Seramai 29 warga asing dan empat individu tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di tiga lokasi di Selangor, Rabu lalu kerana terbabit dengan kegiatan menawarkan perkhidmatan seks melalui media sosial.
Op Gegar itu dilakukan di Klang dan Puchong, susulan JIM mengesan kegiatan tidak bermoral itu menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram.
JIM dalam kenyataan berkata pertama pada jam 3.20 petang dilakukan di sebuah hotel di Klang yang disyaki menjadi sarang aktiviti pelacuran.
Dalam operasi itu, 13 wanita warga asing berusia antara 19 hingga 53 tahun ditahan terdiri daripada lima warga Thailand, enam warga Indonesia dan dua warga Vietnam.
Dua wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembersih tanpa pas sah turut diberkas, selain dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga.
Siasatan mendapati bayaran perkhidmatan seks ditawarkan antara RM190 hingga RM960, bergantung kepada warganegara wanita yang dilanggan.
Pada masa sama, pasukan penguat kuasa turut menggempur dua premis refleksologi di Puchong sekitar jam 5.30 petang.
"Hasil pemeriksaan terhadap 25 individu, 16 wanita warga asing ditahan iaitu sembilan warga Thailand, empat warga Myanmar, dua warga Laos dan seorang warga China, berusia 20 hingga 37 tahun.
"Dua warga tempatan turut diberkas kerana menggaji pekerja asing tanpa pas sah," katanya.
Semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
EmoticonEmoticon