Jumaat, 1 Ogos 2025

Pesawat tentera Jerman mula gugurkan makanan dan ubat-ubatan di Gaza


Pesawat tentera Jerman memulakan misi menggugurkan bantuan ke Semenanjung Gaza, kata Kementerian Pertahanan Jerman hari ini (Jumaat), ketika Berlin menyertai usaha antarabangsa untuk meringankan situasi kemanusiaan yang kritikal di wilayah Palestin yang dikepung itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Menurut kementerian, pesawat pengangkut Jerman menggugurkan 34 palet yang mengandungi hampir 14 tan makanan dan bekalan perubatan ke kawasan berkenaan.


Misi pengguguran bantuan ini dijalankan di tengah kebimbangan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap keadaan yang semakin merosot di Gaza, yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berada di ambang kebuluran.


Organisasi bantuan bagaimanapun mengkritik usaha bantuan udara ini sebagai lebih bersifat simbolik, memandangkan ia tidak efisien dan tidak mampu memenuhi keperluan besar di lapangan.


Canselor Friedrich Merz mengakui sumbangan Jerman itu mempunyai impak terhad, menyifatkan misi itu sebagai satu usaha 'kecil' berbanding skala krisis yang sedang berlaku.


Merz malah mempertahankan misi itu sebagai satu isyarat yang perlu.


"Ia satu isyarat penting: Kami hadir, kami berada di rantau ini, kami membantu," katanya awal minggu ini.


Pada Rabu lalu (30 Julai) Mesir, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga melaksanakan penghantaran bantuan kemanusiaan melalui guguran udara ke Gaza ketika kebuluran semakin meruncing dan serangan tentera Israel ke atas orang awam masih berterusan.


Israel, yang mengawal sempadan Gaza menyekat kemasukan bantuan selama beberapa bulan, membenarkan sedikit atau tiada akses kemanusiaan ke wilayah pantai itu.


Pakej bantuan yang digugurkan dari sebuah pesawat ke Gaza, seperti yang kelihatan dari Gaza Tengah pada 31 Julai 2025. - Foto Reuters.


EmoticonEmoticon