Khamis, 30 Julai 2026

Cemburu kenalan ada kekasih, lelaki rosakkan pintu jeriji rumah wanita dengan parang


Seorang lelaki berstatus suami orang didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan khianat menggunakan parang dipercayai kerana tidak berpuas hati kenalan wanitanya menjalinkan hubungan dengan individu lain, Mei lalu.


Tertuduh, Edward Xavier, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan khianat iaitu dengan memotong pintu jeriji rumah seorang wanita berusia 37 tahun kira-kira pukul 5.40 petang di sebuah rumah di Pangsapuri Hilir Kota Champor, Jalan Melaka dalam daerah Melaka Tengah, pada 18 Mei 2026.


Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Difahamkan, sebelum kejadian tertuduh telah datang ke rumah mangsa dalam keadaan marah dan memintanya membuka pintu rumah kerana tidak berpuas hati wanita itu menjalinkan hubungan dengan lelaki dikenali sebagai ‘Vinot’.


Mangsa bagaimanapun tidak mengendahkan tertuduh dan memintanya beredar, namun lelaki itu bertindak memecahkan pintu jeriji rumah menggunakan sebilah parang dibawanya.


Dalam prosiding sama tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan khianat di bawah seksyen sama kerana memecahkan cermin belakang dan cermin sisi kereta jenis Proton Persona milik adik ipar perempuannya sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM890 pada pukul 10.30 pagi di Pangsapuri Sri Johor, Semabok dalam daerah Melaka Tengah, 17 Mei lalu.


Tindakan itu dipercayai dilakukan tertuduh kerana tidak berpuas hati adik iparnya itu telah membantu isterinya membuat laporan polis mendakwa dia telah melarikan motosikal milik pasangannya itu.


Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Thivia mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.


Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya melakukan kerja kontrak, selain mempunyai enam orang anak.


Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 22 September depan sebagai sebutan semula kes.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon