Sabtu, 23 Ogos 2025

Pencuri motosikal dipukul sebelum diarak tanpa seurat benang

Pencuri motosikal dipukul sebelum diarak tanpa seurat benang


Seorang pencuri di Indonesia mengalami nasib malang apabila diarak dalam keadaan tanpa seurat benang selepas ditangkap mencuri sebuah motosikal, lapor portal berita Tribunnews.


Kejadian berlaku di Cilacap, wilayah Jawa Tengah pada 16 Ogos lalu.


Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki terbabit masuk ke sebuah kedai runcit dan berpura-pura meminta sumbangan.


Dia cuba mencuri sebuah motosikal selepas mendapati kunci kenderaan itu tidak dicabut, namun gagal bertindak demikian.


Pemilik motosikal dikenali sebagai Cahyanto berkata, suspek segera ditahan oleh penduduk setempat.


Dia bukan sahaja dipukul, malah dilucutkan semua pakaian dan diarak sekeliling kampung sebagai amaran kepada pencuri lain.


Suspek dipukul dan dibogelkan selepas ditangkap cuba mencuri sebuah motosikal. - Foto Tribunnews.

Jumaat, 22 Ogos 2025

Berang sos mayonis habis, lelaki tuang petrol bakar cafe

Berang sos mayonis habis, lelaki tuang petrol bakar cafe


Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan selepas mencetuskan kebakaran di sebuah kafe di Sepanyol hanya kerana dia diberitahu bahawa restoran itu kehabisan sos mayonis, lapor portal berita MailOnline.


Kejadian berlaku di kafe Las Postas, bandar Los Palacios y Villafranca kelmarin. Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menuang petrol ke atas bar lalu membakarnya sebelum melarikan diri.


Situasi itu didakwa tercetus apabila suspek diberitahu oleh dua pekerja bahawa mereka kehabisan mayonis ketika dia sedang menikmati sandwic bersama anaknya.


Berang dengan jawapan itu, dia segera meninggalkan kafe sebelum kembali sambil membawa sebotol minyak petrol untuk membakar premis tersebut.


Suspek berjaya ditangkap oleh Pengawal Awam berhampiran premis tersebut.


Dia kemudian dibawa ke pusat kesihatan berhampiran untuk merawat kesan lecur pada tangannya, demikian menurut media tempatan. Siasatan sedang dijalankan.


Pelanggan dan pekerja terkejut apabila suspek mencetuskan kebakaran di dalam kafe kelmarin. - Foto Mail Online.
Wanita maut dipatuk ketika halau ular berbisa dengan penyapu

Wanita maut dipatuk ketika halau ular berbisa dengan penyapu

 

Seorang wanita berusia 57 tahun maut selepas dipatuk ular berbisa yang memasuki rumahnya di Dukuh Karangpucung, Desa Cinanas, Kecamatan Bantarkawung, Jawa Tengah pada malam Ahad lalu.


Mangsa, Sumyati, cuba menghalau reptilia itu menggunakan penyapu selepas ternampak ia bersembunyi di bawah almari sebelum ular tersebut bertindak balas dengan mematuk kakinya.


Walaupun cedera, Sumyati tetap menunaikan solat Isyak sebelum mula berasa lemah dan pening beberapa jam kemudian.


Beliau kemudiannya cuba mendapatkan rawatan daripada seorang pengamal perubatan masyarakat setempat yang dikenali dengan rawatan tradisional gigitan haiwan berbisa.


Namun keadaan mangsa semakin serius sebelum dikejarkan ke Hospital RSUD Bumiayu, tetapi doktor mengesahkan beliau meninggal dunia sebaik tiba di hospital.


"Jenazah mangsa dikebumikan pada keesokan pagi," kata Ketua Desa, Hensika Cindy Setiawan kepada pemberita pada Selasa.


Kes patukan ular masih menjadi ancaman kesihatan utama di Indonesia, khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan kekangan akses rawatan moden dan bergantung kepada perubatan tradisional sebagai langkah awal. - Sumber Tribun News.


Seorang wanita di Jawa Tengah maut selepas dipatuk ular berbisa di rumahnya. - Foto Tribun Lampung.

Khamis, 21 Ogos 2025

120 biri-biri mati diracun tuan tanah, penternak rugi RM1.3 juta

120 biri-biri mati diracun tuan tanah, penternak rugi RM1.3 juta


Seorang penternak haiwan di Taiwan mengalami kerugian hampir NT$10 juta (RM1.3 juta) selepas 120 ekor biri-biri ternakannya mati diracun oleh pemilik tanah, lapor portal berita Must Share News semalam.


