Selasa, 19 Ogos 2025

Bayi lelaki masih hidup ditemukan dalam kebun sawit di Lahad Datu


Bayi lelaki cukup sifat ditemukan masih bernyawa di sebuah kebun sawit di Kampung Sri Aman, Jalan Silam, Lahad Datu, hari ini.


Bayi berkenaan ditemui oleh orang awam kira-kira jam 8 pagi, sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.


Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, bayi berkenaan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.


"Bayi lelaki itu ditemui dalam keadaan bernyawa dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.


"Polis sedang mengesan suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.


"Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali," katanya.


Sementara itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 089-881255 atau mana-mana balai polis terdekat.


Lokasi kejadian bayi lelaki ditemui masih bernyawa di kebun kelapa sawit, di Kampung Sri Aman, Jalan Silam, Lahad Datu. - Foto PDRM.


EmoticonEmoticon