Sabtu, 20 September 2025

Lelaki mati beberapa jam selepas menjalani prosedur membesarkan alat sulit


Seorang lelaki berusia 50 tahun di Taipei meninggal dunia beberapa jam selepas menjalani prosedur kosmetik membesarkan alat sulitnya yang menelan kos lebih NT$400,000 (RM56,000), lapor portal berita VnExpress semalam.


Polis menahan pakar bedah terbabit yang sebelum ini pernah disabitkan kesalahan menyebabkan kematian dalam satu kes pembedahan lain.


Lelaki itu datang ke sebuah klinik estetik perubatan di Jalan Jinzhou, daerah Zhongshan, Taipei pada pagi 17 September lalu untuk menjalani apa yang digambarkan sebagai pembedahan pembesaran alat sulit.


Beliau dibius sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) dan prosedur selesai tidak lama sebelum tengah hari.


Mangsa kemudian berada di klinik tersebut untuk pemulihan, namun apabila kakitangan memeriksanya sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan), mereka mendapati lelaki berkenaan tidak bernafas dan tiada denyutan nadi.


Sebuah ambulans segera dipanggil, tetapi anggota paramedik mengesahkan dia sudah meninggal dunia sebaik tiba di tempat kejadian, lapor stesen televisyen TVBS.


Kematian itu mengejutkan keluarganya yang bergegas ke klinik selepas dimaklumkan.


Saudara kandung perempuannya dilaporkan bersemuka dengan kakitangan dan mempersoalkan sama ada doktor mematuhi prosedur keselamatan serta jika fasiliti tersebut benar-benar sesuai untuk menjalankan pembedahan berkenaan.


Pihak berkuasa memaklumkan, bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian.


Seorang lelaki maut selepas menjalani pembedahan kosmetik membesarkan alat sulit yang menelan belanja RM56,000 (Gambar fail bandar raya Taipei - Foto AFP).
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon