Lelaki warga emas parah dipukul jirannya menggunakan sebatang besi akibat perselisihan faham di hadapan rumahnya di Jalan Perak, Georgetown, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 9.30 pagi.
"Akibat serangan itu, mangsa yang juga warga tempatan itu parah pada tangan dan kaki. Mangsa menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Suspek ditahan dan polis turut merampas batang besi di rumah suspek yang dipercayai digunakan ketika kejadian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Rozak berkata, punca kejadian disyaki akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
"Suspek yang juga warga tempatan akan direman esok bagi siasatan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa terbaring berhampiran motosikal.
Sementara itu, menantu mangsa yang dikenali sebagai Ong berkata, bapa mentuanya meronta kesakitan, namun dia tidak berani mengangkat atau mengalihkannya.
"Kami hanya mampu menunggu bantuan daripada petugas kesihatan sebelum dia dibawa ke hospital dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan.
"Suspek adalah penduduk di kawasan kejiranan itu dan dipercayai mengalami masalah kesihatan mental," katanya.











