Rabu, 2 September 2026

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi


Sebuah mahkamah Sri Lanka pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap bekas menteri penerbangan negara itu kerana didakwa menggunakan AS$2,500 (RM11,000) wang kerajaan untuk membeli makanan tengah hari kepada pengundi yang menghadiri satu perhimpunan parti pemerintah.


Piyankara Jayaratne, 61, turut didenda AS$615 (RM2,500) kerana meminta Sri Lankan Catering, sebuah syarikat milik kerajaan, menanggung kos makanan bagi perhimpunan Hari Pekerja bekas Presiden Mahinda Rajapaksa pada 2014.


Hakim Mahkamah Tinggi Colombo, Mohamed Mihal berkata, Jayaratne telah mengkhianati amanah awam yang diberikan kepadanya demi memenuhi cita-cita peribadinya dengan membiayai perhimpunan Rajapaksa.


"Mahkamah tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman penjara yang memberi mesej tegas kepada wakil rakyat yang melakukan kesalahan seperti ini," katanya.


Kes terhadap Jayaratne difailkan pada 2019. Beliau berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan pembelian pesawat Airbus pada 2013 dan penggunaan dana kerajaan untuk mencetak kad ucapan peribadi.


Keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika Presiden Anura Kumara Dissanayake, yang mengambil alih jawatan pada 2024, sedang melancarkan tindakan besar-besaran membanteras rasuah.


Dua bekas menteri Kabinet sudah dipenjarakan sehingga 20 tahun kerana kesalahan rasuah, manakala beberapa bekas timbalan menteri turut menjalani hukuman penjara yang panjang.


Pada Isnin, bekas Menteri Kewangan, Ravi Karunanayake ditahan kerana didakwa meletakkan kakitangan peribadinya dalam senarai gaji kerajaan.


Seorang lagi bekas menteri, Keheliya Rambukwella ditahan kerana didakwa membantu dalam pencurian sebuah batu suci yang berusia berabad-abad dari istana raja Sinhala terakhir di pulau itu.


Semua ahli keluarga terdekat bekas Presiden Mahinda Rajapaksa sedang disiasat atau berdepan pendakwaan atas tuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan pembunuhan. Keluarga Rajapaksa menafikan semua tuduhan tersebut.

Lelaki pukul isteri kerana enggan beri wang main judi online direman

Lelaki pukul isteri kerana enggan beri wang main judi online direman


Seorang lelaki direman tiga hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini kerana disyaki mencederakan isterinya gara-gara wanita itu enggan beri wang kepadanya untuk bermain judi dalam talian.


Perintah reman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno bermula hari ini hingga Jumaat nanti.


Ia membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.


Berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada 4 pagi 31 Ogos lalu di sebuah rumah di Rengit selepas lelaki itu dikatakan tidak berpuas hati terhadap mangsa.


Lelaki itu bertindak memukul kepala mangsa beberapa kali hingga menyebabkannya cedera.


Akibat tidak tahan dengan perbuatan lelaki yang panas baran dan kerap memukulnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Rengit pada hari kejadian.


Bertindak atas laporan dibuat, polis berjaya menahan lelaki itu pada 1.30 tengah hari semalam di rumahnya bagi membantu siasatan.

Akauntan dituduh bantu syarikat 'kurangkan' cukai lebih RM2.5 juta

Akauntan dituduh bantu syarikat 'kurangkan' cukai lebih RM2.5 juta


Seorang akauntan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini, atas pertuduhan membantu serta menasihati sebuah syarikat menyediakan penyata pendapatan yang menyebabkan cukai terkurang lapor kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM2,526,144.24 pada 2021.


Orang Kena Saman (OKS), Chew Ai Keow, 63, sebagai ahli kongsi firma perkhidmatan perakaunan, 'Abbacus Cloud Solutions', bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Idayu Salim.


Berdasarkan pertuduhan, OKS telah membantu, menasihati syarikat 'Penshrimp Fishery Sdn Bhd' mengemukakan penyata pendapatan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri apabila menyemak dan meluluskan penyediaan lejer jualan dengan tidak memasukkan transaksi jualan RM10,678,133.00 dalam penyata akaun bank milik syarikat yang sepatutnya direkodkan.


