Isnin, 4 Ogos 2025

Bomba sahkan ikan jatuh dari langit cetus kebakaran, elektrik terputus 1,500 penduduk 'bergelap'

Bomba sahkan ikan jatuh dari langit cetus kebakaran, elektrik terputus 1,500 penduduk 'bergelap'


Kejadian seperti ini jarang berlaku apabila kebakaran hutan dan gangguan bekalan elektrik berlaku disebabkan ikan yang jatuh dari langit.


Api yang dicetuskan haiwan akuatik itu bagaimanapun berjaya dikawal pasukan bomba yang turut dibantu pemilik ladang dan pekerja Agensi Tenaga Hidro dan Elektrik British Columbia di Kanada.


Punca kebakaran itu dikenal pasti selepas siasatan dilakukan bomba yang pada mulanya menyangka ia mungkin angkara kecuaian pengunjung perkhemahan.


"Pihak berkuasa percaya dengan satu teori yang agak logik.


"Seekor helang mungkin 'tercicir' ikan tersebut hingga mengakibatkan ia terhempas di atas talian elektrik sebelum jatuh di kawasan rumput kering dan mencetuskan kebakaran yang merebak seluas kira-kira 4,000 meter persegi," menurut laporan media tempatan.


Difahamkan, sungai terdekat di mana ikan itu ditangkap helang tersebut terletak kira-kira 3.2 kilometer dari lokasi kejadian.


Ikan jatuh dari langit itu turut menyebabkan lebih 1,500 penduduk di sebuah perkampungan di Ashcroft yang terletak kira-kira 338 kilometer di timur laut Vancouver terputus bekalan elektrik seketika.


"Pelaku sebenar tidak alami sebarang kecederaan dan masih terbang bebas," kata jurucakap jabatan bomba itu lagi.


Siasatan bomba akhirnya berjaya mengenal pasti punca kebakaran dan gangguan bekalan elektrik tersebut. - Foto Greg Hiltz/Ashcroft Fire Rescue.

Ahad, 3 Ogos 2025

YouTuber mengaku b*nuh, kerat mayat teman lelaki dipenjara seumur hidup

YouTuber mengaku b*nuh, kerat mayat teman lelaki dipenjara seumur hidup


Seorang cef YouTube warga Sepanyol mengaku membunuh dan mengerat mayat teman lelakinya sebelum membuang bahagian tubuh mangsa ke laut dan tapak pelupusan sampah dalam satu kejadian menggemparkan di Thailand, lapor Mirror UK, semalam.


Suspek, Daniel Sancho Bronchalo, 31, mengaku membunuh kekasihnya, seorang pakar bedah plastik dari Colombia, Dr Edwin Arrieta Arteaga, 44, ketika mereka bercuti di Koh Phangan, sebuah pulau terkenal dengan Pesta Bulan Mengambang.


Kejadian berlaku pada Ogos 2024, selepas pertengkaran berkaitan isu seks dan wang antara kedua-dua lelaki itu bertukar ganas.


Bronchalo mendakwa mereka bergaduh selepas mangsa didakwa cuba melakukan serangan seksual terhadapnya.


Polis berkata, mangsa mati selepas kepalanya terhantuk pada tab mandi dalam bilik hotel yang ditempah oleh suspek. Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati terdapat unsur pembunuhan terancang berdasarkan bukti yang diperoleh.


Selepas kejadian, cef berkenaan mengaku mengerat mayat kekasihnya kepada 14 bahagian, memasukkan sebahagiannya ke dalam beg pakaian dan beg plastik, sebelum membuangnya ke laut dengan menaiki kayak serta di sekitar kawasan pulau itu.


Beberapa bahagian tubuh mangsa termasuk pinggul dan paha ditemui penduduk tempatan di tapak pelupusan sampah Koh Phangan sekali gus mencetuskan siasatan besar-besaran oleh pihak berkuasa Thailand.


Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek membeli pisau, sarung tangan, beg sampah dan bahan kimia dari sebuah kedai serbaneka sehari sebelum kejadian, sekali gus mengukuhkan dakwaan bahawa pembunuhan itu dirancang lebih awal.


Pada mulanya, Bronchalo membuat laporan polis kononnya Dr Arrieta hilang. Namun selepas siasatan terperinci, dia ditahan dan kemudian mengaku merancang pembunuhan kerana mangsa mengugut mahu mendedahkan hubungan sejenis mereka kepada keluarganya.


