Jumaat, 31 Julai 2026

Tiga pengarah syarikat dituduh salah guna wang NGO, terima wang hasil aktiviti haram lebih RM10 juta

Tiga pengarah syarikat dituduh salah guna wang NGO, terima wang hasil aktiviti haram lebih RM10 juta


Tiga pengarah syarikat didakwa di dua Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam atas pertuduhan menyalahgunakan wang milik Pertubuhan Imaan Malaysia serta menerima wang hasil aktiviti haram dengan jumlah keseluruhan lebih RM10 juta.


Tertuduh ialah Muhammad Jantan, 32, yang juga Pengarah Ya Digital Agency Sdn Bhd; Wan Sharmaine Izani Wan Sarbi, 30, Pengarah SM Conveyor Sdn Bhd; serta Muhammad Ali, 32, yang turut memegang jawatan Pengarah SM Conveyor Sdn Bhd.


Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua hakim berasingan dan memohon untuk dibicarakan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat, Shafiq Mahadi dan Muhammad Amin Azmi.


Di Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam, Muhammad Jantan berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyalahgunakan wang milik Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM1,227,491.23 antara Januari 2022 hingga Januari 2024.


Dia turut menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) kerana didakwa menerima wang berjumlah RM1,994,404.26 daripada akaun perbankan milik SM Conveyor Sdn Bhd ke akaun perbankannya dalam tempoh sama.


Sementara itu, Wan Sharmaine yang juga Pengarah SM Conveyor Sdn Bhd menghadapi 14 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA kerana didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM995,947.01 antara Januari 2022 hingga Februari 2026.


Bagi prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin itu, Muhammad Jantan diwakili peguam Jason Singh manakala Wan Sharmaine diwakili peguam Shahrul Hamidi.


Mahkamah kemudian mengarahkan Muhammad Jantan membayar wang jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin, manakala Wan Sharmaine dikenakan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.


Kedua-dua tertuduh turut diarahkan melapor diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan, tidak berhubung atau mengganggu mana-mana saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.


Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 2 Shah Alam, Muhammad Ali berdepan lapan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA kerana didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1,353,314.95 daripada akaun SM Conveyor Sdn Bhd ke akaun perbankannya antara Januari 2022 hingga Januari 2026.


Dia turut menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyalahgunakan wang milik Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM166,950.


Wan Sharmaine pula berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana didakwa melupuskan wang milik Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM1,298,737.88 antara September 2021 hingga Januari 2022.


Selain itu, kedua-dua tertuduh turut didakwa bersama atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA kerana didakwa menyalahgunakan wang Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM6,510,333.50 dengan memindahkannya ke akaun SM Conveyor Sdn Bhd antara Januari 2022 hingga Januari 2026.


Mahkamah kemudian mengarahkan Muhammad Ali membayar wang jaminan RM120,000 dengan seorang penjamin, manakala Wan Sharmaine dikenakan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.


Kedua-dua tertuduh turut dikenakan syarat sama iaitu perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM setiap bulan, tidak berhubung atau mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.


Kesemua tertuduh akan hadir semula untuk sebutan semula kes pada 27 Ogos ini. Mahkamah turut mengarahkan kes Muhammad Ali dan Wan Sharmaine dipindahkan untuk didengar bersama di Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam.


Antara pengarah syarikat yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas pertuduhan penyalahgunaan wang NGO dan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM10 juta. - Foto SPRM.
Padah aksi 'Superman', warga Singapura terlepas program RXZ Members 8.0

Padah aksi 'Superman', warga Singapura terlepas program RXZ Members 8.0


Padah melakukan aksi 'superman' ketika menunggang motosikal seorang lelaki warga Singapura, ditahan ketika dalam perjalanan bagi menghadiri perhimpunan RXZ Members 8.0 kira-kira 6 petang semalam.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu kerana didapati memandu secara melulu.


Beliau berkata, lelaki berkenaan yang menunggang motosikal Yamaha RXZ ditahan oleh anggota JSPT Terengganu di Kilometer 403 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).


Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan dalam perjalanan menghadiri perhimpunan RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.


"Lelaki itu didapati melakukan aksi 'Superman' semasa menunggang motosikal dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, untuk siasatan lanjut.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya.


Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan mengikut akta berkenaan.


Menurutnya, polis menasihati pengguna jalan raya termasuk peserta program RXZ Members 8.0 supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah.

Khamis, 30 Julai 2026

Tindakan tangkap penagih dadah setiap hari sesuai dengan situasi Kelantan - Saifuddin

Tindakan tangkap penagih dadah setiap hari sesuai dengan situasi Kelantan - Saifuddin


Tindakan Polis Kelantan mengarahkan setiap ketua balai menahan seorang penagih setiap hari adalah strategi dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah di negeri itu.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya memahami mengapa Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengambil langkah itu selepas negeri terbabit mencatat jumlah kes berkaitan dadah yang tinggi.


