Rabu, 30 Julai 2025

2 anggota polis direman disyaki minta rasuah RM635,000 lindungi aktiviti perjudian


Dua anggota polis ditahan reman bermula hari ini, disyaki meminta dan menerima rasuah RM635,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan aktiviti perjudian.


Perintah reman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos dikeluarkan Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Mahkamah Majistret Johor Bahru.


Sumber berkata, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor kira-kira 2 pagi tadi.


Katanya, siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan perjudian.


"Kedua-duanya dipercayai menerima wang rasuah itu secara tunai," katanya hari ini.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.


Dua polis ditahan reman disyaki meminta dan menerima rasuah RM635,000. - Foto SPRM.


EmoticonEmoticon