Sabtu, 2 Ogos 2025

Pura-pura beli hadiah untuk isteri, lelaki larikan gelang emas


Seorang lelaki berpura-pura mahu membeli gelang emas untuk dihadiahkan kepada isterinya sebelum melarikan barang kemas itu dari sebuah kedai emas di Prima Sri Gombak pada Khamis lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, suspek datang ke premis berkenaan dan berlagak sebagai pelanggan sebelum mengambil kesempatan melarikan gelang emas yang ditunjukkan jurujual.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 8.49 malam daripada seorang jurujual wanita berusia 27 tahun.


"Pengadu memaklumkan semasa sedang bekerja di kedai emas tersebut, seorang lelaki tempatan datang dan memaklumkan ingin membeli rantai emas untuk isterinya.


"Suspek kemudian memilih seutas gelang emas dan ketika pengadu berpaling untuk mengambil mesin kira, lelaki itu terus melarikan diri bersama barang kemas berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.



Katanya, suspek melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.


"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.


"Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Zirwatul Huda Radzi atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-61262222," katanya.


Terdahulu tular video memaparkan seorang lelaki melarikan barangan kemas dalam kejadian di sebuah kedai emas.


Rakaman yang dipercayai dari kamera litar tertutup (CCTV) itu mulanya memaparkan individu terbabit mulanya melihat barangan kemas itu.


Individu itu kemudiannya dilihat terus melarikan diri bersama barangan kemas itu menggunakan sebuah motosikal.


Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki melarikan barangan kemas dalam kejadian di sebuah kedai emas di Gombak pada Khamis lalu.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon