Sabtu, 3 Oktober 2026

Penceramah motivasi direman dua hari, disyaki lakukan gangguan seksual

Penceramah motivasi direman dua hari, disyaki lakukan gangguan seksual


Seorang lelaki yang dikaitkan dengan dakwaan kes gangguan seksual terhadap mangsa bawah umur dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar, hari ini untuk permohonan perintah reman.


Perintah reman selama dua hari bermula hari ini dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Mohd Amiruldin Roslan selepas mendapat permohonan dikemukakan pegawai penyiasat polis.


Terdahulu, suspek yang memakai kemeja-T berwarna hitam dilihat tiba di pekarangan mahkamah berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi dengan menaiki kenderaan polis serta dikawal ketat anggota keselamatan.


Semalam, polis mengeluarkan kenyataan meminta penceramah motivasi terbabit tampil ke balai polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes gangguan seksual berkenaan.


Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian yang mengaitkan penceramah terbabit pada jam 2.09 pagi, 26 September lalu.


Berikutan itu, individu berkenaan diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bagi memberi kerjasama dan keterangan, selain pihak polis turut menggesa mana-mana mangsa lain supaya tampil membuat laporan.


Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Terdahulu, media melaporkan pendedahan mengejutkan beberapa mangsa wanita di media sosial yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan manipulasi (grooming) oleh lelaki berstatus suami orang itu.


Modus operandi penceramah itu adalah mendekati mangsa melalui aplikasi TikTok atas alasan urusan kerja atau pelajaran, sebelum berani mengajak mangsa menjadi 'sugar baby' dan mendaftar masuk (check-in) ke hotel.


Susulan pendedahan yang tular, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek pada Khamis lalu mengarahkan semua program di sekolah yang membabitkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta berikutan ia membabitkan aspek keselamatan serta perlindungan murid.

Budak lapan tahun cedera di kepala, leher diserang lima anjing liar

Budak lapan tahun cedera di kepala, leher diserang lima anjing liar


Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera di kepala dan leher selepas diserang sekumpulan anjing liar ketika bermain pasir di Pantai Kuala Kemasin, Bachok pada Khamis.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Azuar Firdaus Zuraiman mengalami beberapa luka gigitan termasuk kesan taring yang menembusi kulit di bahagian kepala dan leher.


Bapanya, Zuraiman Mahmod, 47, berkata, ketika kejadian dia sedang berniaga di kedai makan keluarga yang terletak berhampiran pantai sebelum terdengar bunyi bising dan orang ramai memanggilnya dalam keadaan cemas.


Menurutnya, dia kemudian melihat seorang pekerja buruh di resort berdekatan membawa anaknya dalam keadaan berlumuran darah.


"Anak saya sebelum itu pergi bermain di kawasan berdekatan pantai bersama lima saudaranya yang sebaya pada jam 9 pagi.


"Ketika sedang bermain pasir, tiba-tiba kira-kira lima ekor anjing datang berlari ke arah mereka dan mereka terkejut lalu melarikan diri," katanya hari ini.


Zuraiman berkata, anaknya bagaimanapun terjatuh sebelum diserang dan digigit beberapa ekor anjing berkenaan manakala saudaranya yang lain terselamat.


"Dalam keadaan bergelut, anak saya sempat bangun dan menendang anjing serta lari ke arah pantai untuk selamatkan diri.


"Bagaimanapun, anjing terus mengejarnya sehingga ke pantai dan air cecah paras leher anak saya barulah anjing berhenti menyerang," katanya.


Dia berkata, seorang pekerja buruh warga asing yang menyedari kejadian berlari membantu menghalau anjing terbabit dan membawa mangsa keluar dari kawasan air sebelum membawa mangsa ke kedai makan Zuraiman.


Zuraiman kemudian bergegas membawa anaknya itu ke Klinik Kesihatan Balai sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, untuk rawatan lanjut.


Anak saya baru selesai menjalani pembedahan untuk mencuci luka dan menjahit bahagian yang berlubang akibat gigitan anjing.


"Dua kesan taring terdapat di bahagian leher, manakala dua lagi di kepala. Keadaannya masih dirawat dan di wad dan memerlukan pemantauan doktor," katanya.


Zuraiman yang mempunyai sembilan orang anak berkata, Azuar merupakan anak kelapan dan kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana kumpulan anjing liar berkenaan sudah lama berkeliaran di kawasan pantai tersebut.


"Anjing-anjing itu memang sudah lama ada di kawasan pantai dan sering dilihat berkeliaran berhampiran tong sampah.


"Saya ada aduan sebelum ini, malah pernah ada usaha memasang perangkap, tetapi masalah itu hanya selesai seketika," katanya.


Dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah berkenaan sebelum kejadian lebih buruk berlaku.


"Saya tidak mahu perkara seperti ini berulang kepada kanak-kanak lain dan ada yang kehilangan nyawa baru tindakan diambil," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.


"Kami menerima laporan daripada seorang pekerja resort berhampiran berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut diteruskan pihak polis," katanya.

Ibu tunggal, buruh kasar didenda gadai gelang emas palsu

Ibu tunggal, buruh kasar didenda gadai gelang emas palsu


Seorang ibu tunggal dan buruh kasar masing-masing didenda RM3,000 serta RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Pengerang Kota Tinggi, pada Jumaat selepas mengaku bersalah memperdaya pemilik kedai pajak gadai dengan menggadaikan gelang emas palsu.


Tertuduh, Jameah Ibrahim, 48, didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda, manakala Yussuf Harun, 62, didenda RM4,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.


Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.


Mengikut pertuduhan, Jameah didakwa memperdaya pemilik sebuah kedai pajak gadai dengan mendakwa seutas gelang tangan seberat 23 gram yang digadaikannya ialah emas tulen namun barang kemas tersebut palsu.


Perbuatan berkenaan dilakukan dengan niat mendapatkan wang RM8,000 di sebuah kedai pajak gadai di Sungai Rengit, Pengerang di Kota Tinggi kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 29 September lalu.


Dia dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun setengah atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sementara itu, Yussuf didakwa memperdaya individu dan kedai sama dengan menggadaikan seutas gelang tangan emas seberat 9.2 gram, sedangkan barang kemas itu palsu bagi mendapatkan wang RM3,000, pada jam 3.10 petang, 14 September lalu.


Bagi kesalahan itu, Yussuf dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

JPJ Johor keluar 3,793 notis kepada pemandu asing, 1,346 diambil tindakan

JPJ Johor keluar 3,793 notis kepada pemandu asing, 1,346 diambil tindakan


Seramai 1,346 pemandu warga asing diambil tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri membabitkan 4,565 kesalahan sepanjang pelaksanaan Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) sejak 1 Jun lalu hingga semalam (Jumaat).


Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin, berkata dalam tempoh sama, sebanyak 10,580 kenderaan telah diperiksa.


"Antara kesalahan tertinggi direkodkan adalah tiada lesen memandu iaitu sebanyak 788 kes atau 23 peratus, cukai jalan tamat tempoh dengan 693 kes atau 20 peratus dan tiada perlindungan insurans sebanyak 528 kes atau 15 peratus.


"Kesalahan lain yang turut direkodkan adalah membenarkan warga asing memandu tanpa lesen sebanyak 449 kes atau 15 peratus, tidak memakai topi keledar dengan 207 kes atau enam peratus dan tidak memakai tali pinggang membabitkan 67 kes atau dua peratus," katanya pada sidang media pada Jumaat.


Zulkarnain berkata, bagi kesalahan teknikal pula, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi merekodkan jumlah tertinggi iaitu 149 kes atau 14 peratus, diikuti ubah suai kenderaan 79 kes atau 14 peratus dan brek sebanyak 99 kes atau sembilan peratus.


Katanya, bagi tempoh sama sebanyak 3,793 notis atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan kepada warga asing berkenaan manakala, jumlah kenderaan yang disita pula adalah sebanyak 347 membabitkan, kereta (69), lain-lain kenderaan (24), kenderaan bawah 7,500 kilogram (kg) iaitu 13 dan lebih 7,500 kg sebanyak dua.


"Daripada kesemua warga asing itu, 447 daripadanya adalah warga Pakistan, Bangladesh (251), Singapura (223), Indonesia (180) dan Myanmar (150).


"Selain itu, turut diambil tindakan adalah seramai 21 warga Vietnam, India (19), Nepal (5), Kemboja (2) dan lain-lain negara (48)," katanya.


Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan operasi sama secara berterusan dan menggesa warga asing mendapatkan lesen memandu mengikut prosedur ditetapkan.

Jumaat, 2 Oktober 2026

Kanak-kanak 8 tahun alami kerosakan otak menang saman hospital RM12.19 juta

Kanak-kanak 8 tahun alami kerosakan otak menang saman hospital RM12.19 juta


Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, Melaka, hari ini, menganugerahkan RM12.19 juta kepada seorang kanak-kanak perempuan sebagai ganti rugi untuk saman kecuaian perubatan yang difailkan terhadap sebuah hospital kerajaan dan beberapa doktornya.


Hanan Qaireen Mohd Sukri yang kini berusia lapan tahun menyaman melalui bapanya yang juga wakil litigasinya yang sah, Mohd Sukri Mahat, 46, berikutan mengalami kerosakan otak semasa proses kelahiran 18 Februari 2018 dan seterusnya didiagnosis mengalami Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia akibat kecuaian defendan.


Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Isa Aziz Ibrahim menganugerahkan Hanan Qaireen sebanyak RM10.77 juta bagi ganti rugi am masa hadapan berkaitan kos dan perbelanjaan yang akan terus ditanggung ahli keluarga plaintif sepanjang hayatnya kerana tidak mampu berdikari termasuk rawatan, rehabilitasi dan bantuan pelbagai disiplin lain.


Jumlah ganti rugi am masa hadapan itu diberikan selepas mahkamah menolak tuntutan RM220,000 bagi rawatan sel stem kerana memutuskan kaedah itu belum dibuktikan keberkesanannya dan masih pada peringkat eksperimen.


Selain itu, mahkamah turut menganugerahkan ganti rugi am sebanyak RM500,000, ganti rugi khas (RM441,754.83), ganti rugi teruk (RM300,000), ganti rugi pra-bicara (RM157,792.22) serta kos guaman dan perbelanjaan (RM176,718.75), di samping faedah lima peratus ditetapkan terhadap jumlah penghakiman.


Dalam penghakimannya, Isa menasihati keluarga plaintif supaya menguruskan pampasan berkenaan dengan sebaiknya demi kebajikan dan faedah kanak-kanak itu.


"Walaupun jumlah ini kelihatan banyak, ia adalah untuk tempoh 55 tahun. Jika dikira pampasan sebulan cuma kira-kira RM20,000 dan saya rasa ia memadai serta bukannya satu kemewahan.


"Apa yang terjadi adalah telah terjadi, ini adalah qada dan qadar kita sebagai orang Islam. Diharapkan jumlah ini tidak dibazirkan dan digunakan sebagaimana yang sepatutnya," katanya.


Mengikut penyataan tuntutan, saman yang difailkan pada 30 Oktober 2023 itu menamakan 11 defendan membabitkan Kerajaan Malaysia, pengarah hospital serta sembilan doktor.


Ibu plaintif, Noraisah Ali, 42, pada awalnya bertindak sebagai plaintif kedua.


Bagaimanapun, saman terhadap 10 defendan ditarik balik, manakala nama plaintif kedua digugurkan selepas Kerajaan Malaysia selaku defendan ke-11 mengaku liabiliti pada hari terakhir perbicaraan pada 16 Jun lalu.


Perbicaraan bagi penilaian ganti rugi berlangsung selama enam hari bermula 29 September tahun lalu dengan mengemukakan empat saksi termasuk dua pakar bagi pihak plaintif, manakala defendan tidak memanggil sebarang saksi.


Berdasarkan fakta kes, plaintif lahir pada 18 Februari 2018 dengan skor APGAR rendah iaitu 1, 3 dan 4 pada minit pertama, kelima serta ke 10, selain memerlukan intubasi pada minit keempat kerana gagal bernafas sendiri sebelum dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU).


Pemeriksaan Elektroensefalografi (EEG) pada tarikh sama menunjukkan kerosakan fungsi otak pada tahap sederhana hingga teruk (moderate to severe neonatal encephalopathy).


Siri pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan susulan dari 2018 hingga 2023 mengesahkan kecederaan teruk pada struktur penting otak yang menyebabkan plaintif mengidap Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia, iaitu lumpuh pergerakan keempat-empat anggota badan.


