Ahad, 21 September 2025

Beruang hitam masuk kedai serang warga emas ditembak mati

Beruang hitam masuk kedai serang warga emas ditembak mati


Seekor beruang hitam ditembak mati oleh pasukan polis selepas menceroboh sebuah kedai dan menyerang seorang warga emas di Vernon, negeri New Jersey, lapor akhbar New York Post semalam.


Dalam kejadian di kedai harga murah, Dollar General pada Selasa minggu lalu, seorang wanita berusia 90 tahun cedera akibat digigit pada kaki oleh haiwan tersebut.


Beruang itu kemudian masuk ke kedai Dollar General dan mundar-mandir di dalam premis berkenaan sambil dihalau seorang lelaki bernama Clarkin.


"Hai, kawan! Anda sangat besar. Di mana pula pintu (kedai)?" kata Clarkin sambil merakam video situasi tersebut.


Pasukan polis kemudian cuba menghalau beruang itu ke kawasan hutan menggunakan peluru getah, namun haiwan tersebut kembali ke kedai, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menembaknya.


"Saya menangis sejurus mendapat tahu bahawa beruang itu ditembak mati. Apabila ditanya kepada polis, mereka memberitahu terpaksa menembak beruang itu," kata pemilik sebuah kedai berdekatan, Christine Flohr.


Bahagian Ikan dan Hidupan Liar Jabatan Perlindungan Alam Sekitar New Jersey sedang menyiasat kejadian itu.


Beruang hitam mundar-mandir di dalam kedai. - Foto Facebook.
Kemalangan ngeri rempuh lori tepi jalan, penumpang kereta maut putus kepala

Kemalangan ngeri rempuh lori tepi jalan, penumpang kereta maut putus kepala


Seorang lelaki putus kepala apabila kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Taman Permata Impian, Jalan Felda Taib Andak, Kulai malam tadi.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.36 malam tadi.


Beliau berkata, lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba di tempat kejadian yang terletak enam kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, pada 10.43 malam.


Menurutnya, operasi diketuai oleh Mohd Firdaus Juritah.


"Kemalangan berkenaan membabitkan Honda City yang merempuh lori lima tan Hino yang diletakkan di tepi jalan.


"Pemandu kereta iaitu seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan, namun tidak tersepit. Orang awam mengeluarkan mangsa terbabit dari kereta sebelum anggota bomba tiba di lokasi.


"Penumpang di bahagian hadapan kenderaan sama tersepit dan maut. Mangsa terputus kepala," katanya menerusi kenyataan media.


Beliau berkata, mangsa maut adalah lelaki dewasa.


"Bomba mengeluarkan mangsa itu dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis untuk tindakan lanjut," katanya.


Keadaan kenderaan terbabit kemalangan berkenaan. - Foto Bomba.

Sabtu, 20 September 2025

Lelaki mati beberapa jam selepas menjalani prosedur membesarkan alat sulit

Lelaki mati beberapa jam selepas menjalani prosedur membesarkan alat sulit


Seorang lelaki berusia 50 tahun di Taipei meninggal dunia beberapa jam selepas menjalani prosedur kosmetik membesarkan alat sulitnya yang menelan kos lebih NT$400,000 (RM56,000), lapor portal berita VnExpress semalam.


Polis menahan pakar bedah terbabit yang sebelum ini pernah disabitkan kesalahan menyebabkan kematian dalam satu kes pembedahan lain.


Lelaki itu datang ke sebuah klinik estetik perubatan di Jalan Jinzhou, daerah Zhongshan, Taipei pada pagi 17 September lalu untuk menjalani apa yang digambarkan sebagai pembedahan pembesaran alat sulit.


Beliau dibius sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) dan prosedur selesai tidak lama sebelum tengah hari.


Mangsa kemudian berada di klinik tersebut untuk pemulihan, namun apabila kakitangan memeriksanya sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan), mereka mendapati lelaki berkenaan tidak bernafas dan tiada denyutan nadi.


Sebuah ambulans segera dipanggil, tetapi anggota paramedik mengesahkan dia sudah meninggal dunia sebaik tiba di tempat kejadian, lapor stesen televisyen TVBS.