Lelaki dikenali sebagai Lin berkata, kematian itu bermula pada 7 April lalu apabila lebih 50 biri-biri mati di ladangnya.


"Beberapa hari kemudian, lebih banyak biri-biri ditemukan tidak bernyawa dengan kebanyakannya terdiri daripada biri-biri betina yang bunting," kata Lin.


Selepas berjumpa dengan doktor haiwan, dia diberitahu bahawa biri-birinya mati akibat racun perosak.


Lin segera memeriksa rakaman kamera pengawasan dan mendapati bahawa pemilik tanah masuk ke dalam ladang sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) sebelum menuang bahan mencurigakan ke dalam makanan haiwan ternakannya.


Situasi itu didakwa tercetus apabila Lin menolak permintaan pemilik tanah yang ingin menaikkan sewa daripada NT$30,000 (RM4,200) setahun kepada NT$15,000 (RM2,100) sebulan.


Lin melaporkan kejadian itu kepada polis dan menyerahkan rakaman sebagai bukti. - Sumber MS News.


Tangkap layar menunjukkan pemilik tanah menuang racun perosak ke dalam makanan biri-biri. - Foto ETtoday.
Penjawat awam dicekup, terima suapan RM8,000 daripada seorang pemilik syarikat

Penjawat awam dicekup, terima suapan RM8,000 daripada seorang pemilik syarikat


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang penjawat awam agensi kerajaan negeri kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan kira-kira RM8,000 daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan untuk tidak mengenakan kompaun terhadap syarikat miliknya.


Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor, semalam.


Majistret Zur Azureen Zainalkefli membenarkan suspek direman selama lima hari sehingga 25 Ogos selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam.


Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek telah meminta wang suapan daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan untuk tidak mengenakan kompaun terhadap kesalahan penyalahgunaan logo halal pada produk yang tidak mendapat sijil halal oleh syarikat terbabit.


"Suspek kemudian menerima wang rasuah kira-kira RM8,000 daripada pemilik syarikat berkenaan," katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Seorang penjawat awam direman lima hari untuk siasatan meminta dan menerima wang suapan kira-kira RM8,000. - Foto SPRM.

Rabu, 20 Ogos 2025

Datang konon melancong, rupanya mahu tinggal secara haram di Malaysia

Datang konon melancong, rupanya mahu tinggal secara haram di Malaysia


Tempahan penginapan palsu dan ketiadaan tiket penerbangan pulang merupakan antara taktik warga asing yang kononnya datang sebagai pelancong, namun dipercayai berniat untuk tinggal di Malaysia secara tidak sah.


Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan berkata, seramai 126 warga asing telah dihalang daripada memasuki Malaysia dalam operasi bersepadu oleh Pasukan Pemantau AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2) semalam.


Menurut kenyataan itu, di KLIA Terminal 1, Pasukan Pemantau telah menahan seramai 35 lelaki warga Pakistan kerana gagal mematuhi syarat kemasukan.


"Siasatan mendapati mereka mengemukakan tempahan penginapan palsu, tidak membawa wang sara diri yang mencukupi, dan tiada tiket penerbangan pulang.


"Kesemua mereka disyaki bukan pelancong tulen dan dipercayai cuba memasuki Malaysia untuk bekerja," katanya hari ini.


Tambah AKPS, operasi di KLIA2 pula menyaksikan seramai 91 pelawat asing telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) atas pelbagai kesalahan.


Jelasnya, ia merupakan kumpulan terbesar yang ditahan, melibatkan 64 warga India yang menggunakan helah transit. Siasatan mendapati mereka gagal mengemukakan bukti tempahan hotel dan tiket penerbangan pulang.


"Mereka mendakwa hanya transit di Malaysia, namun sebenarnya menunggu arahan dan tiket baharu daripada ejen bagi tujuan tinggal serta bekerja secara tidak sah di Malaysia," katanya.


Katanya lagi, turut ditahan di KLIA Terminal 2 ialah dua warga Pakistan yang menggunakan ePass palsu.


Tegasnya, kesemua 126 warga asing terbabit telah dikenakan NTL dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing menggunakan penerbangan terawal dalam tempoh 24 jam.


"AKPS amat mengalu-alukan penyaluran maklumat daripada orang awam bagi membantu menghalang cubaan pihak tidak bertanggungjawab memasuki negara secara haram, dan menegaskan komitmennya untuk sentiasa memastikan integriti pintu masuk negara terpelihara," ujarnya.


AKPS mengambil tindakan NTL terhadap 126 warga asing yang ditahan di KLIA, semalam (Selasa). - Foto AKPS.
Pencuri berlian bernilai RM106 juta dicekup polis selepas 8 jam

Pencuri berlian bernilai RM106 juta dicekup polis selepas 8 jam


Polis Dubai berjaya menangkap tiga pencuri, beberapa jam selepas mereka melarikan sebutir berlian merah jambu bernilai AS$25 juta (RM106 juta).