Dalam prosiding itu, plaintif diwakili Nur Maizatul Syakira Hashim dan Mohamed Fadly Zakariya, manakala Peguam Kanan Persekutuan Norafiah Saini mewakili Kerajaan Malaysia.

Pelakon, model Indonesia didenda RM2,300 kerana salah guna dadah di KLIA

Pelakon, model Indonesia didenda RM2,300 kerana salah guna dadah di KLIA


Pelakon dan model Indonesia, Samudera Hurley Taylor, didenda RM2,300 oleh Mahkamah Majistret Sepang, selepas mengaku bersalah mengambil dadah dalam kejadian pada Julai lalu.


Majistret, Khairatul Animah Jelani, menjatuhkan hukuman denda itu selepas ujian patologi mendapati sampel diambil positif dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid.


Dalam prosiding pada 9 September lalu, mahkamah turut memerintahkan Samudera, 24, menjalani hukuman penjara selama empat bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Pada Julai lalu, Samudera mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri.


Dia melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.40 petang, 28 Julai lalu, di tandas Pusat Pengurusan Lapangan Terbang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, peguamnya, Shah Wira Abdul Halim, berkata Samudera dikehendaki terus kekal di Malaysia sementara menunggu laporan patologi selepas pertama kali didakwa.


Katanya, Samudera membayar denda berkenaan 9 September dan sudah kembali ke Indonesia selepas prosiding selesai.


"Dia mahu segera pulang (ke Indonesia) untuk bertemu ibunya yang sedang menjalani rawatan kanser. Selepas beberapa isu imigresen diselesaikan, dia dibenarkan pulang," katanya.


Samudera sebelum ini didenda RM500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan terbabit pertengkaran dengan kakitangan syarikat penerbangan dan pegawai polis bantuan di KLIA.


Dia didenda RM400 kerana gagal mematuhi arahan sah yang diberikan pegawai polis bantuan dan RM100 kerana menyebabkan gangguan awam.


Kesalahan pertama membabitkan kegagalan mematuhi arahan supaya bertenang, tidak menimbulkan kekacauan dan terus menaiki penerbangan.


Kesalahan kedua pula membabitkan perbuatan menjerit serta menggunakan bahasa kesat dan berunsur provokasi terhadap kakitangan syarikat penerbangan dan pegawai polis bantuan, selain mengganggu petugas kaunter tiket.


Kesalahan itu dilakukan antara jam 7.20 malam hingga 8.12 malam, 27 Julai lalu, di Pintu 4, KLIA Terminal 1.

Penganggur didenda RM24,000, alih RM1.1 juta milik pesara masuk akaun sendiri

Penganggur didenda RM24,000, alih RM1.1 juta milik pesara masuk akaun sendiri


Seorang penganggur wanita dijatuhi hukuman denda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengalihkan wang RM1.1 juta milik seorang pesara ke dalam akaun bank miliknya, lapan tahun lalu.


Hakim Muhammad Ilmami Ahmad juga memerintahkan Chin Chew Woon, 43, menjalani hukuman penjara 24 bulan jika gagal membayar denda itu.


Chew Woon didakwa mengalihkan wang RM500,000 dan RM600,000 milik lelaki berusia 66 tahun ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank di Brickfields pada 26 dan 27 Disember 2018.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mendakwanya terlibat dalam kes pengubahan wang haram.


Mangsa diarahkan untuk memindahkan wang simpanan berjumlah RM500,000 dan RM600,000 ke dalam akaun Chew Woon kononnya bagi tujuan siasatan.


Bagaimanapun, mangsa gagal menghubungi individu itu untuk mendapatkan kembali wang tersebut.


Siasatan mendapati Chew Woon ialah pemilik akaun yang menerima wang tersebut dan dia juga gagal memberikan penjelasan memuaskan berhubung transaksi itu.


Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan, mengambil kira faktor mangsa mengalami kerugian besar dan kekerapan kes penipuan di Malaysia.


"Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberikan keinsafan kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya.


Chew Woon yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia kini tidak bekerja dan menanggung dua anak, ibu serta ibu mentua yang sakit.