Mahkamah Wilayah Koh Samui menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Bronchalo selepas dia memberi kerjasama penuh semasa perbicaraan. Hukuman asal ialah hukuman mati namun diringankan atas faktor pengakuan dan kerjasama.


Selain itu, dia turut dijatuhkan hukuman penjara empat bulan kerana menyembunyikan mayat yang kemudian dikurangkan kepada dua bulan selepas pengakuan bersalah. Mahkamah juga memerintahkan dia membayar ganti rugi 4 juta baht (kira-kira RM524,256) kepada keluarga mangsa.


Kes itu menggemparkan negara asal suspek, Sepanyol dan menarik perhatian media antarabangsa. Malah, platform penstriman HBO turut menghasilkan dokumentari berbahasa Sepanyol berdasarkan kes berprofil tinggi itu.


Daniel ialah anak kepada dua pelakon terkenal Sepanyol, Rodolfo Sancho Aguirre dan Silvia Bronchalo, yang kedua-duanya hadir di mahkamah semasa keputusan dijatuhkan pada musim panas lalu.


Daniel Sancho Bronchalo dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahannya. - Foto AP.

Sabtu, 2 Ogos 2025

Pura-pura beli hadiah untuk isteri, lelaki larikan gelang emas

Pura-pura beli hadiah untuk isteri, lelaki larikan gelang emas


Seorang lelaki berpura-pura mahu membeli gelang emas untuk dihadiahkan kepada isterinya sebelum melarikan barang kemas itu dari sebuah kedai emas di Prima Sri Gombak pada Khamis lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, suspek datang ke premis berkenaan dan berlagak sebagai pelanggan sebelum mengambil kesempatan melarikan gelang emas yang ditunjukkan jurujual.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 8.49 malam daripada seorang jurujual wanita berusia 27 tahun.


"Pengadu memaklumkan semasa sedang bekerja di kedai emas tersebut, seorang lelaki tempatan datang dan memaklumkan ingin membeli rantai emas untuk isterinya.


"Suspek kemudian memilih seutas gelang emas dan ketika pengadu berpaling untuk mengambil mesin kira, lelaki itu terus melarikan diri bersama barang kemas berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.



Katanya, suspek melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.


"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.


"Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Zirwatul Huda Radzi atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-61262222," katanya.


Terdahulu tular video memaparkan seorang lelaki melarikan barangan kemas dalam kejadian di sebuah kedai emas.


Rakaman yang dipercayai dari kamera litar tertutup (CCTV) itu mulanya memaparkan individu terbabit mulanya melihat barangan kemas itu.


Individu itu kemudiannya dilihat terus melarikan diri bersama barangan kemas itu menggunakan sebuah motosikal.


Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki melarikan barangan kemas dalam kejadian di sebuah kedai emas di Gombak pada Khamis lalu.
Influencer cantik m*ti dikelar selepas diculik di luar sebuah panggung wayang

Influencer cantik m*ti dikelar selepas diculik di luar sebuah panggung wayang


Seorang pesohor media sosial, Irene Gu, 23, ditemukan dengan lehernya dikelar selepas diculik di luar sebuah panggung wayang di Taiwan, lapor sebuah akhbar semalam.


Kejadian berlaku ketika dia memandu meninggalkan tempat letak kereta panggung wayang berkenaan di Taipei. Keretanya tiba-tiba dihalang oleh suspek iaitu teman lelakinya sendiri. 


Menurut laporan, pertengkaran tercetus, dan suspek bernama Liu menarik Irene ke sebuah tangga berdekatan sebelum menggelar leher mangsa.


Selepas kejadian itu, Liu melarikan diri ke rumah datuknya di bahagian lain pulau tersebut tetapi ditangkap polis keesokan harinya.


Semasa soal siasat, Liu mengaku membunuh Irene kerana ingin mendapatkan semula wang £10,530 (RM63,000) yang didakwa dipinjamkan kepada mangsa.


Irene yang mempunyai 30,000 pengikut di laman Instagram dan Threads, bekerja sebagai pegawai perhubungan awam (PR) sebuah kelab malam di Taipei. 


Liu bekerja di kelab sama sebagai pengawal keselamatan. Pasangan itu berkenalan ketika Irene mengikuti cadangan ibunya untuk pergi ke kelab malam bagi 'melihat dunia'.


Dia kemudian meninggalkan kerjaya dalam bidang perbankan untuk bekerja sebagai PR supaya dapat menyesuaikan gaya hidup dan jadual kerja dengan Liu.


