Seramai 159 warga China dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret berasingan di Johor Bahru atas tuduhan melakukan pakat jahat jenayah, iaitu cubaan untuk menipu pelaburan kripto yang tidak wujud, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, semua tertuduh yang berusia antara 20 hingga 58 tahun itu ada yang mengaku bersalah dan ada yang tidak, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, A. Shaarmini dan Nurzihan Abdul Rehman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka sebagai pihak kepada suatu pakat jahat jenayah didakwa dengan tujuan untuk melakukan pakat jahat jenayah, bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang, iaitu cubaan untuk menipu pelaburan kripto yang tidak wujud dan bertentangan dengan Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, mereka juga sebagai seorang bukan warganegara Malaysia didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah premis di Jalan Forest City 16, Gelang Patah, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, kira-kira jam 12.30 tengah hari, 15 Julai lalu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda serendah RM4,000 hingga RM10,000 bagi mana-mana tertuduh yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.
Bagi tertuduh yang tidak mengaku bersalah, Majistret Atifah Hazimah membenarkan mereka dijamin sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin warga tempatan, manakala Majistret Shaarmini tidak membenarkan sebarang jaminan.
Semua mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula bagi kes yang tidak mengaku bersalah antara 13 Ogos hingga 24 Ogos depan untuk serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Adilah Farzana Che Ad, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin, Nor Hidayah Mohd Tarmizi dan Nor Deana Aqilah Aliman.
Semua tertuduh juga diwakili barisan peguam, Heng Wang Qianwei, Heng Wang Qianyou, Clement Tiong dan Ng Mee Xuan.
Difahamkan, seramai 194 individu yang ditahan mendapat arahan pendakwaan dengan 159 dituduh hari ini, manakala baki 35 lagi akan dituduh esok.



EmoticonEmoticon