Lapan anggota polis antara ditahan terbabit aktiviti air ketum

Lapan anggota polis antara ditahan terbabit aktiviti air ketum


Lapan anggota polis antara sembilan individu ditahan kerana disyaki terbabit dengan aktiviti air ketum dalam serbuan di Taman Keramat, Kuala Lumpur pada Selasa.


Menurut sumber, serbuan dilakukan jam 8.45 malam itu, hasil kerjasama Cawangan Risikan dan Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya.


"Lapan anggota ditahan itu membabitkan tujuh yang bertugas di pelbagai cawangan sekitar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, manakala seorang lagi bertugas di IPD Brickfields.


"Turut ditahan bersama mereka di lokasi adalah seorang orang awam," kata sumber itu.


Sumber itu memaklumkan bahawa kesemua suspek kini ditempatkan di Lokap Balai Polis Hulu Kelang.


Kertas siasatan dibuka dan permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


Sementara itu, Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan penahanan kesemua suspek berkenaan.

 17 premis jual vape di Subang Jaya diperiksa, dikompaun RM35,000

17 premis jual vape di Subang Jaya diperiksa, dikompaun RM35,000


Sebanyak 28 tindakan penguatkuasaan dengan kompaun berjumlah RM35,000 dikenakan terhadap 17 premis menjual rokok elektronik di sekitar Subang Jaya pada Rabu.


Operasi Bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor itu dijalankan bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa'ari berkata, operasi membabitkan 68 pegawai dan anggota daripada empat agensi itu bagi memeriksa pematuhan premis terhadap undang-undang berkaitan perdagangan, kesihatan, pendaftaran perniagaan serta pelesenan premis.


"Hasil pemeriksaan, KPDN Selangor mengambil tiga tindakan kes mengikut Perenggan 6, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022.


"Tindakan ini berkaitan kegagalan mematuhi subperenggan 4(2)(b) membabitkan peranti rokok elektronik atau alat ganti yang tidak mempunyai tanda seperti ditetapkan," katanya dalam kenyataan, semalam.


Muhamad Hanif berkata, KPDN turut mengeluarkan lima kompaun mengikut Akta Timbang Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.


MBSJ pula mengeluarkan 14 kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBSJ serta Undang-Undang Kecil Iklan MBSJ.


SSM mengeluarkan lima kompaun mengikut akta di bawah bidang kuasanya, manakala KKM mengeluarkan dua notis mengikut Seksyen 18(1)(a) kerana gagal mempamerkan tanda amaran larangan merokok.


Muhamad Hanif berkata, nilai keseluruhan kompaun yang direkodkan dalam operasi itu berjumlah RM35,000, manakala barangan bernilai kira-kira RM38,000 dirampas.


"KPDN mengingatkan semua peniaga rokok elektronik sentiasa mematuhi sepenuhnya keperluan perakuan dan penandaan peranti rokok elektronik yang ditetapkan.


"Setiap peranti rokok elektronik atau alat ganti yang ditawarkan untuk jualan hendaklah mempunyai perakuan daripada pihak berkuasa berwibawa serta ditandakan dengan tanda yang ditetapkan," katanya.


Beliau berkata, KPDN akan terus meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang gagal mematuhi peruntukan ditetapkan.

Wanita ditemui maut dipercayai dibunuh suami di sebuah rumah pekerja ladang di Tawau

Wanita ditemui maut dipercayai dibunuh suami di sebuah rumah pekerja ladang di Tawau


Seorang wanita maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah pekerja ladang di Felda Umas, Jalan Kalabakan, petang Isnin.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, mangsa ialah wanita warga Indonesia berusia 37 tahun yang bekerja di ladang berkenaan.


"Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di rumah berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan kira-kira jam 8.16 malam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun yang merupakan suami mangsa.


"Suspek turut mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kini menerima rawatan di Hospital Tawau.


"Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala, leher dan tangan mangsa," katanya.


Rosdi berkata, pemeriksaan di lokasi turut membawa kepada rampasan beberapa barang kes, termasuk sabit dan kayu untuk membantu siasatan.


"Siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hubungan rumah tangga selepas mereka kembali daripada bercuti. Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.


Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


"Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan forensik, analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA), laporan perubatan dan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.


"Sebarang pengakuan awal suspek masih tertakluk kepada pengesahan melalui bukti-bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan," katanya.


Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.