Katanya, selain Kelantan, negeri seperti Kedah, Perlis dan Terengganu turut berhadapan masalah sama apabila pihak berkuasa berhadapan cabaran dalam menangani kes berkaitan dadah.


"Di Kelantan hampir tak ada kampung yang terlepas dari masalah ini. Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang, Rantau Panjang adalah jajahan yang mencatatkan angka mereka yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang yang serius.


"Antara penjara paling sesak di Malaysia adalah di Pengkalan Chepa, di situ kita letakkan mereka yang sudah sabit hukuman dan direman. Bagi setiap 100 penghuni penjara yang sesak itu, 75 daripadanya adalah mereka terbabit dadah.


"Satu lagi adalah Penjara Machang yang jadi penjara sabitan. Bagi setiap 100 penghuninya, 95 adalah masalah dadah," katanya selepas menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di FELDA Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, hari ini.



Berangkat merasmikan majlis adalah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Sultan Badlishah.


Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kebanyakan penghuni dua penjara terbabit didapati melakukan kesalahan seperti memasukkan dadah ke dalam badan selain memiliki dadah dalam jumlah tertentu.


Katanya, KDN juga menyerahkan kepada Bukit Aman jika mahu melaksanakan kaedah menahan pesalah kes dadah yang diguna pakai di Kelantan di negeri lain selepas ini.


"Jadi apabila Ketua Polis Kelantan gesa ketua balai di bawahnya membuat gerakan menyeluruh, itu sesuai dengan tahap masalah itu di Kelantan ketika ini.


"Sama ada kaedah sama akan digunakan di negeri lain, itu saya serahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman untuk buat keputusan.


"Ini kerana mereka yang melakukan proses pemetaan, profiling dan mempunyai maklumat lengkap berkaitan kes dadah atau kekal status quo seperti sekarang," katanya.


Baru-baru ini, Polis Kelantan memperkenalkan pelan strategi baharu dalam usaha mengekang pengedaran dadah di negeri ini termasuk setiap ketua balai perlu menahan sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari bermula 15 Julai lalu.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pelan strategi itu dilakukan lebih menyeluruh dan berfokus membabitkan semua peringkat.


Katanya, mana-mana pegawai dan anggota yang gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan akan dikenakan tindakan.

Pemandu di bawah pengaruh dadah didakwa bunuh dua remaja

Pemandu di bawah pengaruh dadah didakwa bunuh dua remaja


Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini, atas empat pertuduhan termasuk membunuh dua remaja sekolah, Ahad lalu.


Mengikut pertuduhan, Alex Robert, 28, didakwa membunuh Nur Dania Arissa Salim, 17, dan Nur Atikah Abdullah, 16, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, jam 6.35 petang pada 26 Julai lalu.


Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan ke atas kedua-dua pertuduhan berikutan kes terbabit berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Kedua-dua pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh membawa hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak digantung sampai mati hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.


Bagi pertuduhan ketiga, pekerja swasta di Singapura itu juga didakwa memandu kenderaan jenis Honda Civic di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan kegagalan (tidak berdaya) mengawal kenderaan dengan sepatutnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada pejalan kaki, Adam Arjuna Abdullah, 7, pada masa, lokasi dan tarikh yang sama.


Dalam insiden sama, tertuduh turut didakwa memandu kenderaan yang sama tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan kemalangan kepada A Suresh, 50.


Pertuduhan masing-masing dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(a) dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).


Tertuduh berhadapan dengan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 serta berhadapan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun dari tarikh sabitan.


Bagi pertuduhan keempat, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan juga boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan dan diendorskan pada mana-mana lesen memandu yang dipegang tertuduh.


Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.


Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Izzuddin Fakri Hamdan dan Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala tertuduh diwakili peguam, Koh Shean Wai.


Pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan baharu bagi memperolehi laporan bedah siasat kedua-dua mangsa, laporan toksikologi tertuduh serta laporan berkaitan sebelum pertuduhan dibawa ke Mahkamah Tinggi.


Majistret kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 11 September 2026.

Lelaki Didakwa Miliki Dadah, Keluarkan Simpanan Ibu Angkat RM182,233 Tanpa Kebenaran

Lelaki Didakwa Miliki Dadah, Keluarkan Simpanan Ibu Angkat RM182,233 Tanpa Kebenaran


Seorang lelaki didakwa atas dua pertuduhan menyimpan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan mengeluarkan wang simpanan ibu angkatnya berjumlah RM182,233 tanpa kebenaran di Mahkamah Majistret, Rompin, hari ini.


Tertuduh, Mohamad Nor Farazul Mohamed, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.


Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berasal dari Kampung Alor Ara, Pekan itu didakwa memiliki kad ATM milik Shariffah Fadzilah Syed Nordin, 69.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah gerai Majlis Daerah Pekan di Taman Seri Maulana, Pekan, 28 Julai lalu.


Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana menyimpan, memegang atau mengawal kad ATM orang lain tanpa kebenaran.


Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Nor Farazul didakwa dengan curang mengeluarkan RM182,223 menggunakan kad ATM warga emas terbabit antara 1 April dan 20 Jun lalu di Pekan serta didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.


Jika sabit kesalahan untuk setiap pertuduhan, tertuduh boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda tidak lebih RM50,000.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamisah Ismail dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ahmad Deniel Roslan.


Mahkamah menetapkan 21 September depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 untuk dua pertuduhan itu.


Bagaimanapun lelaki terbabit gagal membayar jaminan berkenaan dan dihantar ke Penjara Penor, Kuantan.


Di mahkamah sama, tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 5.65 gram dan menggunakan barang terlarang itu.


Mohamad Nor Farazul didakwa melakukan dua kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Permatang Perawan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan antara jam 3.10 petang dan 4.35 petang, kelmarin.


Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Mohamad Nor Farazul mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu dan mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 serta sebutan semula kes pada 21 September depan.

Cemburu kenalan ada kekasih, lelaki rosakkan pintu jeriji rumah wanita dengan parang

Cemburu kenalan ada kekasih, lelaki rosakkan pintu jeriji rumah wanita dengan parang


Seorang lelaki berstatus suami orang didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan khianat menggunakan parang dipercayai kerana tidak berpuas hati kenalan wanitanya menjalinkan hubungan dengan individu lain, Mei lalu.


Tertuduh, Edward Xavier, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan khianat iaitu dengan memotong pintu jeriji rumah seorang wanita berusia 37 tahun kira-kira pukul 5.40 petang di sebuah rumah di Pangsapuri Hilir Kota Champor, Jalan Melaka dalam daerah Melaka Tengah, pada 18 Mei 2026.


Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Difahamkan, sebelum kejadian tertuduh telah datang ke rumah mangsa dalam keadaan marah dan memintanya membuka pintu rumah kerana tidak berpuas hati wanita itu menjalinkan hubungan dengan lelaki dikenali sebagai ‘Vinot’.


Mangsa bagaimanapun tidak mengendahkan tertuduh dan memintanya beredar, namun lelaki itu bertindak memecahkan pintu jeriji rumah menggunakan sebilah parang dibawanya.


Dalam prosiding sama tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan khianat di bawah seksyen sama kerana memecahkan cermin belakang dan cermin sisi kereta jenis Proton Persona milik adik ipar perempuannya sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM890 pada pukul 10.30 pagi di Pangsapuri Sri Johor, Semabok dalam daerah Melaka Tengah, 17 Mei lalu.


Tindakan itu dipercayai dilakukan tertuduh kerana tidak berpuas hati adik iparnya itu telah membantu isterinya membuat laporan polis mendakwa dia telah melarikan motosikal milik pasangannya itu.


Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Thivia mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.


Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya melakukan kerja kontrak, selain mempunyai enam orang anak.


Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 22 September depan sebagai sebutan semula kes.

Lelaki warga asing ditahan disyaki terlibat kes rogol remaja perempuan bawah umur

Lelaki warga asing ditahan disyaki terlibat kes rogol remaja perempuan bawah umur


Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan bawah umur yang dilaporkan hilang dari rumah sebelum ditemui semula di Bandar Fajar, Tawau kelmarin.


Suspek berusia lingkungan 18 tahun itu ditahan dalam operasi sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kawasan tempat letak kereta sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas.


Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, siasatan dijalankan selepas bapa mangsa membuat laporan polis memaklumkan anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah sudah ditemui di kawasan Fajar dekat pusat bandar.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengaku tinggal bersama suspek di sebuah bilik sewa di Jalan Haji Karim, Bandar Fajar dan mendakwa berlaku persetubuhan antara mereka.


"Susulan maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau melancarkan operasi bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di Batu 2, Jalan Apas," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek ialah warga asing yang berada di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.


"Hasil semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Proses ketum dalam hutan, lelaki ditahan bersama 277 bungkusan air ketum

Proses ketum dalam hutan, lelaki ditahan bersama 277 bungkusan air ketum


Taktik licik seorang lelaki yang memproses air ketum dalam hutan dengan berselindung di sebalik khemah yang dipasangnya terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Belukar, Pasir Mas petang semalam.


Serbuan jam 3.30 petang menerusi Op Taring Wawasan oleh pasukan khas Batalion 7 itu membawa kepada tangkapan lelaki berusia 38 tahun dan 277 bungkus air ketum selain peralatan yang digunakan untuk memproses bahan terlarang itu.


Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan dilakukan hasil intipan yang dilakukan pihaknya.


