dalam, manakala pakaian lelaki berkenaan ditemui tergantung di dinding.


Lelaki berusia 20-an itu dipercayai sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, manakala wanita berusia 20-an berkenaan mengaku masih belum berkahwin.


Sementara itu, di tingkat tiga, penguat kuasa mengetuk sebuah bilik yang turut dikunci dari dalam namun tiada jawapan selepas kira-kira 10 minit.


Pintu bilik berkenaan kemudian dibuka menggunakan kunci pendua sebelum pemeriksaan menemukan seorang lelaki dan seorang wanita di dalamnya.


Lelaki berusia 30-an itu berstatus bujang dan bekerja di Pasir Gudang, manakala wanita berusia 20-an berkenaan juga merupakan warga Indonesia dan bekerja sebagai tukang urut.


Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bilik berkenaan dilengkapi kemudahan seperti katil dan tandas serta digunakan bagi perkhidmatan urut secara tertutup.


Maklumat awal turut mendapati perkhidmatan urut ditawarkan pada kadar RM260 bagi tempoh kira-kira sejam, dengan bayaran tambahan dikenakan bagi perkhidmatan lain.


Kedua-dua pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.