Rabu, 29 Julai 2026

Rogol anak kandung sejak usia sembilan tahun, bapa dipenjara 50 tahun, 24 sebatan

Rogol anak kandung sejak usia sembilan tahun, bapa dipenjara 50 tahun, 24 sebatan


Seorang lelaki berusia 47 tahun dihukum penjara 50 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Miri selepas mengaku bersalah atas lapan pertuduhan merogol anak kandungnya.


Hakim turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM5,000 kepada mangsa dan sekiranya gagal berbuat demikian, akan dikenakan hukuman penjara tambahan enam bulan.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol sumbang mahram terhadap anak kandungnya.


Berdasarkan fakta kes, mangsa yang kini berusia 21 tahun hidup dalam penderitaan lebih sedekad apabila menjadi mangsa nafsu serakah bapanya sejak berusia sembilan tahun.


Siasatan mendapati, tertuduh melakukan perbuatan keji itu secara berulang kali dengan menggunakan ugutan dan kekerasan bagi memastikan mangsa tidak melawan serta tidak mendedahkan kejadian dialaminya kepada sesiapa.


Malah, mangsa pernah memberanikan diri memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga ketika masih bersekolah.


Namun, laporan polis tidak dapat dibuat ketika itu berikutan ugutan dan kekerasan dilakukan tertuduh terhadap ahli keluarga mangsa sehingga mereka hidup dalam ketakutan.


Akibat trauma dan kawalan berterusan tertuduh, mangsa turut dipaksa berhenti sekolah ketika berada di Tingkatan Tiga sebelum terus hidup dalam ketakutan di bawah cengkaman bapanya.


Bagaimanapun, pada 5 Jun lalu kira-kira jam 8 malam, mangsa akhirnya berjaya melarikan diri dari kediamannya sebelum mendapatkan perlindungan daripada Tuai Rumah.


Tuai Rumah kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan, sekali gus membuka jalan kepada siasatan.


Bertindak atas laporan itu, polis menjalankan siasatan terperinci sebelum berjaya menahan tertuduh dan mendakwanya di Mahkamah Sesyen Miri.

Pemandu positif dadah rempuh motosikal, tiga beranak terkorban di Hulu Langat

Pemandu positif dadah rempuh motosikal, tiga beranak terkorban di Hulu Langat


Tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Batu 17, Hulu Langat, Kajang, hari ini. Pemandu SUV jenis Perodua Aruz itu turut disyaki memandu di bawah pengaruh dadah.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku pada 7.56 pagi itu membabitkan mangsa lelaki berusia 34 tahun yang juga mekanik, isterinya berusia 32 tahun dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun.


Katanya, ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


"Siasatan awal mendapati keluarga terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Batu 18, Hulu Langat menuju ke Nanding.


"Setibanya di lokasi kejadian, sebuah Perodua Aruz dipercayai memasuki laluan mangsa sebelum berlaku pertembungan.


"Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Naazron berkata, pemandu SUV ditahan bagi membantu siasatan dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah narkotik, manakala ujian saringan air kencingnya juga positif dadah methamphetamine.


"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kajang pada jam 9 pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.


Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membantu siasatan.


Pada masa sama, beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan semua pihak.


Sebuah kereta jenis Perodua Aruz dipercayai memasuki laluan motosikal ditunggang mangsa sebelum berlanggar dalam kejadian Jalan Batu 17, Hulu Langat pada Rabu. - Foto IPD Kajang.
Peniaga dipenjara sehari, denda RM2,000 curi kopi jenama Nescafe sorok dalam seluar

Peniaga dipenjara sehari, denda RM2,000 curi kopi jenama Nescafe sorok dalam seluar


Peniaga ayam goreng dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini kerana mencuri tujuh bungkus kopi Nescafe di sebuah kedai serbaneka di Taman Cheng Indah, Melaka awal bulan ini.


Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memutuskan hukuman itu terhadap Nazarudin Ahmad, 36, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan.