"Pusat Pemerintah Polis Dubai telah berjaya menggagalkan pencurian sebutir berlian merah jambu yang sangat jarang ditemui, bernilai AS$25 juta," kata polis dalam satu kenyataan yang dikongsikan oleh agensi berita rasmi Emiriyah Arab Bersatu, WAM.


Menurut polis, seorang pedagang berlian yang membawa permata itu dari Eropah telah diperdaya oleh sebuah kumpulan penjenayah untuk ke sebuah vila.


Mereka memberi alasan mahu menunjukkan berlian itu kepada seorang pelanggan kaya yang berpura-pura berminat.


Namun, berlian tersebut dicuri sebaik sahaja pedagang itu mahu memeriksa ketulenannya, tambah kenyataan itu.


Dalam tempoh lapan jam, tiga individu dari sebuah negara Asia yang tidak dinyatakan, telah ditahan hasil usaha pasukan khas dan lapangan serta dengan penggunaan teknologi kepintaran buatan (AI) terkini," kata polis. - AFP.


Gambar sebutir berlian merah jambu yang dicuri. - Foto Pejabat Media Dubai.

Selasa, 19 Ogos 2025

Lebih 100,000 pekerja asing pegang pas lawatan kerja sementara gagal dikesan

Lebih 100,000 pekerja asing pegang pas lawatan kerja sementara gagal dikesan


Sebanyak 100,646 pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan gagal dikesan selepas program pemutihan pekerja asing dilaksanakan Construction Labour Exchange Centre Bhd (CLAB), menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan langkah serta tindakan punitif terhadap majikan dan pekerja asing sektor pembinaan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan sedia ada.


"Mereka masuk, mereka pegang PLKS sektor pembinaan, tetapi apabila dibuat pemutihan oleh CLAB, kita tidak dapat kesan.


"Kalau mereka salah guna pas, kita akan ambil tindakan ikut kesalahan itu," katanya dalam sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Keempat Belas, Bilangan 2 Tahun 2025 di Kuala Lumpur hari ini.


Menurut Saifuddin Nasution, perkara itu didedahkan susulan pembentangan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam mesyuarat berkenaan.


"Kalau pas mereka sudah tamat, mereka sepatutnya menandatangani memo check out dan meninggalkan negara.


"Kalau mereka tidak meninggalkan negara, kita akan jejaki mereka," katanya.


Saifuddin Nasution (dua, kanan) bersama Steven Sim (kanan) pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-14 2025, hari ini. - Foto Bernama.
Bayi lelaki masih hidup ditemukan dalam kebun sawit di Lahad Datu

Bayi lelaki masih hidup ditemukan dalam kebun sawit di Lahad Datu


Bayi lelaki cukup sifat ditemukan masih bernyawa di sebuah kebun sawit di Kampung Sri Aman, Jalan Silam, Lahad Datu, hari ini.


Bayi berkenaan ditemui oleh orang awam kira-kira jam 8 pagi, sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.


Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, bayi berkenaan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.


"Bayi lelaki itu ditemui dalam keadaan bernyawa dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.


"Polis sedang mengesan suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.


"Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali," katanya.


Sementara itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 089-881255 atau mana-mana balai polis terdekat.


Lokasi kejadian bayi lelaki ditemui masih bernyawa di kebun kelapa sawit, di Kampung Sri Aman, Jalan Silam, Lahad Datu. - Foto PDRM.

Isnin, 18 Ogos 2025

Enam lelaki ditahan kes merusuh guna senjata di kelab malam

Enam lelaki ditahan kes merusuh guna senjata di kelab malam


Enam lelaki ditahan dalam kejadian merusuh menggunakan senjata di sebuah kelab malam di pusat bandar raya, Kuala Lumpur, sehingga tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 28 saat memaparkan seorang individu dipukul oleh sekumpulan lelaki.


Menurutnya, hasil semakan mendapati, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan polis pada jam 9.33 pagi semalam berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang mendakwa dipukul oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali ketika berjalan keluar dari sebuah kelab malam di Kuala Lumpur dan mengalami kecederaan di bahagian belakang badan.


"Bertindak atas maklumat, PDRM membuat tangkapan ke atas enam suspek berusia antara 25 hingga 29 tahun yang terlibat dalam kes itu.


"Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan PDRM komited memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara serta memandang serius kejadian-kejadian seumpama ini.


"PDRM menyeru orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menyalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan IPD Brickfields atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.


Tangkap layar video tular di media sosial.