Kematian itu mengejutkan keluarganya yang bergegas ke klinik selepas dimaklumkan.


Saudara kandung perempuannya dilaporkan bersemuka dengan kakitangan dan mempersoalkan sama ada doktor mematuhi prosedur keselamatan serta jika fasiliti tersebut benar-benar sesuai untuk menjalankan pembedahan berkenaan.


Pihak berkuasa memaklumkan, bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian.


Seorang lelaki maut selepas menjalani pembedahan kosmetik membesarkan alat sulit yang menelan belanja RM56,000 (Gambar fail bandar raya Taipei - Foto AFP).
Lapangan terbang utama Eropah lumpuh akibat serangan siber

Lapangan terbang utama Eropah lumpuh akibat serangan siber


Beberapa lapangan terbang utama di Eropah termasuk Heathrow, Brussels dan Berlin mengalami gangguan besar pada hari ini (Sabtu) selepas serangan siber menyasarkan penyedia sistem daftar masuk dan pelepasan penumpang, menurut kenyataan rasmi operator lapangan terbang.


Serangan tersebut menyebabkan sistem automatik tidak dapat berfungsi, memaksa kakitangan lapangan terbang beralih kepada kaedah manual untuk proses daftar masuk dan pelepasan.


Brussels Airport dalam kenyataan berkata gangguan telah memberi kesan besar kepada jadual penerbangan dan menyebabkan kelewatan serta pembatalan penerbangan secara meluas.


Lapangan Terbang Heathrow turut mengesahkan gangguan teknikal yang berpunca daripada pembekal sistem pihak ketiga, dipercayai melibatkan Collins Aerospace, yang menyediakan sistem daftar masuk kepada pelbagai syarikat penerbangan global.


Penumpang dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan dengan syarikat masing-masing sebelum ke lapangan terbang.


Lapangan Terbang Berlin pula memaklumkan bahawa masa menunggu di kaunter daftar masuk menjadi lebih lama dan pihaknya sedang berusaha mencari penyelesaian segera.


Frankfurt Airport dilaporkan tidak terjejas oleh serangan tersebut.


Setakat ini, nama penyedia sistem yang menjadi sasaran serangan belum didedahkan secara rasmi. Pihak berkuasa keselamatan siber Eropah sedang menyiasat insiden ini dan belum mengesahkan sama ada ia melibatkan kumpulan penggodam tertentu atau serangan berasaskan negara.


Gangguan berlaku ketika musim perjalanan hujung minggu, menyebabkan ribuan penumpang terkandas dan mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan infrastruktur digital penerbangan awam di rantau Eropah.


Beberapa lapangan terbang utama di Eropah termasuk Heathrow, Brussels dan Berlin mengalami gangguan besar pada Sabtu selepas serangan siber.

Jumaat, 19 September 2025

Setahun terperangkap dalam premis rumah kedai, Putih akhirnya diselamatkan

Setahun terperangkap dalam premis rumah kedai, Putih akhirnya diselamatkan


Seekor kucing diselamatkan selepas dikatakan terperangkap selama setahun di sebuah premis rumah kedai di Kampung Gunung Rapat, Ipoh semalam.


Perkara itu dikongsikan pengguna akaun TikTok @Firahanna9 melalui dua video yang dimuat naik dengan mendakwa kucing berbulu putih itu akhirnya diselamatkan selepas ditinggalkan penghuninya sejak setahun lalu.


Berdasarkan hantaran itu, sepanjang tempoh terperangkap kucing berkenaan diberi makan dan minum oleh beberapa individu melalui ruang di bawah pintu besi.


"Kucing ini sudah setahun terperangkap di balik pintu ini. Tapi tiada siapapun yang mahu selamatkannya.


"Mengikut kata pemberi makanan mereka sudah laporkan kepada pihak berwajib tapi tiada bantuan diterima. Tapi saya rasa mungkin ada salah faham di situ.


"Berdasarkan kepada pengesahan Majlis Bandaraya Ipoh, premis pejabat itu sudah lama kosong," katanya menerusi video berkenaan.