Mengikut pertuduhan, Nazarudin didakwa mencuri tujuh bungkus kopi jenama Nescafe bernilai keseluruhan RM105.70 milik Syarikat 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd di premis 7-Eleven, Taman Cheng Indah, pada 7 Julai lalu, jam 8.21 malam.


Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.


Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka terbabit tertuduh memasukkan tujuh pek kopi tersebut ke dalam seluarnya sebelum menutupnya dengan baju dan keluar dari premis tanpa membuat sebarang bayaran di kaunter.


Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin AB Malek yang mewakili tertuduh merayu supaya lelaki itu dikenakan hukuman alternatif luar penjara iaitu Perintah Kehadiran Wajib (PKW) mengikut Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461) dan tidak dipenjarakan.


Peguam berkata, tertuduh bekerja menjual ayam goreng dengan pendapatan mencecah RM1,800 sebulan dan menanggung isteri serta empat anak.


"Saya diberitahu oleh tertuduh, dia mencuri tujuh peket Nescafe sebab kekurangan duit untuk membeli barangan rumah bulanan. Dia mengakui kesalahan dan berjanji tidak akan ulang kesalahan," katanya.


Timbalan Pendakwa Raya, S Thivia bagaimanapun memohon hukuman berbentuk pengajaran dan pencegahan dikenakan terhadap tertuduh.


"Dalam rayuan dinyatakan perbuatan tertuduh mencuri untuk kegunaan rumah. Hasil curi, Nescafe bukan barang keperluan tetapi kehendak," katanya.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari mulai tarikh sabitan hari ini dan denda RM2,000. Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara lima bulan.

UNHCR, NGO urus pemindahan 113 pelarian ke tiga lokasi baharu di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang

UNHCR, NGO urus pemindahan 113 pelarian ke tiga lokasi baharu di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang


Seramai 113 pelarian kebanyakan warga Rohingya sudah dipindahkan ke destinasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang diuruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).


Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, seramai 66 orang ditempatkan di Kuala Lumpur, 18 orang di Pulau Pinang dan Selangor seramai 29 orang.


"Polis sudah melepaskan semua pelarian terbabit ke destinasi yang diuruskan oleh NGO dan pihak UNHCR sendiri.


"Destinasi pilihan pelarian terbabit adalah ke Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang semula berdasarkan kenalan dan saudara mara mereka di destinasi terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.


Media semalam melaporkan seramai 113 pelarian kebanyakan warga Rohingya yang ditempatkan sementara di Dataran Wira Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dipindah ke lokasi lain yang ditetapkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, kumpulan itu dibenarkan untuk bergerak keluar dari IPK ke destinasi baharu kira-kira 4 petang. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lokasi baharu berkenaan.


Pada 8.50 malam Isnin, polis memindahkan seramai 113 pelarian termasuk masing-masing seorang lelaki Iraq, serta perempuan Somalia dan Indonesia, isteri kepada Rohingya ke IPK Kuala Lumpur bersama wakil pejabat UNHCR.


Pelarian Rohingya pula membabitkan lelaki dewasa seramai 36 orang dan wanita 21 orang, manakala kanak-kanak lelaki 31 orang serta perempuan 22 orang.


Sebelum itu mereka berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur selepas tiba di ibu negara awal pagi menaiki tiga bas apabila mereka diusir keluar oleh penduduk tempatan di penempatan mereka di Pulau Pinang.

MBSA diarah roboh segera penempatan haram di Setia Alam, Kampung Budiman - Menteri Besar

MBSA diarah roboh segera penempatan haram di Setia Alam, Kampung Budiman - Menteri Besar


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak segera ke atas penempatan haram di Persiaran Setia Makmur, Setia Alam dan Jalan Hamzah, Kampung Budiman di Shah Alam.


Amirudin berkata, arahan itu dikeluarkan selepas dimaklumkan mengenai perkara itu ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor, baru-baru ini.


