Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak segera ke atas penempatan haram di Persiaran Setia Makmur, Setia Alam dan Jalan Hamzah, Kampung Budiman di Shah Alam.
Amirudin berkata, arahan itu dikeluarkan selepas dimaklumkan mengenai perkara itu ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor, baru-baru ini.
"Ya.. Saya minta MBSA untuk melaksanakan segera (robohkan) sebagaimana yang kita putuskan dalam majlis keselamatan negeri baru-baru ini.
"Bila dibangkitkan, saya sudah segera maklumkan kepada pihak terbabit (MBSA) dan saya percaya tindakan segera akan dilakukan, terutama notis kepada tuan tanah," katanya dalam sidang media di SUK, Shah Alam, semalam.
Beliau berkata, sekiranya tanah di kawasan penempatan haram itu milik kerajaan, sudah pasti kerja perobohan akan dilaksanakan segera.
"Tetapi kalau tanah itu milik persendirian, kita akan minta tuan tanah itu melaksanakan (perobohan) dulu dan bagi ruang yang secukupnya untuk melaksanakan.
"Majlis tindakan keselamatan negeri baru-baru ini sudah bagi arahan yang jelas kepada pegawai daerah... bukan warga asing sahaja.. kalau ada pencerobohan di tanah kerajaan, kita akan ambil tindakan," katanya.
Pada Isnin, Jabatan Imigresen (JIM) menyiasat dakwaan kewujudan perkampungan haram warga asing di sekitar kawasan Setia Alam, Shah Alam, walaupun tindakan penguatkuasaan diambil awal April lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban dilapor berkata operasi bersepadu membabitkan agensi berkaitan akan dijalankan sekiranya siasatan mendapati dakwaan itu adalah benar.
Terdahulu, media melaporkan ratusan penempatan haram yang dipercayai didiami ribuan warga asing terus wujud di kawasan pinggir bandar Shah Alam meskipun pelbagai siri serbuan dan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan.


EmoticonEmoticon