Tindakan itu menyebabkan penyediaan penyata pendapatan di bawah Seksyen 77A (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dalam Borang C syarikat tersebut bagi tahun taksiran 2020 bertarikh 25 Mac 2021 yang dikemukakan kepada LHDN telah terkurang lapor cukai sebanyak RM2,526,144.24.


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Subseksyen 114(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa LHDN, Azniwati Yahya manakala OKS diwakili peguam, N Dylan.


Azniwati menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap OKS, namun Dylan memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan pada kadar minimum dengan alasan anak guamnya mempunyai keluarga dan pekerjaan tetap di Pulau Pinang serta tidak berisiko melarikan diri.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Selasa, 1 September 2026

Warga Myanmar seludup rakan senegara guna Toyota Alphard terbongkar, 13 ditahan

Warga Myanmar seludup rakan senegara guna Toyota Alphard terbongkar, 13 ditahan


Tindakan seorang lelaki warga Myanmar dipercayai menggunakan sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Alphard yang disewa untuk membawa masuk rakan senegaranya secara haram ke negara ini terbongkar selepas ditahan dalam Op Pintas di Changlun pertengahan Ogos lalu.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, dalam operasi jam 2 petang pada 14 Ogos lalu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu telah mengesan sebuah kenderaan mewah dalam keadaan mencurigakan.


Menurutnya, pasukan itu mengekori kenderaan berkenaan dari Pekan Changlun sehingga ke hadapan sebuah motel sebelum ditahan untuk diperiksa.


"Hasil temu bual awal mendapati kedua-dua wanita terbabit dipercayai baru memasuki Malaysia dan diambil dari kawasan Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam sebelum dibawa ke Changlun," katanya pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu pada Selasa.


Susulan maklumat yang diperoleh, pasukan polis kemudian menyerbu sebuah bilik di motel dan menahan enam lelaki serta dua wanita warga Myanmar.


Pemeriksaan lanjut di sebuah bilik di Motel yang terletak bersebelahan turut membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.


Mohd Radzi berkata, keseluruhannya seramai 13 warga Myanmar termasuk pemandu kenderaan berusia 20 hingga 35 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.


Dalam operasi sama, polis turut merampas Toyota Alphard yang dipercayai digunakan bagi tujuan mengambil dan menghantar migran yang baru memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.


Beliau berkata, siasatan mendapati kenderaan mewah tersebut disewa daripada sebuah syarikat kereta sewa yang berpangkalan di Kuala Lumpur sebelum digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran.


Berdasarkan modus operandi yang dikesan, migran dipercayai memasuki negara ini melalui lorong tikus di kawasan sempadan sebelum dibawa ke lokasi transit di sekitar Changlun.


"Kubang Pasu merupakan daerah yang bersempadan dengan Thailand dan sentiasa menjadi antara lokasi tumpuan sindiket penyeludupan migran melalui jalan darat.


"Polis akan terus mempergiat operasi serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pencerobohan sempadan negara," katanya.


Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pergaduhan bersenjata depan sekolah libatkan Geng 04 berpunca salah faham isu hutang - Polis

Pergaduhan bersenjata depan sekolah libatkan Geng 04 berpunca salah faham isu hutang - Polis



Pergaduhan bersenjata di hadapan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Air Itam, George Town, pada 30 Ogos lalu dipercayai tercetus akibat salah faham berkaitan isu hutang dan melibatkan kumpulan menggunakan nama Geng 04.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, siasatan mendapati hutang berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan pinjaman wang tidak berlesen.


Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai cuba membantu pihak tertentu mendapatkan semula hutang sebelum berlaku perselisihan yang akhirnya membawa kepada pergaduhan.


"Kes ini disebabkan salah faham berkaitan hutang. Bukan hutang along, sebaliknya mereka membantu mengutip semula hutang.


"Mereka kemudian berbincang tetapi berlaku pergaduhan," katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini.


Dalam kejadian pada 30 Ogos lalu, polis menahan 13 lelaki tempatan termasuk tiga remaja bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan menggunakan senjata yang berlaku di hadapan sebuah sekolah di Air Itam, Pulau Pinang.