Namun, hubungan mereka merosot dan Irene memfailkan aduan penderaan terhadap Liu pada Mei lalu serta memohon perintah perlindungan. Walaupun berulang kali dipanggil ke mahkamah, Liu gagal hadir.


Beberapa hari sebelum kematiannya, Irene menyiarkan gambar aduan penderaannya bersama kapsyen: "Kalau kamu pukul saya, saya akan buat laporan polis, kan?"


Dalam hantaran lain, dia menulis: "Ada yang tanya kenapa saya tak sekadar sekat (block) dia? Sebab dia akan cari saya. Dia tanya kawan sekerja sama ada saya ada di tempat kerja dan ganggu mereka. Yang paling penting, saya tak berhutang dengannya!"


Siasatan kes pembunuhan itu masih berjalan. - Sumber Metro UK.


Gambar menunjukan Irene Gu. - Foto Jam Press.

Jumaat, 1 Ogos 2025

Pesawat tentera Jerman mula gugurkan makanan dan ubat-ubatan di Gaza

Pesawat tentera Jerman mula gugurkan makanan dan ubat-ubatan di Gaza


Pesawat tentera Jerman memulakan misi menggugurkan bantuan ke Semenanjung Gaza, kata Kementerian Pertahanan Jerman hari ini (Jumaat), ketika Berlin menyertai usaha antarabangsa untuk meringankan situasi kemanusiaan yang kritikal di wilayah Palestin yang dikepung itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Menurut kementerian, pesawat pengangkut Jerman menggugurkan 34 palet yang mengandungi hampir 14 tan makanan dan bekalan perubatan ke kawasan berkenaan.


Misi pengguguran bantuan ini dijalankan di tengah kebimbangan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap keadaan yang semakin merosot di Gaza, yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berada di ambang kebuluran.


Organisasi bantuan bagaimanapun mengkritik usaha bantuan udara ini sebagai lebih bersifat simbolik, memandangkan ia tidak efisien dan tidak mampu memenuhi keperluan besar di lapangan.


Canselor Friedrich Merz mengakui sumbangan Jerman itu mempunyai impak terhad, menyifatkan misi itu sebagai satu usaha 'kecil' berbanding skala krisis yang sedang berlaku.


Merz malah mempertahankan misi itu sebagai satu isyarat yang perlu.


"Ia satu isyarat penting: Kami hadir, kami berada di rantau ini, kami membantu," katanya awal minggu ini.


Pada Rabu lalu (30 Julai) Mesir, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga melaksanakan penghantaran bantuan kemanusiaan melalui guguran udara ke Gaza ketika kebuluran semakin meruncing dan serangan tentera Israel ke atas orang awam masih berterusan.


Israel, yang mengawal sempadan Gaza menyekat kemasukan bantuan selama beberapa bulan, membenarkan sedikit atau tiada akses kemanusiaan ke wilayah pantai itu.


Pakej bantuan yang digugurkan dari sebuah pesawat ke Gaza, seperti yang kelihatan dari Gaza Tengah pada 31 Julai 2025. - Foto Reuters.
Permainan '360 Degrees' taman tema patah ketika berada di udara, 23 cedera

Permainan '360 Degrees' taman tema patah ketika berada di udara, 23 cedera


Suasana di Green Mountain Resort, Taif, Arab Saudi bertukar panik apabila sebuah permainan taman tema dikenali sebagai '360 Degrees' runtuh ketika sedang beroperasi, menyebabkan 23 pengunjung cedera.


Menurut laporan Daily Mail, kejadian berlaku pada Khamis lalu apabila permainan berputar itu tiba-tiba menghentam tiangnya sendiri sebelum terbelah kepada dua bahagian, menyebabkan penumpang terhempas ke tanah.


Rakaman video tular menunjukkan detik mencemaskan ketika permainan berkenaan mencapai ketinggian maksimum, sebelum kedengaran bunyi retakan kuat disusuli jeritan pengunjung.


Jeritan kegembiraan bertukar menjadi laungan ketakutan apabila struktur permainan itu runtuh secara tiba-tiba, namun kesemua penumpang dilaporkan tidak tercampak keluar kerana diikat tali keselamatan dengan kemas.


Bagaimanapun, sekurang-kurangnya tiga mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah, manakala selebihnya cedera ringan dan segera diberikan rawatan.


Pihak berkuasa tempatan memaklumkan siasatan sudah dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.


Menurut media yang sama, kawasan sekitar permainan terbabit kini ditutup sementara dan seluruh operasi taman tema itu turut digantung.


