Wanita dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam berikutan penemuan mayatnya yang terpisah kepada tujuh bahagian dipercayai dipotong menggunakan senjata tajam.
Lebih memilukan, bahagian anggota badan mangsa yang dikerat dibuang di beberapa tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Kota Kinabalu hari ini.
Mangsa dipercayai dikerat pada bahagian leher, badan, punggung, kedua-dua tangan dan kaki, sebelum anggota tubuhnya dimasukkan ke dalam plastik sampah dan dibuang berasingan.
Kejadian terbongkar kira-kira 6.30 pagi apabila seorang pekerja lori sampah yang sedang menjalankan tugas rutin terkejut selepas satu anggota tangan manusia terjatuh dari tong sampah ketika dimasukkan ke dalam lori.
Pemeriksaan lanjut menemukan satu lagi anggota badan iaitu kaki dalam tong sampah sama dan segera memaklumkan kejadian kepada polis.
Sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama pekerja lori sampah kemudian menjalankan pencarian lanjut termasuk menyelongkar semula sampah di dalam lori serta memeriksa lokasi pembuangan sampah berhampiran.
Turut berada di lokasi bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ialah Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Unit Anjing Pengesan (K9) IPK Sabah.
Pada 11.40 pagi hari sama, kepala dan badan mangsa ditemui di satu lagi tempat pembuangan sampah berhampiran Pasaraya Bataras Indah Permai.
Bagaimanapun, setakat tengah hari tadi, dua lagi anggota tubuh mangsa iaitu tangan kanan dan kaki kiri masih belum ditemui dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian itu pada 8 pagi sebelum pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai Indah Permai.
"Semua bahagian yang dijumpai dipercayai milik mangsa sama. Identiti mangsa setakat ini masih belum dapat dipastikan dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti identiti serta mengesan waris terdekat," katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Forensik HQE I serta K9 turut menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi bagi tujuan pengumpulan bahan bukti dan membantu siasatan.
"Berdasarkan pemerhatian awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuhnya dibuang di kawasan rumah kedai berkenaan.
"Siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian, modus operandi kejadian serta individu yang terbabit," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HQE I dan bedah siasat dijadualkan pada 8.30 pagi esok.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan," katanya.