Semua mereka berusia 16 hingga 33 tahun itu ditahan dalam lima serbuan di sekitar negeri ini.


Serbuan itu melibatkan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut dan bantuan Balai Polis Central.


Dalam pada itu, Dennis berkata, dua lelaki yang cedera ditetak dalam kejadian itu pula sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan terbabit.


Sebaliknya, beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai menjadi sasaran selepas disalah anggap sebagai ahli kumpulan berkenaan.


"Mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghadiri upacara keagamaan dan dipercayai memakai pakaian berwarna biru yang hampir sama dengan kumpulan terbabit.


"Suspek menyangka mereka adalah daripada kumpulan berkenaan lalu menyerang dan menetak kedua-duanya," katanya.


Beliau berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah namun keadaan mereka dilaporkan stabil.


Tambahnya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan bersenjatakan senjata.

Remaja maut terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang lampu di gelanggang futsal

Remaja maut terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang lampu di gelanggang futsal


Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Taman Pancaran, Bestari Jaya, Kuala Selangor, malam tadi.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 10.32 malam.


"Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 15 tahun dikatakan sedang berehat dalam permainan futsal.


"Mangsa memegang tiang lampu disyaki mempunyai arus elektrik hingga menyebabkannya rebah di kawasan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.


Azaharudin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).


"Kes disiasat di bawah laporan mati mengejut (SDR)," katanya.


Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, Thiban Subbramaniam dalam hantaran di Facebook berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, adil dan menyeluruh.


"MPKS (Majlis Perbandaran Kuala Selangor) turut digesa untuk menyegerakan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya agar keluarga mangsa mendapat jawapan dan keadilan yang sewajarnya.


"Pada masa sama, saya menyeru MPKS dan semua agensi berkaitan supaya segera menjalankan pemeriksaan terhadap kemudahan awam khususnya tiang lampu dan sistem elektrik di kawasan rekreasi, gelanggang sukan serta lokasi awam lain," katanya.

Pasangan suami isteri ditahan di Kudat, bunga ganja RM3.56 juta dirampas

Pasangan suami isteri ditahan di Kudat, bunga ganja RM3.56 juta dirampas


Pasangan suami isteri ditahan selepas polis merampas 44.3 kilogram bunga ganja dan 5.6 kilogram ganja bernilai keseluruhan RM3.56 juta dalam operasi di Kudat, 20 Ogos lalu. Rampasan bunga ganja berkenaan adalah yang pertama seumpamanya direkodkan di Sabah.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun dan isterinya yang juga warga asing berusia 32 tahun ditahan susulan maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Sabah.


Katanya, suspek lelaki ditahan kira-kira 4.40 petang di gelanggang bola tampar Kampung Tanjong Kapor, Kudat.


"Isterinya pula ditahan kira-kira 10 minit kemudian di tepi jalan kampung sama.


"Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat bersama empat bungkusan plastik disyaki mengandungi bunga ganja dan ganja," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil.


Jauteh berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 75 paket plastik disyaki mengandungi bunga ganja seberat 44.3 kilogram dan 10 paket plastik disyaki ganja seberat 5.6 kilogram.


"Keseluruhan dadah seberat 49.9 kilogram itu dianggarkan bernilai RM3.56 juta dan dipercayai mampu menampung kira-kira 99,800 penagih bagi sekali penggunaan.


"Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), manakala isterinya tidak mempunyai rekod lampau," katanya.


Katanya lagi, saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan amphetamine, manakala isterinya negatif dadah.


"Kedua-dua suspek sudah dituduh di Mahkamah Kudat pada 28 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


"Kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada polis," katanya.


Menurutnya, JSJN Kontinjen Sabah kekal komited membanteras kegiatan pengedaran dadah bagi melindungi generasi masakini dan akan datang.

Dua RXZ bergesel dan dilanggar SUV, seorang penunggang maut tercampak ke longkang

Dua RXZ bergesel dan dilanggar SUV, seorang penunggang maut tercampak ke longkang


Penunggang motosikal Yamaha RXZ maut selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah lagi motosikal sebelum dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 406.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Kuala Berang, malam tadi.