"Menerusi serbuan di kawasan hutan terbabit, suspek memasang khemah dengan di dalamnya terdapat peralatan memproses air ketum termasuk periuk, dapur dan tong gas selain 277 bungkusan air ketum yang sudah siap di proses.


"Susulan itu kita menahan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan nilai rampasan keseluruhan adalah lebih RM10,000.


"Hasil soal siasat, suspek mendakwa mendapatkan bekalan daum ketum terbabit dengan harga RM40 bagi sekilogram.


"Suspek turut mendakwa bekalan air ketum yang siap direbus itu akan dijual kepada individu sekitar kampung berkenaan dengan harga RM10 untuk satu bungkusan plastik," katanya.


Jelasnya, suspek dipercayai mula menjual air ketum terbabit sejak tiga bulan lalu.


"Pemantauan dan pemeriksaan di sektor Pasir Mas akan terus dipergiatkan bagi memastikan bagi memastikan tiada sebarang aktiviti penyalahgunaan ketum," katanya.


PGA merampas 277 bungkusan air ketum dan menahan seorang lelaki di kawasan hutan Kampung Belukar. - Foto PGA.
Pegawai polis digantung tugas dipercayai dalang sindiket edar dadah bernilai RM21.3 juta

Pegawai polis digantung tugas dipercayai dalang sindiket edar dadah bernilai RM21.3 juta


Pegawai polis yang digantung tugas sejak 2024 dan dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan dan luar negara, antara lima lelaki yang ditahan dalam Op Waja oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).


Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi itu bermula Sabtu lalu hingga semalam yang membabitkan JSJN Bukit Aman serta JSJN Kuala Lumpur dan Selangor.


Menurutnya, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket berkenaan susulan penahanan lima lelaki tempatan berusia antara 39 hingga 46 tahun di sekitar Cheras dan Selangor.


"Polis turut merampas 410 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 425.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM21.3 juta.


"Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan membabitkan ahli-ahli sindiket dari Kelantan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini.


Hussein berkata, sindiket terbabit menggunakan rumah teres di sekitar Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan, sebelum dadah diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.


"Semakan mendapati pegawai polis yang digantung tugas itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.


"Semua suspek direman selama enam hari bermula 26 hingga 31 Julai bagi membantu siasatan," katanya.


Beliau berkata, saki-baki ahli sindiket sedang dikenal pasti dan JSJN akan mengambil tindakan agresif untuk menghapuskan aktiviti pengedaran dadah.


"PDRM tidak sesekali berkompromi dengan pegawai polis atau sesiapa sahaja yang menjadi petualang dalam pasukan dengan penglibatan dalam aktiviti pengedaran dadah," katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tular video 'beli undi', calon BN DUN Chuah buat laporan polis

Tular video 'beli undi', calon BN DUN Chuah buat laporan polis


Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Pau Jeou Ching membuat laporan polis susulan tular satu video di media sosial yang didakwa memaparkan aktiviti agihan wang serta risalah yang dikaitkan dengannya.


Menurut Jeou Ching, video berkenaan adalah cubaan untuk memfitnah serta merosakkan reputasinya.


"Setelah menyedari mengenai kewujudan video tular ini, saya segera menyerahkannya kepada pihak polis untuk siasatan susulan.


"Memandangkan video itu jelas merakam mereka yang hadir, maka ia pastinya memudahkan pihak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh seterusnya mendedahkan kebenaran," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau turut mengutuk sekeras-kerasnya sebarang percubaan memfitnah, sengaja memanipulasi rakaman video atau menggunakan teknologi bagi mengelirukan orang ramai.


Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak terpedaya dengan fitnah, menghentikan penyebaran berita palsu dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.


Sebelum ini tular video dan beberapa gambar di media sosial yang memaparkan orang ramai beratur di sebuah restoran di Chuah dipercayai untuk menerima wang sebagai imbuhan yang diberikan oleh sebuah parti sempena pilihan raya ini.


Bagaimanapun calon PH Chuah, Datuk Yew Boon Lye menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan beliau dengan video tular tersebut dan turut membuat laporan polis.


Beliau menegaskan tidak pernah terlibat, merestui atau mengarahkan mana-mana individu menawarkan wang atau apa-apa bentuk imbuhan sebagai pertukaran untuk mendapatkan undi.


"Saya sentiasa menentang sekeras-kerasnya politik wang dan perbuatan membeli undi.


"Menggunakan wang untuk mempengaruhi pilihan pengundi bukan sahaja melanggar undang-undang pilihan raya, malah mencabuli hak pengundi untuk membuat pilihan secara bebas serta merosakkan keadilan dan maruah sistem demokrasi," katanya.


Tular satu video di media sosial yang didakwa memaparkan aktiviti agihan wang serta risalah yang dikaitkan dengan calon BN bagi DUN Chuah itu.