Jumaat, 17 Oktober 2025

3 lelaki tak mengaku rompak berkumpulan di sebuah kondominium

3 lelaki tak mengaku rompak berkumpulan di sebuah kondominium


Dua penganggur dan seorang penarik kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di George Town hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan di sebuah kondominium di Persiaran Gurney, 7 Oktober lalu.


Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh, K. Nagarajan, 52, S. Arunkumar, 24 dan R.Raman, 30, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan berkenaan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.


Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama-sama didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua lelaki berusia 40 dan 49 tahun dengan merompak 21 barangan di kondominium Persiaran Gurney di George Town, kira-kira pukul 5 petang, 7 Oktober lalu.


Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara yang boleh sampai 20 tahun dan sebatan.


Ketika prosiding, jurubahasa turut membacakan senarai 21 barangan yang dirompak daripada mangsa antaranya sebuah kereta Jaguar warna biru, sebuah kotak warna merah bertulisan Alis Jewellers & Gems Sdn. Bhd, patung dewa warna keemasan berukuran lebih kurang 18 sentimeter (cm) dan lebih kurang 9.5cm.


Turut disebut ialah lapan bentuk gelang tangan, tiga utas rantai leher, dua pasang subang telinga, satu bentuk subang hidung warna keemasan, satu bentuk subang telinga dan tiga utas rantai leher warna keemasan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh pertama dan kedua iaitu Nagarajan dan Arunkumar diwakili peguam, Mohamed Firdaus M. Farouk, tertuduh ketiga iaitu Raman diwakili peguam, K. Mahendran.


Ketika prosiding, Mohamed Firdaus berkata, anak guamnya yang pertama, Nagarajan adalah seorang penganggur dan perlu menanggung dua anak dan isteri manakala yang kedua masih bujang.


Mahendran yang mewakili tertuduh ketiga yang bekerja sebagai penarik kereta juga memohon agar wang jaminan dikurangkan memandangkan gaji anak guamnya hanya RM1,800 dan perlu menanggung lima anak malah isterinya juga sedang sarat mengandung.


Hakim kemudian memutuskan wang jaminan berjumlah RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak menggangu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 27 November depan.


Ketiga-tiga tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di George Town, hari ini. - Foto Kosmo Online.

Khamis, 16 Oktober 2025

KDN lupus alat mainan seks sebanyak 4,667 unit bernilai RM146,000

KDN lupus alat mainan seks sebanyak 4,667 unit bernilai RM146,000


Kementerian Dalam Negeri (KDN) melupuskan sebanyak 4,667 unit alat mainan seks seberat 5.5 tan dengan anggaran nilai RM146,000 hasil rampasan sekitar Selangor.


Menurut kenyataan KDN pada Khamis, barangan terlarang itu merupakan hasil pelbagai operasi penguatkuasaan yang telah selesai melalui proses mahkamah antara Julai 2023 hingga Jun 2024.


"Tindakan pelupusan ini dilaksanakan setelah kesemua barangan tersebut diputuskan untuk dilucuthak melalui perintah mahkamah di bawah Seksyen 19(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984," jelas kenyataan itu.


KDN memaklumkan, proses pelupusan dijalankan mengikut Garis Panduan Pengurusan Pelupusan Barang Kes/Tahan/Eksibit yang dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK KDN).


"Ia dilaksanakan bagi memastikan semua alat mainan seks berkenaan dimusnahkan sepenuhnya supaya tidak lagi berbentuk asal atau berfungsi.


"KDN komited melaksanakan penguatkuasaan dengan tegas dalam membanteras bahan atau penerbitan yang memudaratkan kemoralan, ketenteraman awam serta bertentangan dengan sosiobudaya masyarakat Malaysia," katanya.


Menurutnya, aktiviti seumpama ini bukan sahaja tidak bermoral, tetapi boleh menjejaskan nilai dan norma kehidupan masyarakat.


"KDN akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam mencetak, mengimport, menghasilkan, menerbit, menjual atau mengedar hasil penerbitan larangan yang boleh menjejaskan kemoralan, keselamatan negara atau kepentingan awam," katanya.


KDN melupuskan sebanyak 4,667 unit alat mainan seks seberat 5.5 tan dengan anggaran nilai RM146,000 hasil rampasan sekitar Selangor. - Foto Bernama.
Wanita terkejut ular sawa tiba-tiba muncul depan periuk sup ayam

Wanita terkejut ular sawa tiba-tiba muncul depan periuk sup ayam


Seorang pengguna media sosial berdepan detik cemas apabila seekor ular sawa tiba-tiba muncul di dapurnya ketika dia baru sahaja selesai memasak.