"Ya.. Saya minta MBSA untuk melaksanakan segera (robohkan) sebagaimana yang kita putuskan dalam majlis keselamatan negeri baru-baru ini.


"Bila dibangkitkan, saya sudah segera maklumkan kepada pihak terbabit (MBSA) dan saya percaya tindakan segera akan dilakukan, terutama notis kepada tuan tanah," katanya dalam sidang media di SUK, Shah Alam, semalam.


Beliau berkata, sekiranya tanah di kawasan penempatan haram itu milik kerajaan, sudah pasti kerja perobohan akan dilaksanakan segera.


"Tetapi kalau tanah itu milik persendirian, kita akan minta tuan tanah itu melaksanakan (perobohan) dulu dan bagi ruang yang secukupnya untuk melaksanakan.


"Majlis tindakan keselamatan negeri baru-baru ini sudah bagi arahan yang jelas kepada pegawai daerah... bukan warga asing sahaja.. kalau ada pencerobohan di tanah kerajaan, kita akan ambil tindakan," katanya.


Pada Isnin, Jabatan Imigresen (JIM) menyiasat dakwaan kewujudan perkampungan haram warga asing di sekitar kawasan Setia Alam, Shah Alam, walaupun tindakan penguatkuasaan diambil awal April lalu.


Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban dilapor berkata operasi bersepadu membabitkan agensi berkaitan akan dijalankan sekiranya siasatan mendapati dakwaan itu adalah benar.


Terdahulu, media melaporkan ratusan penempatan haram yang dipercayai didiami ribuan warga asing terus wujud di kawasan pinggir bandar Shah Alam meskipun pelbagai siri serbuan dan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan.


Tangkap layar keadaan penempatan dipercayai didiami PATI di Kampung Budiman, Setia Alam.

Selasa, 28 Julai 2026

Lelaki bersembunyi dalam almari selama 7 jam sebelum bunuh jiran ditangkap curang dengan isterinya

Lelaki bersembunyi dalam almari selama 7 jam sebelum bunuh jiran ditangkap curang dengan isterinya


Seorang lelaki membunuh jirannya dengan kejam selepas menangkapnya menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya. Kejadian tragis itu, yang berlaku semasa sambutan Tahun Baru Cina, dicetuskan oleh rasa cemburu dan dendam yang berpunca daripada hubungan sulit yang telah lama terjalin.


Seperti yang dilaporkan oleh Eva, semalam (27 Julai 2026), kejadian itu berlaku semasa sambutan pada hari keempat Tahun Baru Cina. Ketika kebanyakan orang sedang menikmati perjumpaan bersama keluarga dan menziarahi saudara-mara, satu tragedi berlaku di sebuah rumah di Daerah Qinggang.


Polis menerima laporan sekitar jam 12:30 pagi waktu tempatan dan segera tiba di tempat kejadian untuk menyiasat.


Sebaik tiba di tempat kejadian, pegawai menemui mayat seorang lelaki terbaring di hadapan rumah, berlumuran darah. Di dalam rumah itu, polis menemui seorang wanita duduk di atas katil, menangis dan menggeletar. Dia begitu terguncang secara emosi sehingga dia tidak menyedari kehadiran pegawai.


Selepas dipanggil beberapa kali, wanita itu akhirnya sedar. Dia mengaku bahawa suaminya, yang bernama Song, telah menikam jiran mereka, yang bernama Yin, hingga mati.


Wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Liu Ying. Menurut kenyataannya, selepas kejadian itu, abang sulung suaminya menghubungi polis untuk melaporkan kejadian itu.


Song tidak lama kemudian menyerah diri kepada polis. Semasa disoal siasat, dia mengaku atas tindakannya dan menjelaskan sebab-sebab di sebalik pembunuhan itu.


Song berkata dia tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan Yin. Dia mengakui kemarahannya semakin memuncak selepas menyaksikan hubungan rapat mereka.