Dalam kejadian pada 11.45 malam itu, Mohd Yusri Rusdi, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Honda HR-V dan dua motosikal Yamaha RXZ yang dalam perjalanan dari arah Ajil menghala ke Telemong.


Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga kenderaan berkenaan dalam perjalanan pulang dari Cherating, Pahang menuju ke Kuala Terengganu.


"Ketika tiba di lokasi kejadian, dua motosikal berkenaan dipercayai bergesel sesama sendiri sebelum terjatuh ke atas jalan raya.


"SUV yang datang dari arah belakang kemudian melanggar penunggang motosikal yang terjatuh di lorong kanan," katanya.


Menurutnya, mangsa kemudiannya tercampak ke longkang di sebelah kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Katanya, mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat," katanya.


Beliau berkata, seorang lagi penunggang motosikal yang berusia 34 tahun mengalami patah tangan kanan serta luka pada badan dan menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Hulu Terengganu.


Katanya, pemandu Honda HR-V dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya menasihati pengguna jalan raya lebih berwaspada terutama ketika musim cuti persekolahan berikutan pertambahan jumlah kenderaan," katanya.

Isnin, 31 Ogos 2026

Lelaki ditemui parah tepi jalan di Kajang, empat individu ditahan cuba membunuh

Lelaki ditemui parah tepi jalan di Kajang, empat individu ditahan cuba membunuh


Empat individu ditahan susulan penemuan seorang lelaki tempatan dalam keadaan cedera parah dan berlumuran darah di tepi jalan Taman West Country di Kajang pada Sabtu.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa berusia 26 tahun cedera dipercayai akibat serangan menggunakan senjata tajam oleh beberapa individu yang dikenalinya.


"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menjalankan gerakan untuk mengesan suspek.


"Polis berjaya menahan empat suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an di sekitar daerah ini malam semalam dan awal pagi hari ini (Ahad).


"Mangsa dikejarkan ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Menurutnya, kesemua suspek didapati mempunyai rekod jenayah dan dadah, serta direman empat hari bermula semalam.


Katanya, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.


Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek terbabit negatif dadah manakala seorang positif metamfetamin.


"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan membawa senjata atau sesuatu yang boleh digunakan sebagai senjata.


"Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan," katanya.


Naazron berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan mengesan individu lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian ini.

Tak terus pulang, Anwar berjalan 500 meter santuni pengunjung, peserta persembahan

Tak terus pulang, Anwar berjalan 500 meter santuni pengunjung, peserta persembahan


Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian apabila meluangkan masa berjalan sejauh kira-kira 500 meter (m) sambil menyantuni pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pagi ini.


Dalam suasana penuh meriah itu, Perdana Menteri meluangkan masa menyapa orang ramai yang berada di sepanjang laluan, selain melayan sapaan dan sambutan pengunjung yang tidak melepaskan peluang bertemu pemimpin nombor satu negara.


Sebelum itu, Anwar turut menyantuni kira-kira 1,500 peserta Grafik Manusia yang terbabit dalam persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini.


Perdana Menteri kemudian menunjukkan isyarat dua ibu jari sebagai tanda penghargaan kepada peserta selepas menyaksikan persembahan Grafik Manusia yang memukau dan mendapat sorakan orang ramai.


Aksi spontan itu menceriakan suasana apabila peserta turut menyambut penghargaan berkenaan, manakala orang ramai yang berada di sekitar lokasi terus memberikan sokongan terhadap persembahan yang ditampilkan.


Anwar ketika menyantuni peserta Grafik Manusia menyatakan penghargaan dengan setiap persembahan yang dipamerkan.


"Alhamdulillah, persembahan terbaik, amat-amat baik," katanya.


Kehadiran dan kesudian Perdana Menteri berjalan menyantuni pengunjung serta peserta Grafik Manusia menambah kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, sekali gus memperlihatkan suasana mesra antara pemimpin dengan rakyat pada hari penuh bermakna itu.


Sambutan kali ini membabitkan seramai 10,819 peserta, 77 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam, 328 aset darat dan udara, serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan 11 kereta berhias yang turut disiarkan serta diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial.


Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.