Menerusi satu hantaran video di TikTok, pengguna akaun @intanshazrina sempat merekod reptilia berkenaan yang kelihatan tenang berada di kawasan dapurnya.


"Bila ada tetamu yang tak diundang nak makan sup ayam yang kau baru masak," tulisnya di ruangan kapsyen.


Menurutnya di ruangan komen, dia tidak menyedari kehadiran ular tersebut sehingga dia pergi menghampiri kawasan dapur ketika ingin mengambil lauk.


"Saya tak perasan. Waktu nak tambah lauk saya buka penutup periuk, tahu-tahu ada depan muka.


"Dari jauh nampak benda berjuntai, tapi saya ingat besi sebab saya rabun. Dah buka periuk baru saya perasan, nasib baik tak kena sambar," katanya.


Rata-rata pengguna media sosial turut terkejut dan meninggalkan komen lucu terhadap kejadian itu.


"Beraninya ambil gambar, kalau saya memang tak pandang lagi dah. Terus lari jauh-jauh," komen seorang pengguna.


"Terliur sangat tu cara renung, teringin sangat sup ayam sampai air liur pun ikut meleleh," kata pengguna lain.


"Gelinya. Ni kalau depan mata aku, tak tahu lah. Memang terkejut, sumpah seranah, makian semua dia kena," komen seorang lagi pengguna.


Tangkap layar video memaparkan seekor ular sawa muncul di kawasan dapur.

Rabu, 15 Oktober 2025

Pemuda mengaku bersalah bunuh, bakar kekasih hamil dihukum gantung sampai m∆ti

Pemuda mengaku bersalah bunuh, bakar kekasih hamil dihukum gantung sampai m∆ti


Mahkamah Tinggi Klang, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pemuda yang mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil di Sabak Bernam, dua tahun lepas.


Hakim Norazlin Othman membuat keputusan itu selepas Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, mengekalkan pengakuan bersalahnya.


Dia didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun serta maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.


Dalam penghakimannya, Norazlin berkata, mahkamah berpuas hati dengan pengakuan yang dibuat oleh tertuduh tanpa syarat dan mengakui fakta kes serta eksibit yang dikemukakan pihak pendakwaan kepadanya adalah benar.


Beliau berkata, selepas mengambil kira keseriusan perbuatan itu yang disifatkan sebagai 'kejam' serta hakikat kes itu yang menjurus kepada jenayah yang dirancang, ia memerlukan satu hukuman berat jika dibandingkan dengan jenayah bersifat spontan.


"Dalam kes ini, bukan sekadar satu nyawa terkorban iaitu si mati tetapi juga anak yang dikandungnya selama 18 minggu... dalam kes ini, hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kesan bakar yang meliputi hampir seluruh tubuh.


"Lebih sadis lagi, di bahagian perut terdapat usus dan kandungan yang terkeluar… si mati juga mengalami kesan-kesan luka tikam dan hiris di abdomen serta tapak tangan.


"Tertuduh juga dikatakan telah memukul kepala si mati menggunakan kayu sehingga jatuh serta mengheretnya ke tepi parit dan mengambil pisau di kereta lantas menikam perut dan menghiris leher si mati," katanya.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zulkifli mengemukakan 112 eksibit kepada mahkamah antaranya imej ultrabunyi kandungan, pisau, sebatang kayu serta pakaian mangsa.


Beliau berkata, kesalahan itu amat serius kerana melibatkan nyawa manusia apatah lagi mangsa yang hamil ketika kejadian.


"Cara mangsa meninggal dunia terlalu kejam dan tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian rupa… tertuduh mempunyai perancangan untuk melakukan jenayah berkenaan dan kesalahan ini melibatkan faktor kepentingan awam dan perlu menjadi pengajaran kepada semua," katanya.‎


Peguam Muhammad Nor Tamrin dalam mitigasi pula berkata, anak guamnya telah dijadikan sebagai kambing hitam susulan laporan DNA (Asid Deoksiribonukleik) Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan bahawa janin berusia 18 minggu itu bukan milik Muhammad Fakrul. 


Beliau berkata, Muhammad Fakrul juga berdepan tekanan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya suami kepada sepupu mangsa dan telah menggugut tertuduh untuk bertanggungjawab terhadap kandungan tersebut.


"Tertuduh merupakan seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi dan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan juga disiplin serta menunjukkan pencapaian yang cemerlang dengan gred keputusan peperiksaan terakhirnya ialah 3.80," kata beliau. ‎


Justeru, Muhammad Nor memohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum dengan mengambil kira pengakuan bersalah yang dibuat oleh tertuduh sebelum perbicaraan bermula.


Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Muhammad Fakrul Aiman yang mengaku bersalah membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil di Sabak Bernam, dua tahun lepas. - Foto fail Bernama.
Lelaki ditahan, tak sempat jual mercun, minuman keras sambut Deepavali

Lelaki ditahan, tak sempat jual mercun, minuman keras sambut Deepavali


Seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan bersama pelbagai jenis mercun yang disyaki untuk dijual di pasaran tempatan menjelang perayaan Deepavali dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bandar Baru, Pokok Sena, semalam.


Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan Op Taring Landai itu dilakukan sepasukan anggota Unit Risikan Marin PPM Langkawi kira-kira pukul 1.30 tengah hari.


"Hasil serbuan mendapati terdapat seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun di dalam rumah tersebut dan pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun di dalam kotak.


"Kesemua mercun yang dianggarkan bernilai RM26,285 tersebut didapati tidak mempunyai sebarang dokumen sah dan dipercayai untuk pasaran tempatan khususnya menjelang Deepavali ini," katanya hari ini.


Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.


Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pasukan sama turut menyerbu sebuah rumah di kawasan sama dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun bersama sejumlah minuman keras pelbagai jenama tanpa dokumen sah.


"Kesemua minuman keras itu dianggarkan bernilai RM7,900 yang mana kesalahan itu adalah di bawah Akta Kastam 1967," ujarnya.


Tambahnya, kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar untuk tindakan lanjut.


Suspek ditahan bersama sejumlah mercun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bandar Baru, Pokok Sena semalam. - Foto PPM.

Selasa, 14 Oktober 2025

2 tahun bersekedudukan dengan tukang rumah warga asing hingga lahir anak

2 tahun bersekedudukan dengan tukang rumah warga asing hingga lahir anak


Wanita dicekup pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki bersekedudukan dengan lelaki warga asing hingga melahirkan anak.


Serbuan dilakukan pada 10 pagi semalam di sebuah rumah, di Muar, yang ketika itu didiami wanita berusia 30-an bersama pasangannya dari negara jiran yang bekerja sebagai tukang rumah.


Menurut JAINJ, ketika serbuan dilakukan didapati seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dalam keadaan berkain pelikat tanpa baju, manakala terdapat seorang wanita hanya berkemban dengan kain batik.


Katanya, ketika serbuan itu, lelaki terbabit cuba melarikan diri melalui pintu belakang namun berjaya dikejar penguat kuasa.


"Hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu tinggal di rumah terbabit sejak dua tahun lalu.


"Siasatan lanjut juga mendapati wanita berkenaan ada melahirkan seorang anak di sebuah hospital yang kini berusia tiga bulan dan mempunyai sijil lahir," katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, pasangan itu mendakwa mereka sudah bernikah di negara jiran namun mereka gagal mengemukakan surat pernikahannya.


"Gambar yang ditunjukkan sambil memakai baju raya meragukan dan ia bukan gambar ketika mereka akad nikah.


"Pasangan itu juga tidak dapat mengingati tarikh pernikahan mereka.


"Selain itu, penguat kuasa juga meminta wanita itu menunjukkan pasport ke negara jiran namun dia memberitahu memasukinya secara gelap.


"Justeru, pasangan itu ditahan bagi membantu siasatan dan mereka akan didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.


"Hukumannya adalah denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau sebatan ataupun ketiga-tiga hukuman terbabit, jika didapati bersalah," katanya.


Penguatkuasa JAINJ menyerbu rumah didiami wanita dan tukang rumah warga asing, semalam. - Foto JAINJ.

Isnin, 13 Oktober 2025

Lelaki mengamuk bawa pisau pemotong daging diberkas polis

Lelaki mengamuk bawa pisau pemotong daging diberkas polis


Suasana di Taman Jasa, Ijok, Kuala Selangor pada petang semalam kecoh apabila seorang lelaki tiba-tiba mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging sebelum berjaya ditenangkan polis yang bergegas ke lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 6 petang memaklumkan tentang kejadian seorang lelaki mengamuk dan cuba menyerang orang awam di kawasan perumahan berkenaan.


"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Bestari Jaya bergegas ke lokasi dan mendapati suspek sedang menjerit sambil memegang pisau pemotong daging.


"Anggota polis berjaya menenangkan keadaan sebelum menahan lelaki itu tanpa sebarang kecederaan berlaku kepada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini (Isnin).