Pengguna berkenaan mendakwa, dia kemudiannya menghubungi Balai Polis Kampung Rapat dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh bagi melaporkan perkara itu.


Sementara itu, Ketua Balai BBP Ipoh, Rozizah Abnihajar ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya menerima panggilan bagi khidmat khas menyelamatkan kucing itu jam 5.44 petang semalam dengan enam anggota digerakkan ke lokasi itu.


"Kita gunakan besi pengumpil dan gergaji bulat untuk membuka pintu selepas mendapat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).


"Kucing berkenaan terperangkap dalam bangunan terbiar yang tidak berpenghuni. Namun kami tak dapat pastikan sama ada memang benar kucing itu terperangkap di situ selama setahun," katanya.


Seekor kucing diselamatkan selepas dikatakan terperangkap selama setahun di sebuah premis rumah kedai di Kampung Gunung Rapat, Ipoh semalam. - Foto Ihsan pembaca.

Khamis, 18 September 2025

Anggota JPJ didenda RM10,000 terima suapan dari syarikat logistik 5 tahun lalu

Anggota JPJ didenda RM10,000 terima suapan dari syarikat logistik 5 tahun lalu


Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini kerana menerima suapan RM1,400 daripada pengurus syarikat logistik pada tahun 2020.


Tertuduh, Che Fazdlie Izwan Che Johari, 38, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas dua pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.


Che Fazdlie Izwan sebagai Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 di JPJ Melaka menerima wang RM1,400 tanpa sebarang balasan daripada pengurus syarikat logistik yang mana tertuduh mengetahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.


Kesalahan dilakukan di Bank Simpanan Nasional Cawangan Batu Berendam, Taman Mutiara Melaka pada 6 Februari dan 3 Jun 2020. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.


Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.


Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh merayu hukuman denda minimum bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan anak guamnya telah digantung tugas dan melakukan dua kerja sambilan untuk menyara tiga anak yang masih bersekolah.


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau lima bulan penjara jika gagal bayar.


Tertuduh (kiri) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Ayer Keroh, Melaka atas kesalahan menerima suapan daripada seorang pengurus syarikat logistik, lima tahun lalu. - Foto Kosmo Online.
Ketakutan penduduk berakhir, suara tangisan misteri di hutan rupanya anak orang utan

Ketakutan penduduk berakhir, suara tangisan misteri di hutan rupanya anak orang utan


Tangisan misteri dalam hutan yang membuatkan penduduk Kotawaringin Timur, wilayah Kalimantan Selatan ketakutan akhirnya terbongkar apabila bunyi itu sebenarnya berasal daripada seekor anak orang utan, lapor portal berita Radar Sampit.


Penemuan itu dibuat oleh dua penduduk tempatan sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) berhampiran Desa Ramban, Khamis lalu.


Ketua Pusat Pemuliharaan Sumber Asli (BKSDA) Sampit Resort, Muriansyah berkata, Muhammad dan rakannya sedang membina pondok di dalam hutan sebelum terdengar bunyi tangisan misteri.


"Mereka menyangka tangisan itu berasal daripada kanak-kanak. Selepas menyiasat, sumber bunyi itu berasal daripada seekor anak orang utan di dalam lubang kecil.


"Kerana kasihan, haiwan itu dibawa ke rumah," kata Muriansyah.


Anak orang utan itu dipercayai berusia empat tahun, manakala badannya terlalu kurus.


Ia kemudian diserahkan kepada BKSDA Sampit Resort pada Ahad lalu.


Anak orang utan itu diserahkan kepada pihak berkuasa selepas ditemui di dalam hutan. - Foto Radar Sampit.

Rabu, 17 September 2025

Tiga beranak ditahan, ketum, pil yaba bernilai RM1.62 juta dirampas

Tiga beranak ditahan, ketum, pil yaba bernilai RM1.62 juta dirampas


Polis Kelantan menahan tiga beranak membabitkan seorang ibu bersama dua anaknya dan merampas 108,000 biji pil yaba dan 37 kilogram (kg) ketum membabitkan nilai RM1.62 juta menerusi serbuan di sebuah rumah di Kampung Pauh Panji pada Rabu lalu.


