Rabu, 8 Oktober 2025

Lapan perompak kedai emas di Siam mungkin sudah menyorok di Kelantan

Lapan perompak kedai emas di Siam mungkin sudah menyorok di Kelantan


Pasukan Gerakan Am (PGA) memperketat kawalan di sempadan termasuk bagi mengekang kemasukan lapan penjenayah yang merompak kedai emas membabitkan kerugian lebih RM3 juta di Sungai Golok, Ahad lalu.


Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju, berkata selain kawalan di sempadan, pemeriksaan dan sekatan jalan raya turut dipertingkatkan.


"Kita sudah dimaklumkan berhubung kejadian rompakan di sebuah pusat membeli belah di Sungai Golok. Susulan itu kita perketatkan elemen Op Taring di sempadan.



"Langkah berjaga-jaga dilakukan sejak awal lagi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.


"Saya juga sudah memaklumkan kepada anggota bertugas supaya meningkatkan kawalan termasuk di sekatan jalan," katanya tadi.


Terdahulu media melaporkan, pihak berkuasa Thailand tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan ahli kumpulan penjenayah yang merompak kedai emas di Pasar Raya Big-C Sungai Golok, Thailand lolos ke Malaysia.


Jurucakap Polis Wilayah 9 dilaporkan berkata, andaian itu berpandukan kepada penemuan dua pacuan empat roda disyaki digunakan kumpulan terbabit di kebun sawit di Mukim Kayukhla, Daerah Waeng, Isnin lalu.


Lapan lelaki bersenjata merompak sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah Big C di pekan Sungai Golok, Thailand, Ahad lalu. - Foto Polis Thailand.
Tak sedar lampu merah, pemandu rempuh dua pelajar perempuan di Sentul

Tak sedar lampu merah, pemandu rempuh dua pelajar perempuan di Sentul


Dua pelajar perempuan dirempuh sebuah kereta ketika sedang melintas jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Sentul, Khamis lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang masing-masing berusia 14 tahun dipercayai sedang melintasi jalan di Jalan Sentul sebelum dilanggar sebuah Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai tidak menyedari lampu isyarat merah semasa melalui lokasi kejadian.


"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua pelajar berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan menerima rawatan di hospital berhampiran.


"Pemandu berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.


Terdahulu, tular video memaparkan sebuah kereta melanggar dua pelajar berdekatan sebuah sekolah di Kuala Lumpur.


Tular video memaparkan sebuah kereta melanggar dua pelajar berdekatan sebuah sekolah di Sentul.
Bekas pengarah syarikat didakwa 41 pertuduhan pindah wang RM16.35 juta

Bekas pengarah syarikat didakwa 41 pertuduhan pindah wang RM16.35 juta


Seorang bekas pengarah sebuah syarikat pembuatan didakwa di tiga Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas 41 pertuduhan menyebabkan pemindahan wang berjumlah RM16.35 juta sehingga syarikat berkenaan mengalami kerugian.


Tertuduh Choong Lee Aun, 59, mengaku tidak bersalah selepas 15 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron, 14 pertuduhan di hadapan Hakim Azrol Darus dan 12 pertuduhan di hadapan Hakim Norma Ismail.


Mengikut semua 41 pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah sebuah perbadanan tersenarai, iaitu AT Systematization Berhad (kini dikenali sebagai Erdasan Group Berhad), didakwa menyebabkan syarikat itu memindahkan wang RM16.35 juta kepada Delta Million Dynamic Sdn Bhd dan Midas Mode Sdn Bhd dengan niat menyebabkan kerugian secara salah terhadap AT Systematization.


Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Kota Damansara antara 20 Jun 2020 hingga 30 Nov 2021, mengikut Subseksyen 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 [Akta 671] dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 317A(3) akta sama.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak melebihi RM10 juta.


Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Sekuriti (SC) Shoba Venu Gobal memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3 juta dengan enam penjamin warga tempatan bagi semua pertuduhan, mengambil kira keseriusan kes berkenaan yang membabitkan jumlah kerugian besar.


"Selain itu, pihak pendakwaan memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di Pejabat SC pada setiap bulan," katanya yang mengendalikan kes bersama TPR Hashley Tajudin, Izuddin Mohamad dan Pegawai Pendakwa SC Puteri Maryam Sofia Megat Joha.


Bagaimanapun, peguam tertuduh Nicholas Cheoh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya perlu menyara isteri serta dua anak yang masih menuntut di universiti, selain mempunyai masalah kesihatan dan pernah menjalani tiga pembedahan angioplasti.


"Anak guam saya seorang profesional dalam bidang teknologi dan sebelum menyertai syarikat berkenaan, beliau berhasrat untuk bersara. Anak guam saya juga pulang ke Malaysia dari Thailand secara sukarela sebelum ditahan pihak SC," katanya.


Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 Nov ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM420,000 dengan enam penjamin warga tempatan bagi semua pertuduhan, serta syarat tambahan dimohon pendakwaan.

Selasa, 7 Oktober 2025

Lelaki menyamar penghantar barang maut selepas rogol, samun wanita di Wangsa Maju

Lelaki menyamar penghantar barang maut selepas rogol, samun wanita di Wangsa Maju


Lelaki yang menyamar sebagai penghantar barang maut selepas bergelut dengan polis dalam usaha memberkasnya kerana disyaki terbabit kes samun dan rogol di sebuah kondominium di Wangsa Maju, semalam.


Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari suspek berusia 26 tahun cuba menyerang anggota polis dengan dengan pisau.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pecah rumah pada 12.40 tengah hari sebelum dua anggota ke lokasi bagi tindakan lanjut.


Menurutnya, anggota yang tiba di lokasi kemudian memanggil penghuni rumah berkenaan namun tidak dijawab sebelum seorang lelaki membuka pintu rumah kira-kira lima minit kemudian.


"Anggota yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kemudian masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan sebelum suspek bertindak mengeluarkan pisau pemotong daging dan cuba menetak anggota polis terbabit.


"Bagaimanapun anggota berjaya mengelak dan berlaku pergelutan serta suspek turut menumbuk muka dan menggigit tangan anggota.


"Suspek kemudian berjaya ditahan dengan turut dibantu pengawal keselamatan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, suspek kemudian mengadu sesak nafas dan polis menghubungi ambulans untuk tindakan lanjut sebelum pegawai perubatan yang tiba mendapati lelaki berkenaan sudah meninggal dunia selepas menjalankan pemeriksaan.


"Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur, hari ini mendapati punca kematian suspek 'pending investigation'.


"Pemeriksaan pada tubuh badannya oleh Pegawai Perubatan Forensik tidak menemui sebarang kecederaan nyata.


"Hasil semakan mendapati suspek berusia 26 tahun itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes samun," katanya.


Fadil berkata, siasatan mendapati terdapat empat wanita tempatan berada di rumah berkenaan pada hari kejadian dan suspek masuk ke dalam rumah dengan menyamar sebagai penghantar barang.


"Suspek mengikat tangan ke empat-empat mangsa dan mengurung tiga daripadanya di dalam bilik tidur utama.


"Seorang lagi mangsa dibawa ke bilik kedua dan dirogol oleh suspek sebanyak dua kali di dalam bilik dan di tandas.


"Keempat-empat mangsa turut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, muka dan badan.


"Semasa kejadian suspek menyamun wang tunai RM200 dan kad ATM milik mangsa sebelum merogolnya," katanya.

Ahad, 5 Oktober 2025

Dua wanita rakan baik disyaki berkhalwat bersama seorang lelaki di hotel

Dua wanita rakan baik disyaki berkhalwat bersama seorang lelaki di hotel


Dua wanita bersama seorang lelaki ditangkap penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), selepas disyaki berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di Johor Bahru, awal pagi hari ini.


Menurut JAINJ, kesemua mereka yang masih bujang ditahan kira-kira 2.15 pagi dalam satu operasi.


"Lima minit selepas pintu diketuk seorang lelaki membuka pintu sedikit sahaja dan sebaik mengetahui kehadiran penguat kuasa, lelaki berusia kira-kira 30-an kembali menutup semula pintu.


"Penguat kuasa terus memanggil dan mengetuk pintu sebelum pintu dibuka lima minit kemudian.


"Turut ditemui dua wanita berusia sekitar 20-an berpakaian lengkap di bilik itu.


"Ketika ditanya tujuan berada dalam bilik ini, lelaki itu memaklumkan dua wanita ini baru saja masuk untuk menumpang tandas kerana tandas stesen minyak berdekatan sudah tutup," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Bagaimanapun, alasan tersebut tidak boleh diterima berikutan ketiga-tiga mereka beralamat di Johor Bahru dan tiada alasan untuk tidur di hotel.


"Dua wanita ini adalah kawan baik dan mengenali lelaki ini atas urusan kerja.


"Hotel didaftar atas nama lelaki dan dia yang mengajak dua wanita ini ke bilik hotel.


"Selepas diperiksa ketiga-tiga mereka ini tiada hubungan mahram dan boleh dikatakan melakukan kesalahan khalwat," katanya.


Ketiga-tiga individu ditangkap atas kesalahan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


Dua wanita bersama seorang lelaki ditangkap khalwat di sebuah bilik hotel dalam operasi JAINJ, awal pagi hari ini. - Foto JAINJ.

Sabtu, 4 Oktober 2025

Kanak-kanak dua tahun maut dihempap tiang pagar konkrit rumah sewa

Kanak-kanak dua tahun maut dihempap tiang pagar konkrit rumah sewa


Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan maut selepas dihempap tiang pagar konkrit rumah sewa keluarganya yang runtuh di Taman Bukti Kristal, Seremban, semalam (Jumaat).


Mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.14 malam ketika di zon kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, pihaknya menerima maklumat kejadian itu berlaku jam 7.15 malam.


"Mangsa dikatakan bermain dengan kakaknya sebelum tiang pagar yang tidak kukuh itu tumbang lalu menghempap mangsa.


"Ibu mangsa segera membawa mangsa ke HTJ, namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.14 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, bedah siasat dijalankan di Hospital Rembau mendapati punca kematian adalah kenderaan kepala akibat hentakan objek berat dan tiada kecederaan lain yang dikesan.


Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan struktur binaan di kediaman dipasang dengan selamat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.


"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.


Tiang pagar runtuh yang menghempap seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun. - Foto Sinar Harian.

Jumaat, 3 Oktober 2025

JIM tumpas kegiatan warga asing tawar perkhidmatan seks di media sosial

JIM tumpas kegiatan warga asing tawar perkhidmatan seks di media sosial


Seramai 29 warga asing dan empat individu tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di tiga lokasi di Selangor, Rabu lalu kerana terbabit dengan kegiatan menawarkan perkhidmatan seks melalui media sosial.


Op Gegar itu dilakukan di Klang dan Puchong, susulan JIM mengesan kegiatan tidak bermoral itu menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram.


JIM dalam kenyataan berkata pertama pada jam 3.20 petang dilakukan di sebuah hotel di Klang yang disyaki menjadi sarang aktiviti pelacuran.


Dalam operasi itu, 13 wanita warga asing berusia antara 19 hingga 53 tahun ditahan terdiri daripada lima warga Thailand, enam warga Indonesia dan dua warga Vietnam.


Dua wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembersih tanpa pas sah turut diberkas, selain dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga.


Siasatan mendapati bayaran perkhidmatan seks ditawarkan antara RM190 hingga RM960, bergantung kepada warganegara wanita yang dilanggan.


Pada masa sama, pasukan penguat kuasa turut menggempur dua premis refleksologi di Puchong sekitar jam 5.30 petang.


"Hasil pemeriksaan terhadap 25 individu, 16 wanita warga asing ditahan iaitu sembilan warga Thailand, empat warga Myanmar, dua warga Laos dan seorang warga China, berusia 20 hingga 37 tahun.


"Dua warga tempatan turut diberkas kerana menggaji pekerja asing tanpa pas sah," katanya.


Semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.


Imigresen tahan 29 warga asing tawar khidmat seks di tiga lokasi berasing dalam operasi Rabu lalu. - Foto Imigresen.
Anggota APM sejam bergelut tangkap ular 200kg cuba baham kambing

Anggota APM sejam bergelut tangkap ular 200kg cuba baham kambing


Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan mengambil masa hampir satu jam untuk menangkap seekor ular sawa batik seberat 200 kilogram yang cuba membaham kambing ternakan penduduk di dalam kandang di Kampung Lubok Jambu, Kota Bharu semalam.


Pegawai Operasi Pusat Kawalan Operasi Daerah Kota Bharu APM Kelantan, Mohd. Saifulbahri Wan Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 11.10 malam daripada seorang penduduk kampung yang merupakan pemilik kandang itu.


Menurutnya, pemilik haiwan ternakan itu mendapati seekor ular sawa batik berada di kawasan kandang kambingnya sebelum reptilia tersebut bergerak memasuki semak selepas disuluh dengan lampu.


"Anggota APM yang menggunakan peralatan khas mengambil masa kira-kira sejam untuk menangkap ular sawa batik sepanjang 4.5 meter yang tersembunyi di dalam kawasan semak.