Song dan Liu Ying dilaporkan berkahwin melalui perkahwinan yang diaturkan oleh rakan-rakan rapat. Selepas secara rasmi menjadi suami isteri, mereka bekerja di Biro Perhutanan Daerah Qinggang.


Pasangan itu kemudiannya mempunyai seorang anak perempuan. Untuk beberapa lama, perkahwinan mereka harmoni dan stabil sehingga ketibaan Yin mengubah keadaan.


Yin dilaporkan meninggalkan kampung halamannya dan mempercayakan anaknya kepada ibu bapanya untuk dijaga. Selepas bekerja di Qinggang, dia berkenalan dengan Song.


Tidak lama kemudian, Yin berpindah ke sebuah rumah yang tidak jauh dari rumah Song dan Liu Ying. Kedekatan itu menyebabkan Yin kerap melawat pasangan itu.


Song tidak pernah mengesyaki apa-apa, menganggap Yin sebagai seorang kawan. Walau bagaimanapun, tanpa disedarinya, hubungan Yin dengan Liu Ying telah berkembang menjadi hubungan romantik.


Menurut maklumat yang didedahkan, Yin telah membuat beberapa kenyataan menggoda di hadapan Song dan Liu Ying. Song menganggap kenyataan ini sebagai gurauan semata-mata dan tidak pernah mempersoalkannya. - Sumber Tribun Medan.

Bapa rogol, amang seksual anak kandung dipenjara 21 tahun, 25 sebatan

Bapa rogol, amang seksual anak kandung dipenjara 21 tahun, 25 sebatan


Mahkamah Sesyen Sandakan hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 21 tahun dan 25 sebatan ke atas seorang bapa yang didakwa merogol anak kandungnya dalam kejadian di sebuah rumah di Batu 21, awal Mac tahun ini.


Lelaki berusia 50 tahun itu yang berdepan dua pertuduhan dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Roslinda Razali.


Bagi pertuduhan pertama, Roslinda menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun dan 18 sebatan ke atas tertuduh kerana didakwa merogol anak kandungnya yang berusia 15 tahun mengikut tuduhan Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.


Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 3 pagi, 1 Mac lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 21, Sandakan.


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap anaknya itu di tempat dan masa yang sama.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan diperintahkan menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun dan lima sebatan.


Kedua-dua hukuman dijalankan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap.


Roslinda turut menjatuhkan hukuman penjara satu tahun dan dua sebatan ke atas tertuduh mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu sebagai tambahan kepada hukuman yang boleh dikenakan.


Bagi hukuman itu, Roslinda memerintahkan ia dijalankan berasingan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, B Yuvan.


Berdasarkan fakta kes, kejadian didakwa berlaku ketika remaja itu tidur di ruang tamu rumah dengan ibu mangsa cuba menghalang perbuatan suaminya itu, namun dipukul menyebabkan ibu mangsa berasa takut.


Mangsa membuat laporan keesokan harinya sebelum tertuduh ditangkap.

159 warga China didakwa di mahkamah, terlibat sindiket penipuan dan tiada dokumen sah

159 warga China didakwa di mahkamah, terlibat sindiket penipuan dan tiada dokumen sah


Seramai 159 warga China dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret berasingan di Johor Bahru atas tuduhan melakukan pakat jahat jenayah, iaitu cubaan untuk menipu pelaburan kripto yang tidak wujud, dua minggu lalu.


Bagaimanapun, semua tertuduh yang berusia antara 20 hingga 58 tahun itu ada yang mengaku bersalah dan ada yang tidak, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, A. Shaarmini dan Nurzihan Abdul Rehman.


Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka sebagai pihak kepada suatu pakat jahat jenayah didakwa dengan tujuan untuk melakukan pakat jahat jenayah, bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang, iaitu cubaan untuk menipu pelaburan kripto yang tidak wujud dan bertentangan dengan Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.


Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, mereka juga sebagai seorang bukan warganegara Malaysia didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.



Semua perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah premis di Jalan Forest City 16, Gelang Patah, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, kira-kira jam 12.30 tengah hari, 15 Julai lalu.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda serendah RM4,000 hingga RM10,000 bagi mana-mana tertuduh yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.


Bagi tertuduh yang tidak mengaku bersalah, Majistret Atifah Hazimah membenarkan mereka dijamin sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin warga tempatan, manakala Majistret Shaarmini tidak membenarkan sebarang jaminan.


Semua mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula bagi kes yang tidak mengaku bersalah antara 13 Ogos hingga 24 Ogos depan untuk serahan dokumen.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Adilah Farzana Che Ad, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin, Nor Hidayah Mohd Tarmizi dan Nor Deana Aqilah Aliman.


Semua tertuduh juga diwakili barisan peguam, Heng Wang Qianwei, Heng Wang Qianyou, Clement Tiong dan Ng Mee Xuan.


Difahamkan, seramai 194 individu yang ditahan mendapat arahan pendakwaan dengan 159 dituduh hari ini, manakala baki 35 lagi akan dituduh esok.


Sebahagian warga China yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan penipuan pelaburan kripto yang tidak wujud. - Foto Harian Metro.
'Saya cari rezeki untuk sara anak, isteri dengan cara bawa barang seludup ke Thailand'

'Saya cari rezeki untuk sara anak, isteri dengan cara bawa barang seludup ke Thailand'


"Saya cari rezeki untuk sara anak, isteri dengan cara ini (membawa lori berisi barangan untuk diseludup ke Thailand)"


Demikian luahan seorang pemandu lori yang dicekup selepas didapati membawa sebanyak 600 kotak berisi 10,200 kilogram (kg) minyak masak peket dari Lembah Kelantan ke sebuah rumah tinggal di Kampung Pauh Sembilan, Bachok, semalam.


Lelaki berusia 49 tahun itu berkata, dia sudah lama bekerja sebagai 'transporter' dan pernah berkhidmat dengan beberapa sindiket penyeludupan di negeri ini.


Menurutnya, ini merupakan kali pertama di bekerja dengan sindiket penyeludupan minyak masak peket dan tidak menyangka ditangkap ketika sedang memunggah kesemua barangan tersebut ketika tiba di rumah tersebut.


"Ini cara saya mencari rezeki untuk anak dan isteri. Sebelum ini, saya pernah 10 kali ditangkap atas kesalahan menyeludup beras Siam dan kes-kes polis. Jika tidak buat kerja ini, apa lagi saya boleh buat.


"Saya mengambil kesemua 600 kotak minyak masak peket ini di beberapa premis di Lembah Klang sebelum membawa ke sini. Ada pihak yang memberi arahan kepada saya untuk bawa minyak masak peket itu ke sebuah rumah tinggal di Kampung Pauh Sembilan" katanya ketika ditemui selepas serbuan di rumah tersebut semalam.


Suspek yang berasal dari Rantau Panjang itu memberitahu, dia tidak menyangka ditangkap anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika sedang memungah minyak masak tersebut bersama tiga rakan.


Katanya, dia mengaku menerima upah sebanyak RM300 daripada sindiket penyeludupan untuk perjalanan pergi dan pulang dari Lembah Klang dengan membawa kesemua minyak masak itu.


"Sindiket penyeludupan menyediakan sebuah lori dan wang tunai sebanyak RM1,500 untuk kegunaan membeli diesel, makan dan minum saya sepanjang perjalanan dari Kelantan ke Lembah Klang sebelum pulang ke sini.


"Daripada jumlah wang itu, sebanyak RM300 memang upah untuk saya membawa minyak masak peket tersebut," ujarnya.


Terdahulu, lelaki itu tidak sempat memunggah sebanyak 10,200 kg minyak masak peket ke dalam tiga buah kenderaan untuk diseludup ke Thailand selepas anggota KPDN menahannya di sebuah rumah tinggal di Kampung Pauh Sembilan, Bachok semalam.


Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, serbuan dijalankan menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu) di rumah itu kira-kira pukul 6.30 pagi selepas pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan risikan di kawasan berkenaan sejak tiga hari lalu.

Sanusi mula hantar LOD terhadap pihak didakwa putar belit kenyataannya, lebih ramai bakal disaman

Sanusi mula hantar LOD terhadap pihak didakwa putar belit kenyataannya, lebih ramai bakal disaman


Pasukan peguam Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedang menjalankan proses penyerahan surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataannya berkaitan isu sejarah dalam ucapan yang disampaikan di Negeri Sembilan baru-baru ini.


Menurut Muhammad Sanusi, lebih ramai individu berada dalam senarai untuk menerima LOD sekiranya didapati melakukan tindakan sama, termasuk memutar belit, menokok tambah dan mengulas kenyataannya di luar konteks sebenar.


"Penyerahan LOD ini sedang diuruskan oleh pasukan peguam. Ada ramai lagi dalam senarai untuk menerima LOD seumpama ini dengan tuntutan yang sesuai mengikut tindakan mereka.


"Mereka memutar belit, menokok tambah, mengada-adakan perkara yang tiada, memberi komen berasaskan sumber yang telah diputar belit tanpa diperiksa, selain memesong dan memanipulasi ucapan saya di luar maksud sebenar.


"Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua," katanya yang dipetik di media sosialnya hari ini.


Pada Sabtu lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya berkaitan sejarah demi kepentingan politik.


Beliau turut memaklumkan laporan polis akan dibuat terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataan berkenaan, sambil menegaskan ucapan yang disampaikan hanyalah berdasarkan fakta sejarah dan tidak ditujukan kepada mana-mana kaum atau pihak tertentu.


Difahamkan, antara individu terawal menerima LOD ialah Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.


Menerusi surat tuntutan yang dikeluarkan firma guaman Faizi & Associates bertarikh 27 Julai, Muhammad Sanusi mendakwa Dr Sathia telah memfitnah beliau menerusi kenyataan media dan video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya berhubung ucapan yang disampaikan di Negeri Sembilan baru-baru ini.


Surat itu mendakwa Dr Sathia secara tidak tepat mengaitkan Muhammad Sanusi dengan kenyataan berbunyi 'India baliklah India' dan 'Cina baliklah China', sedangkan frasa tersebut didakwa tidak pernah diucapkan oleh Menteri Besar Kedah itu.


Sebaliknya, surat berkenaan menyatakan ucapan sebenar Muhammad Sanusi hanya menjelaskan bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air mereka, manakala bangsa lain mempunyai negara asal masing-masing.


Peguam beliau turut mendakwa tindakan memetik sebahagian ucapan, menambah perkataan tertentu serta menyunting rakaman video telah menjejaskan reputasi anak guam mereka dan dilakukan dengan niat jahat.


Sehubungan itu, Dr Sathia dituntut dalam tempoh tujuh hari untuk menarik balik video TikTok berkenaan, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, selain mencadangkan jumlah ganti rugi kepada Muhammad Sanusi.


Surat berkenaan turut menyatakan tindakan undang-undang akan dimulakan tanpa sebarang notis lanjut sekiranya tuntutan tersebut gagal dipenuhi.


Sebelum itu, Dr Sathia dilaporkan mengakui terdapat kekhilafan apabila mengulangi ucapan Muhammad Sanusi dengan menggunakan perkataan 'balik'.


Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu tidak menjejaskan asas laporan polis yang dibuat terhadap Menteri Besar Kedah berhubung ucapan yang didakwa berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.


Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden juga turut mendakwa Dr Sathia memanipulasi ucapan Muhammad Sanusi dan menuntut beliau menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka.


Susulan kontroversi itu, beberapa laporan polis turut dibuat terhadap Dr Sathia bagi membolehkan siasatan dijalankan.