Foto dikongsi di media sosial menunjukkan sebuah permainan taman tema yang membawa puluhan pengunjung di Arab Saudi runtuh ketika berada di udara. 

Khamis, 31 Julai 2025

Jet tempur 'paling canggih' F-35 milik tentera AS terhempas

Jet tempur 'paling canggih' F-35 milik tentera AS terhempas


Sebuah jet pejuang F-35 terhempas di kawasan ladang di negeri California petang semalam, menyebabkan kebakaran di kawasan seluas empat hektar, lapor portal berita MailOnline, hari ini.


Pangkalan Udara Tentera Laut di Lemoore mengesahkan bahawa juruterbang terbabit selamat apabila dia mengaktifkan kerusi anjal.


Jet tempur skuadron 'Rough Raiders' itu terhempas sekitar pukul 6.35 petang (waktu tempatan) di sebuah ladang di daerah Fresno, demikian menurut seorang jurucakap.


'Rough Raiders' ialah skuadron Tentera Laut Amerika Syarikat yang melatih juruterbang untuk menerbangkan pesawat F-35.


Kemalangan tersebut mencetuskan kebakaran rumput di kawasan sekitar dan telah merebak, kata Jabatan Bomba California.


Punca nahas masih dalam siasatan. - Sumber Daily Mail.


Jet tempur F-35 terhempas di California pada Rabu. - Foto AFP/KSEE.
Akad nikah belum selesai, tetamu sudah serbu makanan

Akad nikah belum selesai, tetamu sudah serbu makanan


Sebilangan tetamu sebuah majlis di Indonesia menerima kecaman ramai apabila menyerbu makanan sebelum akad nikah berlangsung, lapor portal berita Lambe Turah.


Rakaman video kejadian dikongsi di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan beberapa tetamu sedang berbaris untuk mengambil makanan.


Mereka sanggup beratur meskipun pasangan pengantin sedang duduk bersama wali untuk melangsungkan akad nikah.


Lebih memalukan, barisan itu bukan sahaja penuh dengan lelaki tetapi juga tetamu wanita.


Rakaman itu mencatatkan lebih 42,100 tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai pengguna media sosial.


"Takut makanan habis," kata seorang netizen.


"Tetamu-tetamu itu sangat 'sopan'. Tidak malukah?" kata pengguna media sosial lain.


Orang ramai berbaris untuk mengambil makanan sebelum akad nikah berlangsung. - Foto TikTok.

Rabu, 30 Julai 2025

2 anggota polis direman disyaki minta rasuah RM635,000 lindungi aktiviti perjudian

2 anggota polis direman disyaki minta rasuah RM635,000 lindungi aktiviti perjudian


Dua anggota polis ditahan reman bermula hari ini, disyaki meminta dan menerima rasuah RM635,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan aktiviti perjudian.


Perintah reman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos dikeluarkan Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Mahkamah Majistret Johor Bahru.


Sumber berkata, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor kira-kira 2 pagi tadi.


Katanya, siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan perjudian.


"Kedua-duanya dipercayai menerima wang rasuah itu secara tunai," katanya hari ini.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.


Dua polis ditahan reman disyaki meminta dan menerima rasuah RM635,000. - Foto SPRM.
Ditegur ponteng kelas, pelajar tingkatan dua tumbuk, ugut guru tular di media sosial

Ditegur ponteng kelas, pelajar tingkatan dua tumbuk, ugut guru tular di media sosial


Seorang guru lelaki di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kajang ditumbuk dan diugut pelajar Tingkatan Dua selepas ditegur ponteng kelas Pendidikan Jasmani.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada guru berusia 29 tahun terbabit kira-kira pukul 7.15 malam, pada Isnin.


"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila pelajar berkenaan yang sepatutnya berada di padang untuk kelas Pendidikan Jasmani tidak hadir, menyebabkan guru itu menegurnya.


"Pelajar terbabit tidak berpuas hati dengan teguran tersebut lalu bertindak agresif dengan menumbuk dan mengugut mangsa," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Susulan laporan yang dibuat, Naazron berkata, pelajar lelaki berusia 14 tahun itu ditahan polis pada hari sama dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.


Menurut beliau, pihaknya turut menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa suspek di Mahkamah Majistret Kajang pada Rabu (hari ini).


Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah.


Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.


Sementara Seksyen 506 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.


Video berdurasi 39 saat kejadian itu menjadi tular selepas dimuat naik di platform X oleh pemilik akaun @update11111.


Pelajar lelaki berusia 14 tahun itu ditahan polis pada hari sama dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan. - Foto media sosial X.