Peniaga ayam goreng dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini kerana mencuri tujuh bungkus kopi Nescafe di sebuah kedai serbaneka di Taman Cheng Indah, Melaka awal bulan ini.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memutuskan hukuman itu terhadap Nazarudin Ahmad, 36, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Nazarudin didakwa mencuri tujuh bungkus kopi jenama Nescafe bernilai keseluruhan RM105.70 milik Syarikat 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd di premis 7-Eleven, Taman Cheng Indah, pada 7 Julai lalu, jam 8.21 malam.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka terbabit tertuduh memasukkan tujuh pek kopi tersebut ke dalam seluarnya sebelum menutupnya dengan baju dan keluar dari premis tanpa membuat sebarang bayaran di kaunter.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin AB Malek yang mewakili tertuduh merayu supaya lelaki itu dikenakan hukuman alternatif luar penjara iaitu Perintah Kehadiran Wajib (PKW) mengikut Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461) dan tidak dipenjarakan.
Peguam berkata, tertuduh bekerja menjual ayam goreng dengan pendapatan mencecah RM1,800 sebulan dan menanggung isteri serta empat anak.
"Saya diberitahu oleh tertuduh, dia mencuri tujuh peket Nescafe sebab kekurangan duit untuk membeli barangan rumah bulanan. Dia mengakui kesalahan dan berjanji tidak akan ulang kesalahan," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, S Thivia bagaimanapun memohon hukuman berbentuk pengajaran dan pencegahan dikenakan terhadap tertuduh.
"Dalam rayuan dinyatakan perbuatan tertuduh mencuri untuk kegunaan rumah. Hasil curi, Nescafe bukan barang keperluan tetapi kehendak," katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari mulai tarikh sabitan hari ini dan denda RM2,000. Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara lima bulan.

EmoticonEmoticon