Azaharudin berkata, suspek kini direman enam hari bermula Isnin hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Terdahulu tular video di media sosial satu rakaman memaparkan detik cemas ketika polis terpaksa mengeluarkan pistol bagi menenangkan seorang lelaki yang mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging dalam kejadian berkenaan.


Menerusi video 30 saat itu, beberapa anggota polis tiba dan menghalakan senjata api ke arah suspek sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak kejadian tidak diingini.


Polis memberkas suspek mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging di Taman Jasa, Ijok pada Ahad. - Foto Sinar Harian.
Pengantin lelaki luar biasa, pecah batu bata guna kepala depan isteri

Pengantin lelaki luar biasa, pecah batu bata guna kepala depan isteri


Seorang pengantin lelaki mengundang perhatian ramai kerana memecahkan batu bata dengan kepalanya di hadapan isteri untuk memikat wanita berkenaan, lapor portal berita Lambe Turah.


Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan pengantin lelaki meminta izin daripada isterinya untuk memecahkan bata.


Selepas diberi kebenaran, dia menghantuk kepalanya dengan kuat sehingga bata-bata tersebut pecah.


Pengantin perempuan tersenyum dan menutup mulutnya dengan tangan seolah-olah terpukau dengan kekuatan si suami. 


Rakaman itu mencatatkan lebih 41,500 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 


"Nasib baik pecah, kalau tidak mesti malu," kata seorang netizen. 


"Saya yang malu," kata pengguna media sosial lain.


Tangkap layar video menunjukkan pengantin lelaki memecahkan bata untuk membuat calon isterinya terpukau. - Foto TikTok.

Ahad, 12 Oktober 2025

Penduduk serbu rumah penternak, mahu lihat anak lembu kepala dua

Penduduk serbu rumah penternak, mahu lihat anak lembu kepala dua


Seorang penternak haiwan di Bondowoso, wilayah Jawa Timur terkejut apabila seekor lembu betina peliharaannya melahirkan anak berkepala dua, lapor portal berita Times Indonesia.


Anak lembu itu dilahirkan di Desa Kerang pada pagi semalam.


Pemilik haiwan dikenali sebagai Fauzi berkata, rumahnya dikunjungi penduduk setempat dari pagi hingga petang semata-mata untuk menyaksikan anak lembu itu.


"Meskipun dilahirkan secara tidak normal, anak lembu itu masih hidup. Saya memberikan susu perahan daripada induknya dengan menggunakan botol susu.


"Proses kelahiran berlangsung selama 20 minit dengan bantuan doktor veterinar dan penduduk tempatan," kata Fauzi. 


Tambah Fauzi, haiwan yang mempunyai kelainan genetik jarang hidup lebih lama terutamanya jika terdapat luka di kepala.


"Kalau otaknya satu, ia mampu hidup lama. Namun, kalau terdapat dua otak, peluang hidupnya tipis," katanya.


Anak lembu berkepala dua itu dilahirkan di Desa Kerang pada pagi semalam. - Foto Times Indonesia.
Disangka biawak, lelaki nyaris diserang king cobra di rumahnya

Disangka biawak, lelaki nyaris diserang king cobra di rumahnya

 

Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila seekor ular tedung selar sepanjang empat meter hampir menyerangnya dalam kejadian di Kampung Che Wal, Telekong di Kuala Krai semalam.


Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku ketika lelaki berusia lingkungan 50-an tersebut sedang membersihkan kawasan rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi pelik.


Ketua Operasi, Pegawai Bomba Sukarelawan Guchil, Mohd Hamdan Mahadi berkata, pada peringkat awal mangsa menyangkakan haiwan tersebut adalah biawak, namun terkejut apabila mendapati ia seekor ular.


"Kehadiran reptilia itu disedari semasa lelaki berkenaan mahu mengusirnya keluar.


"Ular tersebut bertindak agresif dan cuba menyerang mangsa sebelum menyusur ke arah dapur dan bersembunyi di bawah rak pinggan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut beliau, lelaki berkenaan kemudian menghubungi Bomba Sukarelawan Guchil untuk mendapatkan bantuan.


Beliau berkata, pasukan mengambil masa kira-kira dua minit untuk menangkap ular tedung selar berkenaan.


Ujarnya, reptilia itu akan dibebaskan semula ke kawasan habitat asal yang jauh dari kediaman penduduk kampung.


"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kawasan rumah bersih kerana keadaan cuaca sekarang mendorong ular mencari tempat perlindungan di kawasan kediaman," katanya.


Mohd Hamdan menunjukkan ular tedung selar yang hampir menyerang seorang lelaki di Kampung Che Wal, Telekong, Kuala Krai pada Sabtu. - Foto Bomba.