"Ular sawa batik yang ditangkap itu tidak sempat membaham kambing peliharaan penternak kerana pemilik kandang sempat menyedari kehadiran reptilia tersebut," katanya.


Mohd. Saifulbahri memberitahu, reptilia tersebut merupakan ular sawa terbesar yang ditangkap oleh pasukannya sepanjang tahun ini.


Anggota APM Kota Bharu menangkap ular sawa batik seberat 200 kilogram di Kampung Lubok Jambu, Kota Bharu semalam. - Foto APM.

Khamis, 2 Oktober 2025

Jutawan rela kerja tukang cuci, tak beli pakaian baharu lebih sedekad

Jutawan rela kerja tukang cuci, tak beli pakaian baharu lebih sedekad


Seorang jutawan di Jepun tetap memilih bekerja sebagai tukang cuci biarpun memperoleh pendapatan lebih 30 juta yen (kira-kira RM 846,300) setahun hasil sewaan dan pelaburan.


Memetik South China Morning Post, Koichi Matsubara, 56, bekerja membersihkan kawasan awam dan melakukan penyelenggaraan asas di sebuah blok pangsapuri di Tokyo.


Difahamkan, dia hanya bekerja empat jam sehari, tiga kali seminggu dengan gaji kira-kira 100,000 yen (kira-kira RM 2,861) sebulan.


Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding purata gaji bulanan di Tokyo iaitu 350,000 yen (kira-kira RM10,014).


Namun, Matsubara sebenarnya memiliki tujuh pangsapuri sewa di Tokyo dan kawasan pinggirannya selain melabur dalam saham serta dana.


Dia dibesarkan oleh ibu tunggal dan mula mengumpul wang selepas bekerja di kilang dengan gaji 180,000 yen (kira-kira RM5,150).


Hasil simpanan itu, Matsubara membeli sebuah pangsapuri studio ketika pasaran perumahan merudum dan melunaskan hutang lebih awal.


Inisiatifnya itu juga membuatkan dia kini memiliki tujuh pangsapuri sewaan di Tokyo dan kawasan pinggirannya, selain pelaburan dalam saham dan dana.


Walaupun kaya, Matsubara hidup sederhana dengan tinggal di rumah murah, memasak sendiri dan berbasikal untuk ke mana sahaja.


Dia juga tidak membeli pakaian baharu lebih sedekad dan hanya menggunakan telefon pintar asas.


Bagi Matsubara, kerja sebagai tukang cuci bukan untuk duit tetapi bagi kekal sihat dan aktif.


"Setiap pagi saya bangun, membersihkan dan mengemas. Ia membuatkan saya rasa sangat baik," katanya.


Kisahnya mencuri perhatian di media sosial dengan ramai memuji gaya hidup sederhana dan kebijaksanaannya mengurus kekayaan.

Rabu, 1 Oktober 2025

Lelaki 75 tahun temui ajal sehari selepas kahwini wanita muda

Lelaki 75 tahun temui ajal sehari selepas kahwini wanita muda


Seorang lelaki berusia 75 tahun di India berkahwin dengan wanita yang jauh lebih muda daripadanya selepas setahun hidup bersendirian, lapor laman berita NDTV hari ini.


Namun, lelaki dikenali sebagai Sangruram itu ditemukan meninggal dunia pada waktu pagi, sehari selepas perkahwinannya dengan Manbhavati, 35.


Kejadian itu berlaku di kampung Kuchhmuchh di daerah Jaunpur, negeri Uttar Pradesh.


Sangruram kehilangan isteri pertamanya setahun lalu dan sejak itu, dia tinggal seorang diri tanpa anak dengan menyara kehidupannya dengan bekerja sebagai petani.


Pada Isnin lalu, dia berkahwin dengan Manbhavati dan mereka menghabiskan waktu malam dengan berbual.


Namun, pada keesokan paginya, kesihatan Sangruram tiba-tiba merosot dan dia dibawa ke hospital sebelum doktor mengesahkan bahawa dia sudah meninggal dunia.


Kematian mengejut itu menimbulkan pelbagai spekulasi di kampung. 


Ada penduduk yang menganggap ia berlaku secara semula jadi, manakala yang lain percaya keadaannya mencurigakan.


Sangruram berkahwin dengan Manbhavati yang jauh lebih muda daripadanya. - Foto REPORTER INPUT.