Kesemua mereka yang ditahan iaitu dua wanita dan seorang lelaki berusia 19 hingga 60 tahun selepas intipan selama seminggu dilakukan pihak polis sebelum serbuan dilakukan jam 12.20 tengah hari.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ketika serbuan dilakukan, tiga beranak berkenaan berada di dalam rumah itu.


"Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 18 bungkusan yang mengandungi 108,000 biji dipercayai pil yaba dan 37 kg daun ketum.


"Hasil soal siasat setakat ini mendapati bekalan dadah berkenaan milik suspek lelaki berusia 19 tahun, manakala kakaknya serta ibunya tidak mengaku. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan.


"Kita percaya suspek mendalangi kegiatan pengedaran dadah ini sejak Mei lalu dan modus operandi yang dilakukan adalah bekalan dadah akan ditransit atau disimpan di rumah berkenaan sebelum diedar kepada pelanggan," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.


Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek adalah negatif dan kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


"Selain rampasan dadah, kita turut menyita sebuah motosikal dan akan menyita harta suspek yang dikuatiri hasil daripada kegiatan pengedaran dadah.


"Kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari sehingga 24 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.


Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saki baki suspek sindiket berkenaan.


"Bekalan dadah yang dirampas itu boleh digunakan kepada 120,000 penagih," katanya.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat (tengah) menunjukkan 37 kilogram (kg) ketum dan 108,000 biji pil yaba membabitkan nilai RM1.62 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan. - FOTO NSTP.
Tukang cuci mengaku bersalah miliki pistol, 36 peluru tanpa permit

Tukang cuci mengaku bersalah miliki pistol, 36 peluru tanpa permit


Seorang tukang cuci di sebuah resort mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 36 butir peluru hidup tanpa permit di rumahnya di Kampung Paloh, Pintu Geng pada 6 September lalu.


Tertuduh Azhar Anual, 50, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad. Mahkamah bagaimanapun menetapkan 21 Oktober sebagai tarikh fakta dan hukuman.


Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa miliki sepucuk pistol jenis Glock 26 Gen4 Austria dan memiliki 36 butir peluru hidup tanpa lesen atau permit senjata.


Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Paloh Pintu Geng jam 5 pagi pada 6 September lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.


Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga sebat sehingga enam kali, manakala Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah menetapkan 21 Oktober untuk hukuman dan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.


Azhar mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 36 butir peluru hidup.
Calon SPM ditahan, positif dadah lepas pulang berhibur dari Thailand

Calon SPM ditahan, positif dadah lepas pulang berhibur dari Thailand


Pelajar tingkatan lima ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah dalam operasi bersepadu ketika pulang bercuti dari negara jiran, semalam.


Remaja berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang dan tiga rakannya berusia 18 tahun ditahan ketika menunggang dua motosikal.


Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat mereka positif dadah jenis ketamin.


Dia dipercayai mengambil dadah itu dengan berkongsi rokok mengandungi bahan terlarang itu dengan tiga rakannya ketika berhibur di Thailand.


Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, remaja itu ditahan di lorong motosikal jam 3.45 petang semalam di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.


Beliau berkata, ketika itu remaja terbabit dalam perjalanan pulang dari Thailand menuju ke rumahnya di Pulau Pinang selepas bercuti di negara jiran sejak Sabtu lalu.


"Hasil siasatan mendapati, remaja itu yang juga anak tunggal tinggal bersama datuk dan neneknya selepas ibu serta bapanya bercerai sejak berusia sembilan tahun.


"Dia memberi alasan ingin mencuba dadah terbabit disebabkan tekanan hidup dan perasaan ingin tahu.


"Selain itu, dia juga mengaku kali kedua mencuba dadah ini ketika kali pertama masuk ke Thailand sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.


Khairul Anwar berkata, dalam operasi itu, AADK turut menahan enam individu berusia 17 hingga 19 tahun kerana positif dadah.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya

Calon SPM dari Pulau Pinang yang ditahan AADK selepas didapati positif dadah dalam pemeriksaan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, semalam. - Foto AADK.